Sakitnya hati bila dikhianati sampai tak nak jumpa orang tu

Dikhianati orang
July 13, 2020
Oleh Nurulfatiha

DALAM dunia, perkara yang paling sukar adalah mendapat kepercayaan orang. Sebab itulah sering kali kita dengar betapa mahalnya nilai sebuah kepercayaan itu.

Hanya kepada orang yang benar-benar kita yakin sahaja, barulah kepercayaan atau amanah itu diberikan.

Andai orang yang dipercayai itu mengkhianati kita, sakitnya bukan kepalang. Disebabkan perbuatan khianat itulah rasa percaya kita itu hilang sekelip mata.

Namun begitu, hatilah yang paling parah ketika ini. Rasa sakitnya itu tidak tertanggung. Kadangkala terasa seolah-olah enggan bertemu atau terserempak langsung dengan individu berkenaan.

Apa tidaknya, setiap kali bersua, pasti rasa sakit tadi akan kembali bertandang. Peristiwa pernah dikhianati terpampang dan berlegar-legar dalam fikirkan.

Itu sememangnya fitrah manusia sukar melupakan perkara pahit yang berlaku dalam hidupnya.

Sekiranya perkara itu terjadi kepada kita, apakah yang perlu dilakukan? Islamkan mengajar umatnya supaya tidak membalas perbuatan jahat yang dilakukan oleh orang lain?

Pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid memperincikan jawapannya menerusi video IGTV di Instagram miliknya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, jelas Ustaz Don, jika kita memberikan amanah kepada orang lain untuk berbuat sesuatu, tetapi dia khianat untuk membuatnya, sebaiknya kita berjumpalah dengannya dan menyuarakan rasa hati kita.

Beliau turut memberikan contoh mudah. Umpamanya, kita pinjamkan kereta kepada orang. Orang itu pula ialah sepupu kita. Entah bagaimana dia pula langgar pula kereta kita. Tindakan itu membuatkan kita berkecil hati.

Iklan

"Hendak buat macam mana sebab dia sepupu (kita)? Memang kerap kita jumpa. Asal jumpa dia saja, sakit hati. Boleh ke kita tak jumpa dia?

"Jika begini situasinya, seelok-eloknya jika orang itu berbuat khianat kepada kita dan tidak memohon maaf, jumpa dia terlebih dulu maklumkan bahawa kita kecil hati. Mungkin orang itu tak tahu. Barangkali dia menganggap pertalian sebagai sepupu itu okay saja. Kadang-kadang orang tak perasan perkara ni," jelas beliau.

Ujar Ustaz Don, tindakan itu kadangkala perlu dilakukan secara peribadi. Ia bertujuan untuk meluahkan perasaan kita dalam keadaan yang tenang.

"Ingat, anger (kemarahan) lebih ringkas daripada danger (bahaya). Anger boleh mendorong kepada danger.

"Jangan marah, luahkan dalam keadaan berhikmah. Bagi tahu dia sebab kalau kita tak beritahu, dia tak akan tahu," kongsi beliau.

Iklan

Firman ALLAH SWT: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh." (Surah al-A'raf, ayat 199)

Berdasarkan ayat tersebut, jelas Ustaz Don, Islam mengajar kita menjadi pemaaf dan berlapang dada.

Lumrah seorang manusia membuat kesilapan. Kesilapan itu pula kadangkala tidak disengajakan, terang beliau.

"Kita pun biasa buat kesilapan yang tidak disengajakan.

"Apa yang penting, forget the mistake, remember the lesson (lupakan kesalahan, ingatlah pengajarannya)," nasihat beliau.

Memang sukar untuk kita melupakan silap orang kepada kita. Apatah lagi jika perkara itu menyakitkan hati kita di lubuk paling dalam.

Perkara itu memang diakui benar. Dalam hal ini, penulis terkenangkan bait-bait kata seorang pendakwah ketika mewawancaranya awal tahun tempoh hari.

Kata Ustaz Fauzi Mustaffa: Melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja ALLAH SWT. ALLAH tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan.

"Nabi Muhammad SAW sendiri pun masih ingat lagi apa yang Abu Jahal dan musuh-musuh Islam lain lakukan terhadap baginda. Bahkan, apabila kita melupakannya, kita boleh terjebak kembali ke 'lubang' yang sama," jelas beliau.

Apa pun, cubalah kita jelaskan apa yang kita rasa kepada individu berkenaan. Semoga hati kita akan bertambah tenang.

Sumber: Instagram Daniyal Biyajid

About Nurulfatiha

Biodata Penulis