Persediaan Ramadan ketika PKP, apa yang perlu kita buat?

Persediaan Ramadan ketika PKP
April 18, 2020
Oleh Nurulfatiha

TINGGAL enam hari lagi kita bakal menyambut 1 Ramadan. Sebelum menghadapi bulan yang penuh barakah itu, masih ada masa lagi untuk kita membuat persediaan minggu depan.

Barangkali ada yang terlupa bab hukum hakam ketika berpuasa. Inilah masa terbaik untuk kita ulang kaji semula.


Apatah lagi, sambutan awal Ramadan kali ini banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun lalu, kita mungkin berterawih di surau atau masjid. Namun, kali ini kita terpaksa berterawih di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahu atau tidak, kita sendiri kena mantapkan diri dengan bab-bab puasa dan ibadah ketika Ramadan.

Walaupun terpaksa menyambut awal Ramadan dengan hanya duduk di rumah, namun kita masih lagi boleh menjadikan puasa kita begitu meriah dengan aktiviti ibadah.

Iklan

Justeru, kita harus meneliti apakah amalan yang boleh dimanfaatkan menjelangnya Ramadan sepanjang tempoh PKP ini.

Dalam hal ini, Jabatan Mufti Negeri Perak berkongsi amalan yang boleh dilakukan iaitu:

Iklan

Persediaan Ramadan ketika PKP
SEMENTARA masih berbaki beberapa hari ini, bolehlah kita sekeluarga mengulang kaji tentang hukum-hukum puasa.

1. Menelaah semula hukum hakam berkenaan puasa

Amat penting untuk kita mengetahui hukum-hukum asas berkenaan puasa. Begitu juga dengan selok-belok tentang hukum-hukum tertentu bersifat semasa yang sering berlaku pada bulan Ramadan.

Apatah lagi, dalam musim kawalan daripada jangkitan Covid-19, pasti akan timbul isu-isu terbaharu yang sangat mustahak untuk diketahui. Bukan apa, tujuannya untuk memantapkan lagi kefahaman serta meluruskan kekeliruan yang seringkali ditimbulkan.

Persediaan Ramadan ketika PKP
BERTADARUS al-Quran bersama keluarga.

2. Melazimi amalan membaca al-Quran dan tadarus

Bulan Syaaban dikenali sebagai Syahr al-Qurra iaitu bulan membaca al-Quran, manakala bulan Ramadan pula merupakan Syahr Mudarasah al-Quran yang bermaksud bulan mempelajari al-Quran kerana peristiwa penurunan kalamullah itu berlaku dalam bulan Ramadan.

Selain berkesempatan memperbaiki mutu bacaan al-Quran dan mempelajari tafsirannya, ia merupakan amalan Rasulullah SAW dan salafus soleh yang telah menghidupkan dua bulan berkenaan (Syaaban dan Ramadan).

Persediaan Ramadan ketika PKP
LATIH diri dengan melakukan qiamullail sebelum masuknya Ramadan untuk mempersiapkan diri dalam ‘menghidupkan’ bulan Ramadan.

3. Melazimi amalan qiamullail

Amat baik untuk kita menjinakkan diri dengan amalan qiamullail sebagai latihan bagi mendirikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

Dikurniakan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaziminya, malah amalan berkenaan juga merupakan ibadah yang menghidupkan malan Ramadan.

Ia sebagaimana hadis hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang mendirikan solat (solat tarawih) bersama-sama dengan imam sehingga selesai, maka ditulis oleh ALLAH baginya sebagai qiamullail.” (Sunan al-Tirmidzi)

Persediaan Ramadan ketika PKP
SEDEKAH merupakan salah satu amal kebajikan yang terpuji.

4. Amalan sedekah

Ketahuilah bahawa amalan bersedekah merupakan salah satu aspek penyucian rohani. Ia bukan sahaja meringankan beban seseorang khususnya golongan fakir dan miskin, tetapi juga merupakan antara faktor menghubungkan jaringan kasih sayang atau silaturahim. Malah, amalan ini juga menghapuskan dosa-dosa.

Sabda Rasulullah SAW: “Puasa itu merupakan perisai, sedekah itu menghapus segala kesalahan seumpama air memadamkan api dan seorang lelaki menunaikan solat di pertengahan malam.” (Sunan al-Tirmidzi)

Persediaan Ramadan ketika PKP
LAZIMI diri kita dengan berzikir dan mengingati ALLAH SWT.

5. Melazimi zikrullah dan solat sunat

Memang ada zikir-zikir tertentu yang disusun khas sebagai wirid yang elok dibaca pada waktu-waktu tertentu. Ia sama ada wirid selepas solat berjemaah atau ma’thurat yang dibaca selepas solat Subuh dan Asar.

Selain itu, terdapat juga solat-solat sunat yang harus dilakukan pada waktu siang seperti solat duha, tasbih dan rawatib (mengiringi waktu).

Jom sama-sama kita buat persediaan sebelum menyambut bulan Ramadan. Bila kita sudah mula berjinak-jinak dengan semua amalan ini, insya-ALLAH akan mudahlah kita amalkan ketika bulan Ramadan nanti.

Tidak kiralah di mana sahaja kita berada ketika ini, semoga Ramadan kali ini membawa sinar kepada kita di sebalik musibah wabak Covid-19. Teruskanlah bermunajat dan berdoa kepada ALLAH agar ujian penyakit itu ‘diangkat’ dari muka bumi ini.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis