PENGALAMAN terkena buatan orang memang perit. Maklum sahajalah, perbuatan itu dilakukan secara halus.

Sedikit sebanyak ia membuatkan rutin harian terganggu. Malah, sesetengah kerja tidak dapat dilakukan dengan baik.

Malah, ada yang terkena gangguan sihir hinggakan orang itu merasakan bagaikan nyawanya di hujung tanduk. Ada juga segelintir orang yang merana hinggalah saat dirinya menghembuskan nafas yang terakhir.

Sungguh, tidak terjangkau dek akal perbuatan itu yang jelas menzalimi orang lain. Namun, itulah hakikat yang perlu ditelan oleh individu yang pernah merasai pengalaman terkena buatan orang.

Lebih perit lagi apabila orang itu mendapat tahu bahawa individu yang paling rapat dengannyalah yang melakukan perbuatan tersebut.

Untuk dirinya memaafkan orang itu, memang agak sukar. Apatah lagi, individu berkenaan begitu dekat dengannya. Segala peristiwa ketika sakit dulu masih bergentayangan dalam kotak fikiran.

Patutkah kita memaafkan individu yang pernah menyihir kita?

Menjawab pertanyaan itu, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, seandainya kita dalam keadaan dizalimi sebegitu, ada empat pilihan yang boleh dilakukan.

Pertama, katanya, kita dibolehkan untuk mendoakan keburukan buat individu yang melakukannya perbuatan sihir itu.

“Ini kerana kita telah dizalimi dan perkara itu dibenarkan oleh syarak.

“Namun, jika enggan berbuat demikian, boleh sahaja kita mendoakan kebaikan untuk individu berkenaan. Umpamanya, berdoa agar ALLAH memberi hidayah kepadanya untuk meninggalkan perbuatan terkutuk itu. Ini juga tsabit dalam hadis sahih,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Sihir

Ustaz Muhammad Fahmi menyambung perkongsian ilmunya. Pilihan ketiga, ujar beliau, kita juga boleh menuntut perbuatan zalim individu berkenaan di akhirat kelak iaitu ketika di hadapan ALLAH SWT.

(Artikel berkaitan: Kenali golongan yang muflis di akhirat… Jangan sesekali menjerumuskan diri)

“Ada hadis sahih menceritakan hal ini sehingga pahalanya anda peroleh dan dosa anda dia peroleh,” katanya.

Iklan

Selain itu, pendakwah itu menjelaskan, kita juga boleh memaafkan individu berkenaan.

Beliau turut menukilkan pandangan Imam Ahmad yang pernah menyebut: “Maafkanlah saudara kamu. Apa manfaatnya kepada kamu jika ALLAH mengazab seseorang itu disebabkan kamu?”

Demikian perkongsian ilmu Ustaz Muhammad Fahmi. Ya, pilihan terletak di tangan masing-masing.

Namun begitu, jika direnungkan kembali kata-kata Imam Ahmad itu, ia menyedarkan kita bahawa tiada manfaat yang bakal diperoleh andai kita tidak memaafkan individu berkenaan.

Sihir

Iklan

Ketahuilah, apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi ALLAH juga turut menurunkan ketenangan itu kepada kita.

Bahkan, ALLAH SWT juga begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih mana yang terbaik.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: Freepik & 123rf