BERCERITA tentang pengurusan harta dan hibah, nampaknya ramai yang dah mula sedar. Betapa pentingnya perkara ini untuk kita lakukan selagi masih bernafas di bumi ALLAH ini.

Orang kata, buatlah hibah segera andai kita memang berniat hendak ‘hadiahkan’ harta kepada waris tertentu seperti suami, isteri atau anak-anak.

Bukan apa, bila ada hibah, mudahlah andai ditakdirkan kita pergi dulu meninggalkan mereka. Risiko perebutan harta dalam kalangan waris pun dapat dielakkan.

Masalah yang berlaku sekarang, bila kita buat hibah ketika masih hidup dan namakan penama, ada pula yang tak puas hati sebab merasakan orang ini dan itu dapat lebih daripadanya. Ada pula orang yang tak dapat hibah itu walaupun dia rapat dengan pemilik harta.

Akhirnya, ada yang bermasam muka sesama sendiri. Walhal, orang yang nak menghibahkan harta tu masih hidup lagi. Kalau situasi ni macam mana pula?

Sebenarnya, perlu ke pemberian hibah itu dibincangkan bersama dengan waris juga? Bukan ke itu adalah hak pemilik harta tersebut?

Apa pandangan Islam tentang hal ini?

Pendakwah Ustaz Syed Bakri Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed menjelaskan perkara ini menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Jelas beliau, memberi hibah adalah hak mutlak si pemilik harta untuk diberikan kepada siapa sahaja yang dia mahu.

“Ia bukanlah menjadi kewajipan (untuk si pemilik) beri kepada semua ahli keluarganya atau semua kenalannya.

“Namun, di sana terdapat hukum yang ditetapkan ulama dalam hal pemberian hibah,” terang beliau.

Pemberian hibah
TERPULANG kepada si pemilik harta untuk memberikan hibah kepada sesiapa yang dimahukannya ketika dia masih hidup.

Menjelaskan lanjut tentang hibah, kata PU Syed, ia merupakan pemberian sesuatu yang bernilai dari sisi syarak. Tidak kiralah sama ada hadiah atau sedekah kepada seseorang semasa hidup di pemberi dan penerimanya.

Iklan

Ujar beliau, ada tiga hukum yang terlibat dalam pemberian hibah iaitu:

1. Harus diberi kepada sesiapa sahaja.

2. Makruh hukumnya di sisi Mazhab Syafie jika tidak adil dalam pemberian khususnya jika diberikan kepada ahli waris.

3. Haram jika sengaja diberi kepada seseorang daripada ahli waris dan tidak kepada yang lain dengan niat untuk menzalimi orang yang tak dapat itu. Lebih dahsyat lagi, akan berlaku perbalahan pada suatu masa kelak kerana tidak berpuas hati.

Meskipun begitu, jelas PU Syed lagi, ketiga-tiga hukum di atas langsung tidak menjejaskan pemberian hibah. Hibah yang dibuat tetap dikira sah.

(Artikel berkaitan: Ini sebabnya kita perlu celik dengan ilmu faraid)

Adakah si pemilik harta tadi perlu minta izin anak-anak atau waris untuk hibah? Jawab pendakwah tersebut, ia bukanlah syarat sah hibah.

Apa pun, PU Syed mengesyorkan supaya perbincangan dilakukan bersama waris supaya tidak timbul perkara berbangkit kelak. Tidaklah nanti jadi seperti pepatah rumah siap, pahat masih berbunyi.

Iklan

“Apa lagi yang ditakuti apabila asbab ketidakadilan dalam pemberian hibah, retak hubungan kekeluargaan dan berbalah. Maka sahamnya itu akan terkesan pada ibu dan ayah semasa hidup atau lebih teruk di barzakh nanti.

“Nasihat ambe kepada waris yang tak menerima hibah, toksahlah bersedih, reda, insya-ALLAH setiap kita rezekinya telah ditetapkan sejak azali lagi.

“Di sebalik sesuatu, ada sesuatu. Redalah dan sangka baik,” nasihat beliau.

Sumber: Instagram syedbakri_alyahyaofficial