BERMULA hari Rabu malam Khamis ini menandakan telah masuknya fasa ketiga bulan Ramadan.

Begitu pantas detik masa itu berlalu. Ini bermakna, Ramadan akan meninggalkan kita tidak lama lagi.

Begitupun, pada 10 malam yang terakhir ini, kita kena buat lebih banyak ‘kayuhan’ amal ibadah dan kebaikan.

Ini kerana, ada satu malam yang dipanggil lailatulqadar begitu special dan tidak keterlaluan dikatakan sebagai kemuncak bulan Ramadan!

Apa tidaknya, lailatulqadar dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu dalam erti kata lain 83 tahun. Yang pastinya, ia bukanlah omongan kosong. Ia ada dinyatakan sendiri oleh ALLAH menerusi kalam-NYA dalam Surah al-Qadr.

Macam mana kita nak tahu tanda-tanda malam lailatulqadar ini? Sepertimana virus Covid-19 yang ada tanda-tandanya, begitu jugalah dengan lailatulqadar.

SinarPlus kongsikan pandangan pendakwah, Ustaz Fauzi Mustafa tentang tanda-tanda malam agung itu.

USTAZ FAUZI

Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Keesokan harinya cahaya sinar mataharinya seakan kemerah-merahan.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar)

Berdasarkan hadis berkenaan, lailatulqadar akan berlaku pada 10 malam akhir Ramadan:

1. Malam terang benderang seakan-akan bulan memancar

Semua maklum bahawa bulan mengambang indah pada pertengahan bulan, tapi bila dah masuk hujung-hujung bulan, ia semakin mengecil dan akan membentuk anak bulan.

Namun begitu, malam lailatulqadar digambarkan berlaku dalam keadaan terang benderang seolah-olah ada bulan bersinar pada malam itu.

Nak tahu kenapa terang? Sebab pada malam itu, turun segala malaikat, kata ALLAH. Bayangkan berapa bilion malaikat akan ‘turun’ hinggakan ada ulama mengatakan, tiada satu bumi pun yang kosong melainkan malaikat berada di situ.

Cuba renungkan, malaikat kan dijadikan daripada nur atau cahaya. Sedangkan malam itu gelap, jadi memang betullah Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa tanda-tanda lailatulqadar adalah terang benderang.

2. Malam yang cukup tenang

Pada malam istimewa berkenaan, kita akan berasa tenang. Masakan tidak, malaikat yang ‘turun’ membawa ketenangan kepada kita. Mereka juga membawa rahmat yang membuatkan kita rasa tenang.

Tanda malam lailatulqadar
GANDAKAN amal ibadah dan kebaikan pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memburu malam lailatulqadar yang begitu istimewa.

 

Iklan

3. Malam tersebut tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas

Pendek kata, kita akan berasa sungguh nyaman pada malam lailatulqadar ini.

4. Cahaya matahari seakan pudar pada keesokan harinya

Menurut ulama terkenal, Qadi ‘Iyad, suasana itu terjadi sebab malaikat-malaikat sudah naik ke langit. Bayangkan malaikat bersayap dan bercahaya. Bila cahaya lawan cahaya matahari, akan redup cuacanya. Kebetulan pula malaikat bersayap yang boleh cover cahaya matahari tadi.

Itu empat tanda yang dinyatakan bersandarkan hadis yang sahih.

Pada masa sama, jangan lupa banyakkanlah berdoa pada 10 malam terakhir.

Iklan

Antara doa yang dianjurkan: Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii (Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU ZAT YANG MAHA PEMAAF dan PEMURAH, maka maafkanlah diriku).

Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah RA yang mana beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?”

Baginda menjawab: “Ucapkanlah Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anni.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, an-Nasai dan al-Baihaqi)

Jom sama-sama kita carilah malam lailatulqadar. Semoga segala amal yang kita lakukan akan diterima oleh-NYA.