Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Salah arah kiblat
February 28, 2020
Nurulfatiha

Oleh USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

APABILA pergi ke tempat yang asing dan ingin mendirikan solat, arah kiblat seringkali menjadi kekeliruan kita.

Sudahlah pertama kali ke tempat itu, malah bayangan arah kiblat langsung pula tidak kelihatan.

Ditambah pula, jika kebanyakan insan yang ada di sekeliling kita ialah orang bukan Islam.

Jadi, dengan penuh yakin kita menunaikan suruhan ALLAH SWT itu.

Ulangi solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Namun, usai mendirikan solat, barulah diketahui bahawa solat kita tadi itu tersalah kiblat.

Perlukah solat itu diulang semula?

Dalam hal tersebut, satu daripada syarat sah solat adalah menghadap ke arah kiblat ketika solat fardu.

Oleh itu, seseorang yang ingin solat boleh bertanya kepada yang tahu, menggunakan kompas atau selainnya.

Namun begitu, jika selesai solat baru diketahui kita telah tersalah kiblat, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Jika yakin selepas solat tersalah kiblat, maka wajib untuk mengulanginya seperti dinukilkan oleh Imam an-Nawawi.

Beliau berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan solat menghadap ke arah kiblat.

Adapun Imam al-Ramli berpandangan, tidak perlu diulang semula kerana seseorang telah berijtihad kepada arah kiblatnya yang diyakini secara pasti sebelum menunaikan solat. Itu juga pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Kesimpulannya, untuk lebih berhati-hati, maka mengulangi solat itu adalah lebih utama jika diri benar-benar meyakini tersalah kiblat selepas mendirikan solat.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis