ANTARA amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

Nabi Muhammad SAW yang mana di dalam hadis ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Bagaimanapun timbul persoalan mengenai adakah puasa sunat enam hari itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.

Baca juga: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

Pejabat Mufti Wilayah menjelaskan persoalan tersebut. Jelasnya, Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan:

“…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut:

“…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan atau dipisahkan sama ada pada awal Syawal atau diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlak tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”

Iklan

“Justeru, berdasarkan pendapat-pendapat ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa enam boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan.

“Ia boleh diawalkan ataupun dilewatkan, selagi masih berada di dalam bulan Syawal. Tidak menjadi masalah,” katanya.

Jelasnya, dalam kemeriahan menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya.

Maka puasa enam pada bulan Syawal tidak menjadi halangan kerana terdapat fleksibiliti di dalam menunaikannya.

Iklan

Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturahim.

Baca juga: Tetap mahu bersenam pada bulan puasa? Ini antara langkah yang wajib diikuti

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI