WALAUPUN tidak pernah melihat atau bersama dengan Nabi Muhammad SAW, namun ia bukanlah perintang untuk kita melupakan baginda.

Selawat menjadi kelaziman pada diri kita sebagai tanda rindu dan kecintaan kepada kekasih ALLAH SWT itu. Masakan tidak, ia dibaca pada setiap kali kita menunaikan solat fardu.

Bukan itu sahaja, kita juga masih ada al-Quran yang dan al-Sunnah yang ‘ditinggalkan’ baginda sebagai panduan.

Ya, memang Nabi Muhammad telah wafat meninggalkan kita, namun kita masih boleh ‘dekat’ dengan baginda menerusi artifak-artifak kepunyaan baginda.

Semua peninggalan yang sangat bernilai itu bakal dipertontonkan dalam Pameran Khazanah Peninggalan Rasulullah SAW di Madrasah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) yang terletak di Sungai Buloh, Selangor pada 5 hingga 6 September ini.

Kepada SinarPlus, Mudir DUAM, Ustaz Hasnul Hakim Md Zain memaklumkan, sebanyak 20 artifak termasuk beberapa khazanah eksklusif yang tidak pernah dipamerkan dalam mana-mana pameran di negara ini bakal dipertontonkan dalam program berkenaan.

Paling istimewa katanya, artifak ekstrak peluh Rasulullah SAW yang diambil daripada tikar yang sering kali menjadi tempat tidur baginda. Turut dipamerkan ialah kayu sugi milik baginda.

“Kita juga akan pamerkan baju Saidatina Fatimah RA yang tidak pernah dipamerkan dalam mana-mana pameran sebelum ini.

“Selain itu, ada beberapa khazanah yang bakal ditampilkan seperti rambut, janggut, darah bekam, tapak kaki dan serban Rasulullah SAW dalam pameran tersebut,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Artifak Rasulullah
USTAZ HASNUL HAKIM (gambar kiri) memberitahu, ada 20 artifak Rasulullah SAW bakal dipamerkan pada 5 dan 6 September ini dalam pameran berkenaan.

Memperincikan tentang pameran itu, Ustaz Hasnul Hakim menjelaskan, ia terbuka kepada orang ramai secara percuma.

Namun, mereka yang ingin hadir ke pameran berkenaan perlulah mendaftarkan diri terlebih dahulu secara online menerusi pautan http://tiny.cc/PameranArtifak dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Selepas proses pendaftaran online, pihak kami akan rekod secara automatik dan menyusun kehadiran peserta supaya tidak bersesak-sesak ketika pameran berlangsung. Hanya 20 pengunjung dibenarkan pada satu-satu masa selama 20 minit.

Iklan

“Pihak penganjur juga akan memberikan e-mel atau hubungi mereka dan membuat follow up kedatangan pengunjung. Kita hanya akan terima pengunjung yang berdaftar saja. Pengunjung yang walk in tidak akan dibenarkan masuk,” jelas beliau.

Serentak pada hari pembukaan pameran, turut diadakan upacara pecah tanah bagi pembangunan Surau Nur Al Mustafa DUAM.

Artifak Rasulullah
PERSIAPAN yang dilakukan Madrasah Darul Uloom Al Mustafa untuk menganjurkan Pameran Khazanah Peninggalan Rasullulah SAW pada 5 dan 6 September ini.

Kepada mereka yang berminat, segera buat pendaftaran online untuk mendapatkan tempat di sana.

Iklan

Pameran Khazanah Peninggalan Rasulullah SAW berlangsung mulai jam 10 pagi hingga 10 malam anjuran DUAM dengan kerjasama Galeri Warisan, Kuala Terengganu, Terengganu.

INFO

Pameran Khazanah Peninggalan Rasulullah SAW
Tarikh: 5 & 6 September 2020 (Sabtu dan Ahad)
Masa: 10 pagi hingga 10 malam
Lokasi: Madrasah Darul Uloom Al Mustafa, Lot 1677, Jalan Gajah 10, Kampung Kubu Gajah, 47000 Sungai Buloh, Selangor
https://maps.app.goo.gl/9SaYuRzDz99Lb9mf8
Pautan pendaftaran online: http://tiny.cc/PameranArtifak

Foto: Sinar Harian & Facebook Darul Uloom Al Mustafa