DIKURNIAKAN seorang suami yang memahami dan tahu tanggungjawab serta isteri yang penyayang, sudah begitu besar rahmatnya. Itu pun antara satu bentuk rezeki daripada ALLAH SWT.

Ya, semua mengimpikan keluarga yang bahagia. Tiada siapa yang mahu diri mereka hidup terumbang-ambing tanpa arah tujuan.

Pastinya semua orang berasa bertanggungjawab untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam keluarga kecil kita.

Bercakap tentang perihal rumah tangga, kerap kali juga orang di sekeliling menyatakan bahawa suami perlu membahagiakan isteri andai mahu rezekinya murah.

Malah, ada segelintir orang pula menggangap rezeki suami atau lelaki datangnya daripada reda seorang isteri. Banyak perkongsian sebegitu tersebar di lama-laman sosial.

Benarkah pernyataan itu? Apakah memang perkara itu ada dijelaskan dalam syariat?

Memetik artikel Al-Afkar #113: Rezeki Suami Datang Dari Redha Isteri yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam perkara asas akidah, wajib diketahui bahawa ALLAH SWT adalah pemilik sebenar rezeki.

“Tidak ada yang boleh memberi atau menahan rezeki melainkan ALLAH SWT,” tulis artikel berkenaan.

Rezeki suami

Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT: “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah ALLAH…” (Surah Saba’, ayat 24)

Dalam satu ayat al-Quran yang lain, ALLAH SWT berfirman: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan ALLAH jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, jelaslah bahawa ALLAH SWT yang memberikan rezeki kepasa setiap makhluk yang diciptakan oleh-NYA. Malah, DIA juga yang menjamin rezeki buat hamba-hamba-NYA.

Begitupun, manusia dituntut untuk bekerja, berusaha dan beramal.

Ketahuilah, mereka yang tidak mempercayai atau meragui bahawa ALLAH SWT ialah pemilik rezeki sama sahaja seperti meragukan bahawa DIA ialah Pencipta alam.

“Ayat-ayat yang disebutkan adalah sebahagian petunjuk dan dalil bahawa ALLAH SWT adalah pemilik mutlak rezeki dan bukannya manusia.

“ALLAH penentu rezeki seseorang, bukannya manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

(Artikel berkaitan: 7 tanda rezeki diberkati ALLAH, jika ada petanda ini usah risau walaupun gaji kecil)

Seperkara lagi yang perlu kita fahami, rezeki bukan hanya terhad kepada harta sahaja.

Rezeki suami

Malah, ketenangan dalam kehidupan juga adalah satu bentuk rezeki. Begitu juga dengan dikurniakan anak yang soleh dan solehah, mendapat sahabat dan jiran yang baik, kecerdasan akal dan minda serta lain-lain.

Bahkan, dijauhkan daripada bala bencana juga adalah satu bentuk rezeki juga. Secara tuntasnya, rezeki ALLAH itu begitu luas dan merangkumi semua aspek kehidupan manusia.

Berbalik kepada persoalan rezeki suami yang datangnya daripada reda isteri, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, ungkapan itu perlu diteliti.

“Ini kerana tanpa penjelasan lanjut, ia boleh menimbulkan salah faham. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga,” katanya.

Ia sebagaimana yang disebutkan sebagai sebab dan musabab dalam sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan ditambah hidupnya, maka sambunglah hubungan kekeluargaan.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Justeru, apa sahaja perkara yang boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan boleh menyebabkan rezeki seseorang itu sempit. Ia termasuklah sifat bakhil atau kedekut dengan ahli keluarga.

Rezeki suamiDisebabkan itulah Rasulullah SAW memberikan amaran agar kita menjauhi sifat bakhil yang membawa kepada sifat kedekut, terputusnya hubungan kekeluargaan dan membawa dosa.

Namun, para isteri juga perlu rasional agar tidak meminta sesuatu yang berada di luar kemampuan para suami.

Iklan

(Artikel berkaitan: Nafkah ikut kemampuan suami, ini kadar yang patut diberikan kepada isteri. Boleh jadikan sebagai panduan )

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyenaraikan cara lain untuk memperoleh dan menambah rezeki.

Antaranya adalah dengan cara:

1. Beristighfar dan memohon keampunan kepada ALLAH SWT.

Ketahuilah, dosa dan maksiat adalah antara penghalang rezeki.

2. Bersedekah.

Rezeki suami

Iklan

3. Menanamkan sifat ketakwaan dalam diri.

Justeru, umat Islam diingatkan bahawa ALLAH SWT ialah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-NYA, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan oleh-NYA.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sekali lagi menegaskan, ungkapan rezeki suami atau lelaki datang dari reda isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul.

“Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.

“Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh ALLAH SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Namun begitu, jelas artikel yang disiarkan pejabat berkenaan, rezeki suami bukanlah terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung.

Rezeki suami“Bagaimanapun, ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada ALLAH SWT sepertimana yang disebut dalam hadis yang sahih.

“Kepada para suami, jalankan tanggungjawab kepada isteri. Seorang suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah atau mencari harta, tetapi juga bertanggungjawab mendidik isteri dan keluarga agar menjadi keluarga yang diredai oleh ALLAH.

“Inilah kunci sebenar keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada ALLAH SWT,” kata artikel tersebut.

Sumber: Al-Afkar #113: Rezeki Suami Datang Dari Redha Isteri, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik