APABILA menerima kehadiran cahaya mata, ramai ibu bapa yang sudah berkira-kira untuk mengadakan akikah buat anak masing-masing, selain memenuhi keperluan mereka.

Bagi anak lelaki, disunatkan untuk menyembelih dua ekor kambing, manakala anak perempuan pula hanya seekor kambing.

Sekiranya kita ingin membuat akikah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing yang disembelih pada waktu yang berbeza, adakah dibolehkan?

Adakah ia tetap dikira sebagai akikah walaupun jarak untuk sembelihan dua ekor kambing berkenaan mengambil masa berbulan-bulan?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah seorang anak lelaki ditebus dengan dua ekor kambing yang sama umur, manakala anak perempuan pula dengan seekor kambing.” (Sunan Abi Dawud, Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibn Majah)

Ketika mensyarahkan hadis berkenaan, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, sembelihan dua ekor kambing itu mestilah dibuat bersekali dan tidak boleh ditangguhkan salah satunya. (Rujuk Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, 9/592)

Seandainya tidak mampu, melakukan dua sembelihan dalam waktu yang berbeza tetap dibenarkan. Begitu juga jika kita ada halangan tertentu.

Ia berdasarkan hadis: “Apabila aku memerintahkan kamu akan satu perkara, maka laksanakanlah ia semampu mungkin. Dan apabila aku melarang suatu perkara, maka hendaklah kamu jauhinya.” (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan: “Apabila suatu perkara/keadaan menjadi sempit, maka ia diperluaskan.”

Iklan

Justeru, tiada masalah jika sembelihan itu dilakukan pada kesempatan atau hari yang lain, cuma ia kurang afdal.

Usah risau seandainya kita terpaksa melakukan sembelihan dua ekor kambing untuk akikah anak lelaki masing-masing dalam waktu yang berbeza.

Ingatlah bahawa Islam agama yang memudahkan umatnya. Syariat tidak memberatkan seseorang atas suatu yang kita tidak mampu.

Iklan

Sumber: #Al-Kafi 1013: Hukum Menyembelih Dua Ekor Kambing Akikah Secara Berasingan, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik