Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

January 6, 2022
Oleh Lynn Mazlina

Oleh DR SITI ROKIAH SIWOK

DALAM mana-mana kelompok manusia, sama ada kecil atau besar, setiap orang menginginkan kehadiran mereka yang prihatin.

Sifat itu sesungguhnya akan melahirkan perilaku mulia seperti saling bantu membantu, lebih-lebih lagi dalam situasi bencana yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia ketika ini.

 

Para pengkaji sosial juga telah bersepakat bahawa bahawa ahli bagi sesuatu kelompok boleh menjadi penyumbang kepada masalah stres atau menjadi faktor penyokong untuk menghadapi dilema itu (stres) dalam kehidupan.

Jika setiap daripada individu itu memiliki rasa bertanggungjawab untuk memupuk sifat prihatin dalam diri masing-masing, maka akan muncullah satu kumpulan manusia yang mempunyai kelakuan terpuji itu. Pada masa sama, saling mengambil berat antara satu sama lain .

Contoh unggul yang wajar dicontohi dalam segenap perkara ialah Nabi Muhammad SAW.

Berdasarkan satu ceramah yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr Arieff Salleh Rosman dalam satu Program Kerohanian yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemaknusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, terdapat empat Rasulullah  SAW yang wajar menjadi tauladan oleh ahli masyarakat yang ingin memupuk sifat prihatin.

BACA INI JUGA Rahsia terbesar solat duha sehingga Rasulullah meninggalkan wasiat kepada para sahabat dan umat Islam

Dr Arieff Salleh antara lain telah memetik  Surah at-Taubah, ayat 128. Dalam ayat suci berkenaan: ‘Azizun ‘alaihi ma ‘anittum (merasa sangat berat penderitaan yang kamu alami) , harison (sangat ingin kebaikan kepada umat) , rauf (belas kasihan) dan rahim (penyayang)

Sifat pertama  ‘azizun ‘alaihi ma ‘anittum iaitu “merasa sangat berat penderitaan yang kamu alami”.

“Azizun bermakna syadidun atau syaqqun ( berat sangat); dalam konteks ayat ini bermakna sifat yang amat mengambil berat sehingga merasai kesusahan  yang menimpa umat.

Dr. Arieff Salleh juga mengatakan bahawa kalimah tersebut boleh dikatakan bersifat empati.

Bagaimanapun, sifat empati Rasulullah jauh lebih daripada (empati) manusia biasa.

Dalamnya fitrah itu bagi baginda sehingga ke akhirat dan luasnya meliputi semua makhluk,  tidak mengira kelompok, bangsa atau warna kulit. Ia juga merangkumi Muslim,  bukan Muslim dan seluruh alam ini.

Di samping itu, empati Rasulullah SAW tidak terhenti dengan kewafatan baginda, malah meliputi umat yang datang setelah kewafatannya. Sungguh hebat kasih sayang Nabi Muhammad kepada umatnya.

Iklan

SEBARKAN KASIH SAYANG

Dari segi pendekatan kemanusiaan, sifat empati akan mudah dipupuk,  jika seseorang  boleh membuang perasaan prejudis,  suka melabel atau menghukum orang yang lain, terutama orang lain yang mempunyai tabiat, cara berfikir dan  cara bertingkah laku yang lain daripadanya.

Sifat kedua yang didapati dari ayat 128 ini ialah harisun , iaitu “sangat ingin kebaikan kepada orang lain”.

Seperti yang sampaikan oleh ahli akademik itu, sifat sangat ingin itu ditafsirkan sebagai “tamak”.

Bayangkan betapa indahnya jika setiap ahli dalam sesebuah kelompok atau organisasi bersifat ‘tamakkan’ kebaikan untuk orang lain, bukan tamakkan kebaikan untuk diri sendiri, ahli keluarga atau saudara mara sendiri!

Maka, akan berkembanglah sifat ithar ( mendahulukan orang lain) iaitu sifat tertinggi dalam persaudaraan sesama manusia.

Rauf dan rahim merupakan dua lagi sifat Rasulullah yang diambil daripada ayat 128 Surah At Taubah dan amat berkaitan antara satu sama lain.

Iklan

Rahim bermaksud penyayang, manakala rauf adalah kasih sayang yang lebih mendalam daripada  perkataan rahim .

Dengan erti kata yang lain, rauf ialah sifat kasih sayang yang amat mendalam sehingga mendatangkan perasaan belas kasihan.

Ibn Abbas mengatakan bahawa  ALLAH SWT memberikan nama dua nama-NYA kepada Rasulullah sebagai pengiktirafan  kemuliaan baginda.

BACA JUGA Rasulullah SAW sentiasa berada di tempat terunggul, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi baginda

 

Banyak kisah sebenarnya yang boleh dibaca dalam sirah, bukti sayangnya Rasulullah SAW kepada umat baginda.

Satu cerita yang tidak asing lagi adalah semasa Rasulullah SAW dibaling batu ketika berdakwah di Taif sehingga berdarah kaki baginda.

Pun demikian, Nabi Muhammad masih mendoakan kebaikan kepada penduduk Taif, bukan melaknati mereka.

Rasulullah SAW juga menolak pelawaan Malaikat Jibril untuk membaling Gunung Akhsyabin ke atas penduduk Taif yang menolak dakwah dan menyakiti baginda.

Malah kerana sifat raufurrahim ini, Rasulullah SAW telah berdoa dengan  penuh kasih sayang: “Ya ALLAH berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Lihat, begitu mendalamnya kasih sayang baginda kepada umatnya. Walaupun tidak bertemu, tapi Rasulullah SAW menyayangi umatnya di dunia sehingga ke akhirat. Kita juga boleh mencontohi Rasulullah SAW dengan menyayangi semua manusia termasuk mereka yang tidak pernah bersua muka.

Sebagai kesimpulan, sama-samalah kita mencontohi peribadi Nabi Muhammad SAW dengan menyebarkan kasih sayang  kepada semua manusia dan berusaha menyelamatkan mereka bukan sahaja daripada kesusahan di dunia , tetapi juga kesusahan di akhirat . Sebagai pewaris risalah baginda, kita juga wajib menjaga kebajikan umat ini dan jangan menyusahkan mereka dalam apa bentuk sekali pun.

 

Dr Siti Rokiah Siwok ialah Pensyarah Kanan Skim Fleksibel Akademik,
Panel Bimbingan dan Kaunseling,
Jabatan Pendidikan Asas dan Sains Sosial,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemaknusiaan,
University Teknologi Malaysia

Foto Unsplash dan Team Rasuah Busters

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *