DIAM tak diam hari ini kita sudah memasuki 10 Muharam. Dalam kalendar Islam, tarikh itu begitu istimewa.

Ada beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam. Ia seperti peristiwa yang mana ALLAH menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israel daripada Firaun.

Malah, pada 10 Muharam yang juga merupakan hari Asyura, umat Islam disunatkan untuk berpuasa.

Maka tidak hairanlah jika ada orang sudah mula berpuasa sejak hari Khamis atau semalam dan terus menyambungnya sehingga hari ini. Masakan tidak, hari Khamis merupakan hari yang disunatkan berpuasa, manakala semalam (9 Muharam) pula merupakan hari Tasu’a yang disunatkan berpuasa.

Andai kata kita mula berpuasa pada hari Asyura ini iaitu 10 Muharam, bolehkah kita hanya berpuasa sunat hanya satu hari sahaja tanpa berpuasa sehari sebelum atau selepasnya? Ini kerana ada yang kata tidak boleh berbuat demikian. Apakah hukumnya?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, kita disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa ia memiliki fadilat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

“Pada masa yang sama, disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam mengiringi 10 Muharram kerana ini perintah Rasulullah SAW agar menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman baginda.

“Ulama juga menyatakan, jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharram, maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharam,” jelas beliau menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Iklan

Beliau turut mengemukakan pandangan Imam Ibnu Hajar dalam karyanya, Tuhfah al-Muhtaj tentang hukum berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Kata Imam Ibnu Hajar: “…dan (disunatkan berpuasa) ‘Asyura’ dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.”

Iklan

Daripada kenyataan itu, jelas Ustaz Syahridzan, Mazhab Syafie mengharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja walaupun tanpa iringan puasa pada 9 Muharam.

Namun, tambah beliau lagi, lebih afdal berpuasa sehari sebelum hari Asyura kerana itu keazaman baginda pada masa akan datang.

“Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka digantikan pada 11 Muharam (hari Ahad),” katanya.

Semoga penjelasan kita dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang keliru tentang hal ini.

Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil