ZAMAN sekarang, semuanya serba canggih. Apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan segala urusan rutin atau pekerjaan boleh didapati pada hari ini.

Tinggal lagi, pilihan terletak pada diri masing-masing sama ada mahu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian atau tidak.

Masakan tidak, terdapat segelintir orang yang masih selesa dengan menggunakan cara atau pendekatan lama.

Bukan sahaja peralatan yang melibatkan perkakasan rumah dan pejabat sahaja yang mengalami perubahan digitalisasi. Namun, hampir keseluruhan hidup kita dipengaruhi oleh arus pemodenan tersebut.

Ia termasuklah dengan al-Quran. Jika dahulu, hendak baca al-Quran, kita perlu membuka mushaf. Apabila ingin berkelana, mushaf al-Quran mini sering menjadi pilihan ramai untuk dibawa ke sana ke mari.

Pahala membaca al-Quran
BUKAN sahaja mushaf al-Quran. kini sudah banyak aplikasi dan al-Quran digital yang mudah diperoleh menerusi telefon pintar masing-masing.

Begitupun, dengan kecanggihan teknologi, kita boleh sahaja membaca al-Quran di mana-mana tempat bersesuaian menerusi aplikasi atau al-Quran digital dalam telefon pintar masing-masing.

Dari segi pahala pula, adakah ganjaran membaca mushaf al-Quran sama dengan membaca ayat suci berkenaan menerusi telefon?

Sebelum merungkaikan jawapannya, pendakwah Ustaz Abdullah Khairi Haroon menjelaskan, umat Islam dituntut untuk membaca al-Quran kerana kalamullah itu akan memberi syafaat kepada mereka yang sering kali melazimkannya.

USTAZ ABDULLAH KHAIRI

Beliau menganjurkan agar kita mengalunkan ayat suci menerusi mushaf berkenaan. Banyak ganjaran pahala diperoleh apabila membaca al-Quran itu dengan cara sedemikian.

“Lebih baik kita pegang mushaf kerana memegangnya dalam keadaan berwuduk, dapat pahala berbanding dengan memegang telefon.

“Bayangkan pegang mushaf dapat pahala, tengok (kitab suci itu pun) dapat pahala, apalagi apabila kita membacanya, sudah tentu dapat pahala.

Pahala membaca al-Quran
MENYENTUH al-Quran juga akan mendapat pahala, apatah lagi apabila membacanya.

“Bukan itu sahaja, (membaca dalam keadaan) gagap juga dapat pahala. Justeru, lebih elok sekiranya kita dapat memegang mushaf al-Quran tersebut,” katanya dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…)

Begitupun, ujar Ustaz Abdullah Khairi, seandainya kita tiada mushaf pada waktu berkenaan, boleh sahaja menggunakan telefon untuk membaca ayat suci itu.

“Telefon pun boleh sahaja (untuk baca al-Quran), tiada masalah,” katanya.

(Artikel berkaitan: 5 aplikasi dibangunkan Jakim yang mungkin ramai tak sedar, sangat memudahkan urusan kita)

Sesungguhnya, Islam itu agama yang memudahkan. Dalam apa jua keadaan pun, kita masih boleh membaca al-Quran kecuali uzur syarie.

Apa-apapun, jangan sesekali tinggalkan al-Quran. Usah biarkan mushaf itu ‘suci dalam debu’ tanpa terusik sedikit pun.

Ketahuilah, kelak kalamullah itulah yang akan menjadi peneman setia kita di alam barzakh.

Sumber: Facebook Ustaz Abdullah Khairi Page Original

Foto: Freepik & Instagram @abdullahkhairi_official