SHARJAH merupakan bandar yang begitu masyhur di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Masakan tidak, ia menjadi bandar ketiga terbesar dan antara yang popular di negara berkenaan.

Namanya kian popular apabila terbinanya Sharjah Quran Academy yang pada masa kini dikatakan menjadi akademi al-Quran terbesar di dunia.

Ia baharu sahaja dirasmikan oleh Pemerintah Sharjah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UAE, Sheikh Dr Sultan bin Mohamed Al Qasimi pada hari Khamis lalu sebagaimana dilaporkan oleh portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Saudi Gazette.

Sharjah Quran AcademyMenariknya, kompleks akademi berkenaan berkeluasan 75,000 meter persegi yang mempunyai 34 kubah itu menempatkan tujuh muzium ilmiah dan sejarah.

Memetik laporan portal berita itu, bangunan tersebut memuatkan manuskrip al-Quran dan harta karun yang dikumpulkan dari pelbagai negara seantero dunia sepanjang zaman.

Di dalam Muzium Sejarah Penulisan Al-Quran di kompleks berkenaan misalnya, terdapat 60 naskhah manuskrip yang diedarkan di 15 bahagian yang masing-masing menceritakan tentang peristiwa yang berlaku pada abad berkenaan.

(Artikel berkaitan: [VIDEO] Indahnya alunan suara kanak-kanak Tanzania baca al-Quran, ramai yang tersentuh hati bila mendengarnya)

Selain turut dilengkapi dengan teknologi terkini untuk membantu para pengunjung akademi dengan sejarah penulisan mushaf berkenaan, turut dipaparkan adalah simulasi Gua Hira dengan alat paparan dan audio yang memerihalkan kisah awal wahyu al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Sharjah Quran AcademyPada perasmian akademi itu, Sheikh Dr Sultan turut mencemar duli melawat Muzium Al-Quran yang memuatkan 308 naskhah al-Quran berharga dan manuskrip arkeologi serta koleksi khazanah Raja Sharjah selain salinan al-Quran rasmi yang dikeluarkan pelbagai negara di dunia termasuk terjemahan dalam pelbagai bahasa.

Turut dipamerkan adalah ilmu-ilmu al-Quran yang mulia untuk memberikan penjelasan kepada pengunjung tentang pembacaan al-Quran dan asal usulnya, tokoh-tokoh terlibat dan kaedah persembahan mereka. Ia boleh disaksikan di Seven and Ten Readings Museum.

Di sekitar tiang yang ada dalam kawasan muzium berkenaan, turut dipamerkan tentang tokoh-tokoh al-Quran dengan pencapaian dan penerbitan mereka yang tidak ternilai.

Lapor Saudi Gazette lagi, Penguasa Sharjah itu memberitahu bahawa terdapat 323 pelajar lelaki dan wanita dari 101 buah negara telah mendaftar dengan maqra’ elektronik global di akademi berkenaan.

Dalam pada itu, Sheikh Dr Sultan bertitah, akademi berkenaan bukan sahaja menjadi muzium yang akan menempatkan gambar dan manuskrip, tetapi juga tempat yang kaya dengan pelbagai aktiviti dan program.

Sumber & Foto: Saudi Gazette & https://www.khaleejtimes.com/