MELIHAT orang lain dalam kesusahan, cepat sahaja bantuan diberikan. Tidak kisah menyedekahkan sejumlah wang kepada golongan yang memerlukan.

Ya, memang bagus amalan sedekah itu. Malah, perbuatan mulia itu sangat dianjurkan dalam Islam. Lebih-lebih lagi jika ia diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Namun begitu, apabila melibatkan keperluan keluarganya, ada segelintir orang begitu liat untuk mengeluarkan wang.

Begitu juga apabila ada ahli keluarga yang susah, sebilangan orang sukar benar menghulurkan pertolongan.

Apatah lagi, jika ingin sedekah sedikit wang demi meringankan beban ahli keluarganya itu. Sedangkan, individu tersebut mempunyai pertalian keluarga yang dekat dengannya.

Ia seolah-olah menggambarkan sikap hipokrit diri sendiri.

Dengan orang lain yang langsung tidak dikenali, boleh sahaja sedekah dilakukan, tetapi dengan keluarga sendiri payah betul.

Berhati-hatilah andai perkara itu yang berlaku kepada kita.

Menurut pendakwah Dr Zaharuddin Abd Rahman, ia merupakan antara belitan yang dilakukan oleh iblis apabila kita melakukan sedekah kepada orang lain, tetapi keluarga sendiri pula diabaikan.

Beliau turut menukilkan pandangan Imam Ibn Jawzi dalam perkara itu.

Kata Umam Ibn Jawzi: “Orang yang bersedekah, tetapi bersifat bakhil kepada keluarganya. Telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa  Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik sedekah adalah sedekah yang diberikan ketika kamu kaya dan mulakan dengan orang yang paling hampir denganmu.”
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban) dan;

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bersedekahlah kamu.”

Maka seorang lelaki berkata: “Aku hanya ada satu dinar sahaja.”

Rasulullah SAW menjawab: “Gunakan ia untuk dirimu.”

Lelaki itu berkata: “Bagaimana jika aku ada satu dinar yang lain?”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Berilah kepada isterimu.”

Berkata lelaki itu: “Bagaimana jika aku mempunyai satu dinar yang lain.”

Iklan

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Berilah kepada anakmu.”

Lelaki itu berkata lagi: “Bagaimana jika aku ada satu dinar yang lain?”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Berilah kepada pekerjamu.”

Lelaki itu berkata lagi: “Bagaimana jika aku ada satu dinar yang lain?”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Kamu lebih mengetahuinya.”

Ujar Dr Zaharuddin, dalam perihal sedekah, keutamaan orang yang layak menerima sedekah adalah kepada kaum keluarga yang terdekat.

Iklan

(Artikel berkaitan: [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu)

“Ia seperti mana yang telah disebutkan pada bab yang sebelum ini. Rasulullah SAW menganjurkan kepada kita untuk memberi sedekah kepada kaum keluarga terlebih dahulu, sebelum memberi sedekah kepada orang lain.

“Ketahuilah, iblis sentiasa membisikkan tipu daya terhadap orang yang memberikan sedekah dengan mengatakan bahawa sedekah pada orang yang jauh dan tidak dikenali itu lebih afdal.

“Sedangkan, matlamat utamanya adalah supaya orang itu akan merasa bangga apabila dikenali oleh orang ramai kerana rajin bersedekah,” kata beliau dipetik menerusi hantaran Facebook miliknya baru-baru ini.

Sedekah
BERILAH keutamaan kepada diri sendiri, isteri, anak dan orang yang terdekat kepada kita untuk bersedekah.

Tidak salah untuk kita bersedekah kepada orang lain. Sebaiknya, lakukanlah mengikut keutamaan iaitu keluarga yang paling dekat dengan kita terlebih dahulu.

Jika memang kita ada wang lebih, bantulah golongan yang fakir miskin atau mereka yang memerlukan.

Namun, jangan pernah menyimpan rasa bangga dapat membantu orang lain atau menunjuk-nunjuk dengan sedekah yang dihulurkan.

Sumber: Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman