TAHUN ini agak suram tidak seperti tahun sebelumnya. Sejak awal tahun lagi, kita sudah diuji dengan wabak Covid-19. Malah, penyakit itu tidak mengenal sesiapa.

Ia boleh menyerang manusia tanpa mengira usia, pangkat atau hartanya. Pandemik berkenaan juga telah melumpuhkan ekonomi keluarga apabila masing-masing terpaksa berkurung di rumah.

Ketika inilah musibah semakin besar apabila ada yang terpaksa diberhentikan kerja, hilang mata pencarian dan dipotong gaji.

Saat ini barulah kita kenal siapa benar-benar kawan kita. Masakan tidak, tatkala kita diuji dengan kesusahan, tidak ramai pun yang mahu datang mendekat, apatah lagi membantu.

Ya, begitulah yang dirasai segelintir orang. Kawan memang akan datang dan pergi. Hanya rakan yang benar-benar sejati sahaja akan datang menemani pada saat kita sukar atau senang.

Bukan itu sahaja, sejak akhir-akhir ini juga, kita lihat drama di televisyen memerihalkan tentang kes ‘kawan makan kawan’, tikam belakang dan seumpamanya.

Hakikatnya, bukan sahaja cerita dalam drama, tetapi dalam dunia realitinya memang ada yang berlaku. Lebih perit lagi apabila ia melibatkan rakan yang dianggap sebagai sahabat baik kita sendiri.

Bagaimana kita hendak tahu kawan-kawan yang kita ada benar-benar sayangkan kita kerana ALLAH SWT?

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah ada kongsikan perkara itu dalam akaun Twitter miliknya baru-baru ini.

DA’I SYAFIQAH

Menurut beliau, ada tiga ciri kawan yang sayangkan kita kerana ALLAH. Ia adalah:

1. Dirinya amat mencintai ALLAH.

Kawan tikam belakang

Hanya orang yang benar-benar cintakan ALLAH akan menyayangi manusia kerana-NYA.

Jika dilihat perlakuan rakan kita itu, dia amat menjaga perintah ALLAH seperti solat, menjaga aurat dan sebagainya.

Agak mustahil jika dia sayang kita kerana ALLAH, tetapi sering melakukan maksiat.

(Artikel berkaitan: 3 jenis sahabat ini perlu kita miliki… Ikuti panduan yang digariskan agama ini)

2. Rakan yang menginginkan kebaikan untuk kita.

Iklan

Kawan tikam belakang

Kawan jenis ini selalu mengajak kita untuk berbuat kebaikan. Pada masa sama, dia tidak akan melepaskan kita begitu sahaja seandainya melihat kita berbuat kesalahan. Malah, dia akan menegur saat kita melakukan kesilapan.

Ikutilah contoh Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Wahai Muaz, demi ALLAH sesungguhnya aku amat mencintaimu, demi ALLAH sesungguhnya aku amat mencintaimu. Aku mewasiatkan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan bacaan ini setiap kali selepas solat, ‘Ya ALLAH, bantulah aku dalam mengingatimu, bersyukur kepada-MU dan memperbaiki ibadahku kepada-MU’.” (Riwayat Abu Daud)

3. Rakan yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita.

Kawan tikam belakang

Tidak kiralah kita senang atau dalam keadaan sukar, kawan kita tidak pernah meninggalkan kita. Bahkan, rakan itulah yang akan mendoakan kesejahteraan buat kita saat kita ditimpa kesusahan.

Tatkala kita diulit kegembiraan pula, dia turut sama meraikannya tanpa tersisa rasa dengki.

Demikian perkongsian Da’i Syafiqah tentang rakan yang menyayangi kita kerana-NYA.

Iklan

Begitupun, beliau mengingatkan bahawa kawan-kawan juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada khilaf di mana-mana.

“Apa yang boleh kita buat, jadilah seperti pohon yang tumbuh dan berbuah lebat, dilemparkan dengan batu, tapi membalasnya dengan buah.

“Jadi jom sama-sama usaha untuk jadi lebihbaik dari hari ke hari. Selamat beramal,” pesannya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Sumber: Twitter @daisyafiqah_

Foto: Freepik