BAGI junjungan besar Nabi Muhammad SAW, solat bagi baginda merupakan manifestasi takwa, tanda kesyukuran tidak terhingga dan ekspresi cintanya kepada YANG MAHA ESA.

Solat juga berfungsi sebagai riyadhah ruhiyah (melatih kerohanian) yang dapat menghadirkan kenikmatan dan kebahagiaan dalam diri seseorang.
Selain solat fardu lima waktu, umat Islam dianjurkan untuk ‘mengakrabkan‘ diri dengan solat duha kerana ia merupakan sunnah istimewa dengan keutamaan yang sungguh luar biasa.

Malah, Rasulullah SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah yang juga seorang perawi hadis agar menjadikan solat tersebut sebagai rutin yang perlu dilakukan setiap hari.

Kelazimannya, masyarakat sering berpendapat, dengan menunaikan solat duha, ia merupakan salah satu cara menjemput rezeki. Ternyata, fadilatnya bukan setakat itu sahaja, bahkan membaca doa seusai solat, ia memberi beberapa kelebihan lain.

Terdapat banyak dalil, baik daripada al-Quran mahupun hadis yang menegaskan tentang ibadah hebat itu.
Solat duha juga berhubungan dengan durasi masa. Justeru, apakah waktu terbaik untuk mengerjakannya? Apakah surah yang disyorkan dibaca selepas al-Fatihah?

Lakukan bersendirian

Bagi menjawab semua tanda tanya itu, Sinar Islam Plus menemuramah Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat.

Menurut beliau, solat duha turut dikenali sebagai solat al-Awwabin. Imam Al-Hakim dalam mustadraknya yang diperakukan sahih oleh al-Albani dalam Kitab Silsilah al-Ahadis al-Sahih berkata: “Tidak akan memelihara solat duha melainkan seorang Awwab. Dan solat duhalah merupakan solat orang-orang Awwab (Awwabin).“

Awwabin merupakan kata jamak bagi awwab yang bermaksud orang-orang yang kembali kepada ALLAH SWT.

Mengulas lanjut, ujar Dr Mohd Nor, hanya golongan al-Awwabin sahaja yang mampu beristiqamah untuk menunaikan solat sunat tersebut. Dengan kata lain, mereka sentiasa memikirkan diri lemah dan selalu merendah diri dengan ALLAH.

“Segala kelebihan dan kemuliaan yang ada pada mereka dikembalikan kepada ALLAH semata-mata dengan penuh rasa syukur dan insaf. Jika ada kelemahan dan kecuaian juga, golongan itu akan segera kembali kepada-NYA dengan taubat dan istighfar,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Berkenaan dengan waktu menjalankan solat duha, beliau memperihalkannya secara jelas dengan memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Solat awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).“

Pernyataan itu bermaksud, solat sunat berkenaan boleh didirikan pada waktu antara selepas matahari naik lebih kurang segalah (iaitu lebih kurang 20 hingga 30 minit selepas matahari terbit) sehinggalah kepada matahari tegak di atas kepala, sebelum masuknya waktu Zuhur.

Saran pendakwah itu, tempoh masa paling sesuai untuk mengerjakan solat duha adalah ketika pasir mulai panas dek kerana cahaya matahari. Dalam erti kata mudah, sekitar jam 10 pagi ke atas dan dilakukan dalam dua hingga 12 rakaat.

Pun demikian, ungkap Dr Mohd Nor, menurut pandangan Imam Nawawi, bilangan yang paling afdal adalah lapan rakaat.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaksanakan solat duha pada hari Fathu Mekah (pembukaan kota Mekah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.“ (Hadis Riwayat Abu Daud)

Mewakili masyarakat yang sering bertanya adakah solat duha boleh dilakukan secara berjemaah, berikut jawapan penceramah berkenaan.

“Ia (solat duha) tidak termasuk dalam kategori solat yang disunatkan berjemaah. Jadi, lebih afdal dilakukan secara bersendirian. Seperkara, tidak ada ketetapan khusus untuk kita membaca mana-mana surah pun.

“Namun begitu, terdapat ulama yang menyarankan agar kita membaca Surah as-Shams pada rakaat pertama dan Surah ad-Dhuha pada rakaat kedua setiap kali selepas bacaan Surah al-Fatihah. Ini diambil kira sebagai bersesuaian dengan situasi dan waktu solat tersebut.”

Pun demikian, Dr Mohd Nor yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara berkata, Surah ad-Dhuha sangat disyorkan untuk dilazimi kerana ia menjadi motivasi kepada Rasulullah SAW.

“Surah ini diturunkan ketika baginda berada dalam kegelisahan dan surah ini diiringi dengan sumpah ALLAH bahawa baginda akan sentiasa dalam jaminan perlindungan-NYA,” katanya.

Merujuk kepada ayat enam hingga lapan dalam surah itu bermaksud: “Bukankah DIA mendapati engkau yatim piatu, lalu DIA memberikan perlindungan? Dan DIA mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu DIA memberikan kecukupan.”

Justeru, kata pendakwah itu, umat Islam sangat digalakkan mengamalkan solat duha sebagai rutin amalan seharian, meskipun didirikan hanya dua rakaat.

Iklan

“Lakukan dengan penuh istiqamah. Sesungguhnya, solat ini boleh menjadi kunci penyelesaian dan merungkai segala permasalahan dan kekhuatiran yang terbuku dalam sanubari kita, selain mencukupkan rezeki sepertimana janji ALLAH kepada hamba-NYA,” ujar beliau.

Sementara itu, pendakwah Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff yang dihubungi menambah, meskipun menunaikan solat duha tidak memerlukan durasi masa yang panjang, persediaan yang rapi perlu dilakukan. Namun, kata beliau, hanya insan terpilih sahaja yang mampu melaksanakannya.

“Bahkan, dalam kalangan mereka yang melakukannya pula, tidak ramai yang istiqamah atau konsisten. Itu belum lagi dinilai dari sudut kesempurnaan atau kualiti pelaksanaan yang ‘dipersembahkan‘ ketika menunaikan solat sunat itu.

“Sungguhpun kelihatan senang dan santai sahaja, tetapi ia amat berat kecuali mereka yang dikurniakan taufik dan hidayah daripada ILAHI,” tuturnya.

Dr Adnan kemudian membacakan firman ALLAH yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Wasiat Rasulullah

Sesungguhnya, solat duha bukan calang-calang amalan. Masakan tidak, ia merupakan wasiat dan sunnah baginda kepada umatnya.

Iklan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat duha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Solat duha juga sering dikaitkan dengan rezeki. Dr Adnan yang juga Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia berkata, tidak dinafikan bahawa rezeki merupakan antara perkara utama yang diusahakan oleh seseorang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, doa dalam solat Duha sangat popular dalam kalangan masyarakat. Para ulama terdahulu mengajar doa yang jika ditafsirkan mempunyai maksud ‘semoga dipermudahkan usaha menceri rezeki, sekalipun ia sukar, jauh, kotor, tersorok dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, seandainya dikaji pensyariatan solat sunat tersebut dengan merujuk kepada hadis-hadis masyhur, kita mendapati bahawa ia sebenarnya adalah satu tanda kesyukuran yang perlu ditunaikan oleh seorang insan atas nikmat penciptaan-NYA.

Kenyataan beliau itu adalah bersandarkan kepada Hadis Riwayat Muslim yang menyatakan: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat duha.”

Pejabat Mufti Wilayah menerusi Irsyad Al-Hadith yang mengupas topik Solat Duha Mendapat Istana Emas juga sependapat dengan Dr Adnan.Kata mereka: “Menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada ALLAH agar melaksanakan solat sunat duha setiap hari. Ini kerana ia merupakan sebagai satu tanda syukur kita kepada ALLAH SWT terhadap segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini.”