KETIKA makan di luar atau menghadiri mana-mana majlis makan, buah-buahan sering kali menjadi menu paling akhir dihidangkan.

Malah, ia acap kali juga dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut. Barangkali disebabkan itu, kita juga sudah terbiasa dengan perkara tersebut.

Tanpa disedari, kita juga terbawa-bawa ‘budaya’ itu dalam kehidupan seharian kita. Jadi, bila ada orang lain beritahu bahawa kena makan buah dulu baru makan makanan lain, kita sudah merenungnya dengan renungan yang tajam dan memandangnya sebagai pelik.

Semacam sukar nak menerima suatu benda yang dianggap baharu pada diri kita. Sedangkan, penemuan kesihatan jelas menunjukkan bahawa buah-buahan elok dijadikan sebagai pembuka selera sebelum menjamah hidangan berat yang lain.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Antara makan buah dan hidangan lain, mana lebih utama? Ada tak hadis yang khusus tentang perkara ini?

Jika diteliti, memang tiada hadis sahih dan jelas yang menuntut agar kita mendahulukan makan buah-buahan sebelum makan makanan yang lain.

Bagaimanapun, para ulama terdahulu ada menyatakan tentang perkara ini.

Antaranya Imam al-Ghazali. Beliau menyatakan: “Turutan cara makan yang dianjurkan adalah dengan mendahulukan memakan buah kerana itu sesuai dengan ilmu kedoktoran.

“Tambahan pula, ia (buah) lebih cepat dicerna, maka lebih baik buah berada di bahagian bawah perut (berbanding makanan yang lain). Dalam al-Quran, terdapat peringatan agar mendahulukan memakan buah,” katanya menerusi kitab Ilya’ ‘Ulum al-Din.

Selain itu, dalam sebuah hadis, ada diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dan Umar keluar pada waktu malam untuk mencari makanan.

Lalu, mereka telah bertandang ke rumah Abu Haitham. Beliau telah memberi makan kurma terlebih dahulu kepada Rasulullah SAW dan para sahabat.

Imam al-Nawawi RA ketika mensyarahkan hadis berkenaan dalam Sahih Muslim menjelaskan: “Hadis ini sebagai dalil yang dianjurkannya mendahulukan makan buah-buahan sebelum memakan roti, daging dan selain daripada keduanya.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/13)

Bukan itu sahaja, sebahagian ulama lagi menggunakan al-Quran iaitu ayat 20 hingga 21 dalam Surah al-Waqiah sebagai dalil yang menganjurkan kita untuk makan buah-buahan dulu berbanding yang lain.

Makan buah
BANYAK manfaat yang kita peroleh jika memilih untuk makan buah-buahan terlebih dahulu, diikuti dengan hidangan lain.

Kenapa kita digalakkan berbuat demikian?

Dalam tafsir al-Munir, disebutkan bahawa antara hikmahnya adalah buah-buahan lebih cepat turun ke perut dan cepat untuk dihadam. Ia juga lebih baik dari sudut kesihatan, lebih banyak menggerakkan syahwat makan dan tubuh manusia lebih bersedia untuk menerima makanan.

Iklan

Justeru, kita digalakkan untuk makan buah-buahan terlebih dahulu sebelum menjamah makanan lain kerana ia mudah dicernakan oleh perut dan baik untuk penghadaman.

Namun begitu, tiada hadis khusus yang menyarankan agar dimulakan dengan buah-buahan ketika makan.

Disebabkan itu, kita tak boleh sama sekali mengatakan bahawa ia adalah sunah kerana tiada hadis jelas menyatakan sedemikian.

Iklan

Pilihan memang terletak di tangan masing-masing, tapi alangkah baiknya jika kita dapat mengutamakan buah-buahan dulu, barulah hidangan yang lain.

Kita juga yang untung sebab beroleh manfaat kesihatan yang dinyatakan tadi. Jom sama-sama kita amalkan.

(Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-228: Dahulukan Buah Ketika Makan, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)