MELIHAT bekalan beras di dalam rumah sudah hampir habis, cepat sahaja kita membelinya. Bukan apa, bimbang andai tiada nasi untuk dimakan nanti jika stok beras sudah licin.

Namun begitu, ada segelintir orang masih mempercayai bahawa tidak elok jika kita lambat membeli beras hingga ia tidak tersisa di rumah. Ia dikhuatiri akan menyebabkan rezeki seseorang itu putus.

Ya, demikianlah tanggapan sebilangan orang yang masih dibelenggu dengan kepercayaan sedemikian. Apa tidaknya, fahaman itu telah sebati dalam diri.

Ibu bapa yang memainkan peranan mewariskan pantang larang berkenaan yang diturunkan oleh nenek moyang masing-masing.

Meskipun dunia sudah berubah ke era milenial, namun agak sukar sebenarnya untuk memperbetulkan persepsi berkenaan. Apatah lagi ia sudah lazim ditanamkan dalam fikiran sejak kecil lagi.

Dalam agama Islam, apakah memang benar ada hukum tertentu apabila lambat membeli beras selepas ia habis, ia akan menyebabkan rezeki seseorang itu akan terputus?

Ketahuilah bahawa kepercayaan itu sebenarnya tiada asalnya dalam Islam.

Seandainya rezeki terputus yang dimaksudkan adalah sudah kehabisan makanan di rumah dan mungkin tiada makanan pada hari itu, ia agak munasabah dan boleh diterima dari segi istilah bahasa sahaja.

Begitupun, ia bukanlah tiket untuk kita beriktikad sewenang-wenangnya. Apatah lagi mengaitkan kelewatan membeli beras akan menyebabkan rezeki yang telah ditakdirkan ALLAH SWT akan lambat.

Rezeki terputus bila lambat beli berasKepada mereka yang mempunyai tanggapan sedemikian, segera singkirkannya. Ini kerana hal itu tidak benar sama sekali dan perlu dijauhkan.

Sepertimana yang diketahui, rezeki ALLAH itu begitu luas. Ia bukan sekadar beras semata-mata.

Renungkanlah firman ALLAH SWT: “DIALAH yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-NYA air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-NYA dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi ALLAH, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa ALLAH ialah Tuhan yang MAHA ESA).” (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Bukan itu sahaja, dalam hadis turut memerihalkan tentang rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.

Antaranya, dalam susunan hadis 40 Imam al-Nawawi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dihimpunkan penciptaan dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (campuran air mani), kemudian sebagai alaqah (gumpalan darah) selama itu juga, kemudian sebagai mudghah (sebentuk daging) selama itu juga, lalu diutuskan kepadanya satu malaikat dan malaikat meniupkan ruh ke dalamnya, dan ditetapkan empat urusannya; dituliskan rezekinya, ajalnya, amalannya, penderitaannya atau kebahagiaannya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Berdasarkan dalil berkenaan, jelaslah bahawa ALLAH SWT sudah menetapkan rezeki buat setiap hamba-NYA. Rezeki ALLAH itu MAHA LUAS.

Tidak terhitung jumlahnya. Bukan sahaja dari segi kewangan, harta benda dan seumpamanya, tetapi rezeki juga ada pada keluarga yang bahagia, anak-anak yang baik, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

(Artikel berkaitan: 7 tanda rezeki diberkati ALLAH, jika ada petanda ini usah risau walaupun gaji kecil)

Berbalik kepada persoalan tentang beras tadi, ada satu kisah yang disebutkan dalam sebuah riwayat hadis yang boleh dijadikan panduan kepada kita.

Rezeki terputus bila lambat beli berasDaripada Aisyah RA bahawa beliau berkata: “Suatu hari Rasulullah SAW masuk (ke rumah) menemuiku dan bertanya, “Adakah kamu memiliki apa-apa (untuk kita makan)?”

Iklan

Aku menjawab: “Tiada.”

Baginda SAW bersabda: “Kalau begitu aku berpuasa.”

Suatu hari lain, baginda datang lagi dan (kali ini) aku berkata: “Wahai Rasulullah! Ada orang hadiahkan kepada hais (tamar yang bercampur lemak).”

Baginda SAW lalu berkata: “Tunjukkannya kepadaku, sesungguhnya aku telah berpuasa sejak pagi.”

Lalu baginda memakannya. (Riwayat Muslim)

Iklan

Berdasarkan kisah berkenaan, betapa zuhudnya sifat Rasulullah SAW. Baginda sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada.

Kisah itu langsung tiada perkaitan dengan apabila kita tidak membeli makanan, ia menandakan rezeki daripada ALLAH SWT telah terputus.

Justeru, tinggalkanlah kepercayaan yang salah itu. Ia bertentangan dengan konsep rezeki dan takdir dalam agama Islam.

Sumber: Al-Kafi #407: Rezeki Putus Kalau Lambat Beli Beras, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik