TEMPOH 20 tahun merupakan satu tempoh yang lama. Apatah lagi jika ia melibatkan hubungan suami isteri. Pastinya pelbagai pengalaman suka duka dihadapi bersama.

Lazimnya, hubungan cinta semakin akrab jika sudah lama hidup bersama. Namun, tidak bagi rumah tangga yang dibina oleh Malik Borhan (bukan nama sebenar) dan Syamsiah Ali (bukan nama sebenar).

Ikatan suci yang ditaut lebih dua dekad itu akhirnya goyah dan menemui titik noktahnya.

Tiada siapa yang mahu pengakhiran ikatan suci yang dibina atas dasar cinta musnah begitu sahaja. Namun, apakan daya, Malik, 49, fikirkan itu sahajalah jalan yang terbaik buat dirinya, bekas isteri dan dua anak mereka.

Bukan beliau tidak cuba mempertahankan rumah tangga, malah lelaki itu telah berusaha keras untuk memulihkan hubungan dengan si isteri. Bohonglah jika tiada sekelumit pun rasa cinta berbaki kepada Syamsiah.

Rasa sayang itu masih ada, namun sikap Syamsiah yang enggan berubah membuatkan lelaki tersebut tawar hati. Masakan tidak, sudah beberapa kali wanita itu ‘kantoi’ berfoya-foya bersama lelaki lain.

Setiap kali ‘ditangkap’, bersungguh-sungguh Syamsiah, 46, memohon maaf dan berulang kali menyatakan penyesalannya.

Namun, keinsafan Syamsiah seketika cuma. Perangainya semakin menjadi-jadi apabila kedua-dua anak mereka menginjak dewasa.

Tanggungjawabnya terhadap keluarga juga dibiarkan suaminya menguruskan segala-segalanya. Malik akhirnya tidak tahan. Lelaki itu juga ada egonya yang tersendiri.

Lantaran itu, Malik nekad menceraikan Syamsiah walaupun lebih dua dekad hidup bersama. Barangkali ALLAH SWT sudah menetapkan jodohnya dengan Syamsiah setakat itu sahaja. Malik reda menerima suratan-NYA.

Isteri tuntut

Rupanya kisah mereka tidak terhenti setakat di situ sahaja. Syamsiah menuntut hak mutaah miliknya di mahkamah syariah. Baginya, ia adalah haknya yang perlu dituntut kerana sepanjang perkahwinan mereka, dirinya telah memberikan sumbangan besar kepada rumah tangga mereka dan membantu keperluan kewangan keluarga.

Mutaah

Malik bagaimanapun tidak mendiamkan diri begitu sahaja. Beliau turut memberikan keterangan dan bukti yang menunjukkan bahawa bekas isterinya pernah curang berkali-kali sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Pada masa sama, beliau turut mengemukakan bukti perbuatan khurafat Syamsiah yang diketahui selepas mereka bercerai. Anak mereka menjadi saksi kepada perbuatan ibunya. Ia bagi menguatkan lagi bukti bahawa Syamsiah sememangnya tidak layak menerima mutaah.

(Artikel berkaitan: Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…)

Selepas meneliti keterangan dan bukti yang sabit, mahkamah memerintahkan Malik membayar mutaah kepada Syamsiah sebanyak RM8,000 dengan bayaran sekali gus atau ansuran dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perintah berkenaan.

Dengan rasa berat hati, Malik terpaksa akur dengan perintah yang dikeluarkan itu. Harapannya agar beliau tidak lagi berhubungan dengan bekas isterinya lagi selepas ini.

Tidak jalankan tanggungjawab beri kesan terhadap nilai mutaah

Iklan

Selepas berpisah, antara perkara yang boleh dituntut oleh bekas isteri kepada suaminya adalah hak mutaah. Ia sebagaimana yang berlaku dalam kes melibatkan Malik dan Syamsiah.

Mutaah merupakan harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab perceraian atau dipisahkan, kata peguam syarie, Syafiqah Abdul Razak yang merujuk kepada kitab Fiqh al-Manhaji Mazhab Syafie.

SYAFIQAH

Malah, katanya, menjadi kewajipan suami untuk memberi mutaah kepada bekas isterinya berdasarkan dalil yang disebutkan dalam al-Quran iaitu Surah al-Baqarah, ayat 241.

Jelas beliau lagi, terdapat tiga kategori wanita yang layak menerima mutaah iaitu isteri yang diceraikan selepas persetubuhan, diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa akad nikah serta isteri yang diperintahkan berpisah dengan suaminya.

Iklan

“Antara faktor yang diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan nilai mutaah yang layak diterima oleh seorang wanita adalah sumbangan isteri dalam tempoh pernikahan, kemampuan suami dan reputasi isteri akibat perceraian.

“Begitupun, faktor tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri boleh merendahkan nilai mutaah yang diminta di mahkamah sebagaimana yang berlaku terhadap Syamsiah,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Dari segi nilai mutaah, jelas Syafiqah, ia adalah mengikut kemampuan bekas suami. Mereka yang membayar mutaah sebenarnya telah menyahut seruan ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 241.

“Salah satu falsafah mutaah disyariatkan ke atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan adalah untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban isteri yang diceraikan dan sebagai sagu hati kepada bekas isteri untuk memulakan kehidupan baru.

Mutaah
ANTARA faktor yang diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan nilai mutaah yang layak diterima oleh seorang wanita adalah sumbangan isteri dalam tempoh pernikahan, kemampuan suami dan reputasi isteri akibat perceraian.

“Jika perbincangan secara baik boleh dibuat oleh kedua-dua pihak untuk menentukan nilai mutaah yang wajar diterima, ia adalah lebih baik.

“Pihak-pihak boleh merujuk peguam syarie dalam proses rundingan tersebut sebelum membuat tuntutan mutaah di mahkamah syariah,” katanya.