HIDUP ini pasti penuh dengan ujian dan cabaran. Sudah tentulah apa yang berlaku dalam kehidupan ini sudah diatur olehNYA dengan sebaiknya.

Sering kita dengar ada hikmahnya bila bersabar bukan? Begitupun, memang ramai yang mengakui lazimnya akan tewas dalam mengekalkan sikap yang satu itu.

Ya, bukan mudah….

Sudah tentu dalam kalangan kita punya cara tersendiri dalam menahan sabar apabila menghadapi sesuatu. Ini pula cara bersabar dalam menghadapi musibah yang dikongsikan pendakwah dan penulis, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Sabar tak semudah diucap. Jadi bagaimana?

Bila kita dinasihatkan agar bersabar…hati kita bertanya bagaimana? Sabar tidak semudah yang diucapkan.

Sabar itu ertinya ‘menahan’. Justeru, tahan dulu hati apabila menerima musibah dengan lima langkah ini, kata Ustaz Pahrol:

1. Ucapkan kalimah Istirja’ – akui kita dari (kepunyaan) ALLAH. Maka kita layak diuji. Jangan mempersoalkan ‘kenapa aku?’

2. Sedarilah musibah itu datang daripada ALLAH. ALLAH itu Maha Pengasih. Sudah pasti apa yang datang daripadanya baik-baik belaka. Ingatkan hati, “semua ini pasti baik walaupun aku belum nampak dan merasakannya.”

3. Pesan pada diri “aku banyak dosa, ujian ini adalah cara ALLAH mengampunkan dosa-dosa ku.” Agar dengannya aku tidak terseksa di neraka nanti. Nauzubillah. Akhirat itu sesungguhnya ada.

Artikel berkaitan: Ramai sayang mak ayah tapi benci mertua, ustaz ini kongsi kisah seorang jutawan

4. Ingat janji ALLAH, yang diulangiNYA sehingga dua kali, bahawa selepas kesusahan pasti ada kemudahan. Terimalah dan ‘layanilah’ musibah itu sebagai tetamu di kamar hati dengan baik..Insya-ALLAH, ia akan cepat pergi.

Iklan

5. Musibah ini belum tentu seburuk yang disangka. ALLAH telah berpesan, ” ada perkara yang kamu tidak suka tetapi itu baik bagi kamu.”

Pujuk hati, ALLAH yang memberi musibah ini lebih tahu apa yang baik bagiku berbanding diriku sendiri.

“Justeru wahai diri, apabila dipesankan kepada mu: Bersabarlah… maka itu bermaksud menahan. Bagaimana untuk menahan? Maka ambillah lima pesan di atas sebagai panduan.

Iklan

(Dariku tidak ada harta, bantuan ku hanya dengan kata-kata. Semoga ada manfaatnya. Amin.)
#Aku tidak mahu kau derita kerana aku pernah merasainya.#,” titip beliau yang mempunyai 350k follower di page Facebooknya.

Moga bermanfaat!