PADA tahun 2019, penulis diberikan kesempatan untuk menyaksikan sendiri artifak Rasulullah SAW dalam sebuah pameran di Kuala Lumpur.

Namun, perancangan ALLAH tiada siapa yang tahu. DIALAH sebaik-baik perancang. Sekali lagi ALLAH mengizinkan penulis untuk bertemu khazanah yang paling berharga itu, dua minggu yang lalu. Cuma bezanya pada kali ini, pameran berkenaan diadakan di Madradah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) yang terletak Sungai Buloh, Selangor.

Terdapat kira-kira 20 artifak Rasulullah SAW, isteri dan anak baginda, para sahabat dan peninggalan zaman Uthmaniyah dipamerkan.

Sesungguhnya, pertemuan itu bagaikan mengubat kerinduan penulis untuk berada dekat di samping Rasulullah SAW. Rasa sayu dan sebak apabila mata kembali menatap satu persatu artifak yang pernah digunakan baginda suatu masa dahulu.

Penulis percaya, siapa pun umat akhir zaman yang menyaksikannya pasti akan diselubungi perasaan itu. Kita tidak berpeluang untuk bertemu baginda secara empat mata, namun khazanah itu telah menjadi bukti kehadiran baginda yang menjadi cahaya kepada seluruh alam.

Kayu sugi itu antara artifak baharu yang belum pernah dipertontonkan pada mana-mana pameran artifak di negara ini. Penulis rasa cukup bertuah dapat melihat sendiri kayu sugi yang pernah digunakan oleh Rasulullah SAW.

Secara tiba-tiba, segala keperibadian baginda yang pernah dipelajari terlayar dalam kotak fikiran. Rasulullah begitu mementingkan kebersihan diri. Boleh dikatakan hampir setiap waktu baginda bersiwak.

Lamunan penulis terhenti tatkala sekumpulan pengunjung mula masuk ke tempat yang mempamerkan kayu sugi Rasulullah SAW.

Bagaikan satu rezeki yang tidak diduga, Mudir DUAM, Ustaz Hasnul Hakim Md Zain turut melewati sudut berkenaan. Ujar beliau, kayu sugi itu ditemui tersemat rapi di dalam saku jubah dipakai nabi yang dijaga keturunan keluarga khadam Nabi Muhammad SAW di Libya.

USTAZ HASNUL HAKIM

“Betapa wanginya kayu sugi itu, masya-ALLAH. Kayu sugi ini juga masih cantik dan elok, tidak seperti kayu sugi biasa yang kering,” katanya kepada pengunjung pada Pameran Khazanah Peninggalan Rasulullah SAW anjuran DUAM dengan kerjasama Galeri Warisan MARTerengganu di Sungai Buloh baru-baru ini.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.”

Benarlah bahawa bersiwak seolah menjadi amalan wajib baginda terutama setiap kali ketika hendak menunaikan solat.

Sementara itu, penulis difahamkan, jubah berkenaan dihantar ke makmal swasta untuk ujian pengesahan. Dikhabarkan bahawa jubah itu pernah digunakan oleh Rasulullah SAW ketika peristiwa israk dan mikraj.

Ada dua barang lagi yang turut dihantar di makmal tersebut iaitu serban dan capal yang dipercayai digunakan baginda dalam peristiwa berkenaan.

Ekstrak peluh

Langkah diteruskan ke sudut tengah pameran. Kali ini, sasaran penulis adalah ekstrak peluh Rasulullah SAW yang belum pernah lagi dipamerkan dalam mana-mana pameran di negara ini.

Peninggalan Rasulullah SAW
DARI kiri, ektrak peluh, rambut dan tanah makam milik Rasulullah SAW yang turut dipamerkan pada Pameran Khazanah Peninggalan Rasulullah SAW dua minggu lalu.

Pertama kali melihatnya, terdetik perasaan kagum dalam hati. Masakan tidak, tiada peluh yang paling berharga selain peluh Rasulullah SAW iaitu kekasih ALLAH.

Menurut Ustaz Aqmal Ariffin Alias, tenaga pengajar DUAM yang mengiringi penulis, bekas berisi peluh Nabi Muhammad SAW itu diekstrak daripada tikar baginda. Tikar tersebut diambil dari Turki pada tahun 1999.

Beliau turut menceritakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Sulaim: “Nabi Muhammad SAW pernah datang bertemu dengannya. Lalu baginda tidur pada waktu tengah hari di rumahnya. Ummu Sulaim membentangkan tikar untuk baginda dan baginda tidur di atasnya. Pada ketika itu, nabi berpeluh dengan banyak.

Lantas, Ummu Sulaim mengumpulkan peluh tersebut dan dia meletakkannya di dalam minyak wangi dan bekas-bekas. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: “Wahai Ummu Sulaim, apakah ini?” Dia (Ummu Sulaim) menjawab: “Ini adalah peluh engkau yang mana aku campurkan dengan minyak wangiku.” (Riwayat Muslim)

Selain dua artifak berkenaan, terdapat empat lagi khazanah baharu yang baru pertama kali dipamerkan di Malaysia. Ia termasuklah al-Quran tulisan tangan zaman Kerajaan Uthmaniyah, jubah Saidatina Fatimah Az Zahra dan rambut milik Saidatina Fatimah dan Khadijah (isteri Rasulullah SAW).

Pada mata penulis, jubah Saidatina Fatimah kelihatan sangat menarik. Walaupun kelihatan seperti jubah biasa, namun jahitannya begitu kemas sekali. Berwarna putih polos, jubah berkenaan dibalut dengan kain yang dihiasi dengan perak.

Menariknya, baju yang diambil dari Hadramaut, Yemen itu diperbuat daripada bulu unta berwarna dan mempunyai lengan yang lebar. Meskipun jubah itu kelihatan besar, Ustaz Aqmal Ariffin menjelaskan, pakaian itu besar kerana Fatimah mahu menutup auratnya. Islam mewajibkan wanita untuk melonggarkan pakaian mereka supaya tidak menampakkan bentuk tubuh badan.

DARI kiri, jubah Saidatina Fatimah dan al-Quran tulisan tangan zaman Kerajaan Uthmaniyah turut dipamerkan kepada pengunjung.

Di sudut sebelah kiri jubah berkenaan, dipamerkan al-Quran tulisan tangan zaman Kerajaan Uthmaniyah. Tulisannya begitu kemas dan boleh dibaca meskipun tiada baris. Sekali imbas, kelihatan seperti cetakan komputer.

Meskipun sudah beratus tahun usianya, al-Quran berkenaan dilihat masih elok lagi. Cuma, kertasnya sedikit kekuningan menggambarkan kewujudannya yang sudah lama. Pasti ramai yang tidak percaya apabila penulis katakan al-Quran yang memaparkan Surah al-Baqarah itu ditulis tangan pada tahun 1677 Masihi!

Mata penulis memicing pandangan ke arah pintu yang memaparkan papan tanda untuk Muslimat sahaja. Perlahan-lahan penulis menyusup masuk ke dalamnya. Di situlah tempat rambut Saidatina Fatimah dan Khadijah dipamerkan.

Iklan

Hanya kaum Hawa sahaja yang dibenarkan masuk. Ini kerana maruah kedua-dua wanita agung itu mesti dijaga sebaiknya meskipun kedua-dua mereka sudah tiada lagi di dunia.

Sesungguhnya, kunjungan penulis lebih dua jam melihat artifak Rasulullah SAW, isteri dan anak baginda dan para sahabat membuatkan penulis seakan-akan begitu dekat dengan baginda.

Pertemuan empat mata yang menjentik emosi itu bukan selalunya hadir yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bertuahlah sesiapa yang dapat menyaksikannya. Seperti kata Ustaz Hasnul Hakim, para sahabat berusaha untuk memegang tubuh Rasulullah SAW termasuklah peluh dan darah bekam baginda.

“Malah, kami yang terlibat dalam proses susun atur artifak ini, setiap barangan (artifak) Rasulullah SAW, ada wangian khas (wangian Rasulullah SAW) yang tiada di tempat lain. Indah sungguh wangian itu, seolah-olah rasa tenang dengan bauan tadi.

“Sukar untuk digambarkan baunya yang begitu mengasyikkan. Cuma, dalam pameran wangian itu tidak dapat dihidu kerana semua artifak Rasulullah ditempatkan dalam bekas pameran,” cerita beliau tentang pengalamannya sepanjang dua minggu proses susun atur pameran berkenaan sebelum menoktahkan bicaranya.

ANEKDOT

Antara artifak lain yang dipamerkan

Iklan

1. Rambut Rasulullah SAW

Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Rambut Rasulullah SAW lurus dan sedikit berombak. Rambut baginda masih hidup walau jasad baginda sudah tiada.”

2. Tanah makam baginda SAW

Turut dipamerkan ialah tanah makam Nabi Muhammad SAW. Ia diambil dari makam baginda semasa kerja-kerja pembaikan yang dipelihara dalam 17 sentimeter bekas berkaca.

3. Pedang perang Muadz bin Jabal RA


Dengan ukuran panjang 98 sentimeter dan seberat 1.785 kilogram, artifak itu merupakan hasil rampasan perang Khandak.

4. Batu meteorit (batu Kaabah)

Ia mempunyai banyak kelebihan termasuklah membuang ion negatif daripada individu yang memegang batu berkenaan. Malah, menurut kajian, batu berkenaan telah mula digunakan Ibnu Sina dalam metodologi perubatannya ke atas pemerintah Turki.

5. Bekas kemenyan (makhbara)

Bekas kemenyan (makhbara) peninggalan dari Kerajaan Uthmaniyah.



Makhbara merupakan tempat memanaskan arang sebelum wangian bukhor (kepingan kayu gaharu) diletakkan ke atasnya. Bekas kemenyan ini adalah peninggalan dari Kerajaan Uthmaniyah (1807 Masihi).

Foto: Rosli Talib