APABILA ditimpa kesakitan, ia merupakan ujian daripada ALLAH SWT kepada hamba-NYA.

Oleh itu, kita perlu kuat mengharungi ujian berkenaan. Usah hanya mengalah membiarkan diri dalam keadaan begitu dan menganggap bahawa musibah berkenaan sebagai penamat kehidupan.

Namun, realitinya memang ada segelintir orang yang enggan mendapatkan rawatan apabila menghadapi sakit yang kronik. Alasannya, takut menjalani pembedahan atau berjumpa dengan doktor.

Ya, itulah alasan klise yang sering kali kita dengar. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang tua kita yang mungkin takut ke hospital.

Ketahuilah, kita dituntut untuk mendapatkan rawatan. Ia merupakan tuntutan dalam agama Islam kerana perbuatan itu selari dengan salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

Barangkali, ada yang menganggap ia menyalahi konsep tawakal. Namun begitu, tanggapan berkenaan adalah salah sama sekali.

Mendapatkan rawatan itu merupakan antara ikhtiar untuk mencari kesembuhan melalui jalan yang dibenarkan oleh syarak.

Begitupun, ketika mendapatkan rawatan atau ubat, ingatlah bahawa ALLAH SWT sahajalah yang menyembuhkan segala penyakit. Ubat dan rawatan itu hanyalah sebagai satu bentuk ikhtiar sahaja.

Seperkara lagi, meskipun hukum mendapatkan rawatan adalah dituntut dalam agama, namun perlu kita tahu bahawa ia boleh jadi hukum wajib, sunat, harus dan makruh.

Semuanya bergantung kepada keadaan dan situasi yang dihadapi oleh seseorang individu itu iaitu:

1. Wajib

Jatuh hukum wajib sekiranya rawatan ditinggalkan, ia akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit.

2. Sunat

Jika tidak menerima rawatan, ia akan melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap memudaratkannya.

Hukumnya juga sunat sekiranya seseorang meninggalkan rawatan jika ia boleh membawa kepada pengabaian hak-hak manusia seperti seorang bapa yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak dan membawa kepada pengabaian hak-hak ALLAH seperti kurang cergas dalam melaksanakan ibadah misalnya, solat dan puasa. (Rujuk: Silsilah al-Tafasir, 8/80).

Sakit enggan dapatkan rawatan

3. Harus

Mendapatkan rawatan boleh jatuh kepada hukum harus seandainya ia tidak membawa sebarang kesan sebagaimana yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.

(Artikel berkaitan: 3 cara merawat hati yang disakiti yang diajar ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW)

Iklan

4. Makruh

Andai kata, terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut, maka hukumnya adalah makruh.

Oleh itu, segala bentuk rawatan yang sesuai perlu dijalankan ke atas pesakit.

Apatah lagi jika penyakit yang dihadapi seseorang boleh memudaratkan diri lebih-lebih lagi dalam situasi yang mampu menggugat nyawanya.

Pun begitu, segala risiko tersebut mestilah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada orang yang pakar iaitu pengamal perubatan terlebih dahulu.

Iklan

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan DIA akan menurunkan ubatnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, berjumpalah doktor atau pengamal perubatan jika kita jatuh sakit untuk mendapatkan rawatan. Lebih-lebih lagi sakit yang boleh memudaratkan dan melemahkan diri.

Usaah pentingkan diri sendiri terutama kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab kepada orang lain sehingga tidak dapat dilunaskan dengan sebaiknya.

Sumber: Bayan Linnas Siri ke-226: Hukum Enggan Mendapatkan Rawatan Atau Menjalani Pembedahan, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik