RABIULAWAL begitu sinoinim dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Mengikut kalendar Islam, umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul atau Hari Keputeraan Baginda SAW pada hari Khamis ini.

Sebagai umat akhir zaman yang tidak pernah bertemu dengan baginda SAW, namun masih banyak perkara yang boleh kita lakukan sebagai tanda ingatan terhadap kekasih ALLAH itu.

Antaranya menghidupkan sunah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Banyak sebenarnya perilaku baginda yang boleh kita ikuti untuk dijadikan suri teladan.

Ramai yang maklum tentang makanan sunah seperti kurma, sunah baginda ketika memakai kasut, makan dan minum serta seumpamanya.

Namun, ada dua sunah yang seringkali dilupakan, kata pendakwah Ustaz Elyas Ismail sebagaimana dipetik menerusi Facebook Live di laman media sosial miliknya baru-baru ini.

Beliau memetik pandangan Shaikh Mohammad bin Saleh Al-Uthaimin dalam perkara itu.

Berikut merupakan perkongsian Ustaz Elyas tentang dua sunah yang dilupakan oleh kebanyakan daripada kita:

Pertama: Sunah Nabi Muhammad SAW ketika bermusafir

1. Bertolak awal pagi

Ketahuilah, nabi sangat gemar untuk bertolak pada waktu pagi ketika bermusafir. Masakan tidak, ada banyak kelebihan pada waktu pagi. Antaranya, baginda SAW mendoakan keberkatan waktu pagi dan orang yang menghidupkan waktu pagi.

Selain itu, apabila bertolak pada waktu pagi, kita tidak akan menyusahkan atau mengganggu tuan rumah yang kita hendak tuju tadi berbanding jika kita bertolak pada waktu malam. Ia tidak kiralah sama ada tuan rumah berkenaan merupakan ahli keluarga kita atau tidak.

Namun, semua itu bergantung kepada situasi masing-masing. Barangkali ada orang yang mempunyai anak kecil yang mungkin ada masa tertentu untuk mereka bertolak.

Sunah nabi
JANGAN lupa membaca doa naik kenderaan, bertahmid dan bertakbir sebelum memulakan perjalanan.

Jika bertolak pada waktu malam, sebaiknya bertolaklah selepas tengah malam kerana pada waktu berkenaan, ada riwayat menyatakan, keadaan bumi dilipat ketika itu. Maksud dilipat itu dalam erti kata lain, perjalanan kita akan menjadi lebih cepat.

Seperkara lagi, nabi berpesan supaya kita sentiasa memohon perlindungan daripada ALLAH SWT jika ingin bertolak pada malam harinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah kalian tahu apa yang aku tahu tentang apa yang ada pada waktu malam, nescaya kamu tidak akan berjalan seorang diri pada waktu malam.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebaiknya, janganlah bermusafir seorang diri kerana pada waktu malam ada bahayanya.

2. Servis kenderaan

Sebelum memulakan perjalanan, sebaiknya servis terlebih dahulu kenderaan yang akan digunakan. Ia bagi memastikan keadaan kenderaan yang selamat kerana kita membawa banyak nyawa.

Firman ALLAH SWT: “Siapa yang menjaga kehidupan seorang manusia umpama dia menjaga keselamatan seluruh manusia.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Nabi Muhammad SAW pernah menegur seorang sahabat. Lelaki itu menaiki unta yang sudah berusia. Walaupun untanya tidak larat, namun tetap ditungganginya juga.

Lalu, baginda SAW bersabda: “Bertakwalah kamu kepada ALLAH terhadap haiwan yang tidak mampu berkata-kata ini. Tungganglah haiwan ini dengan baik dan berilah dia makan yang terbaik.”

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelas bahawa apa jua kenderaan yang akan digunakan, pastikan ia sudah diselenggara dengan cara terbaik.

Sunah nabi

3. Mengingati ALLAH ketika memulakan perjalanan

Pada suatu hari, para sahabat melihat, Saidina Ali menunggang kuda. Sebelum menaikinya, beliau membaca bismillah dan doa naik kenderaan, bertahmid (mengucapkan alhamdulillah) sebanyak tiga kali, bertakbir (Allahu akbar) tiga kali, membaca subhana inni zolamtu nafsi faghfirli atau beristighfar, kemudian tertawa sedikit.

Para sahabat lain hairan melihat perlakuan Saidina Ali RA lalu ditanyakan kepada beliau. Lantas Saidina Ali memberitahu bahawa beliau pernah bertanyakan soalan yang sama ketika melihat Rasulullah SAW melakukan semua perkara tersebut.

Baginda SAW menjawab bahawa perbuatan tadi menyebabkan ALLAH mengampunkan dosa orang yang bermusafir itu.

Bayangkan orang yang bermusafir itu telah diampunkan dosanya walaupun belum memulakan perjalanan. Ketika bermusafir pula adalah waktu mustajabnya doa bagi mereka kerana kesusahan yang terpaksa direntas sepanjang perjalanan tersebut.

Kedua: Sunah ketika kita membina atau membeli rumah

Iklan

Sunah nabi

1. Jauhkan rumah kita daripada perkara-perkara syirik

Ia penting jika kita ingin mendapat rumah yang barakah.

2. Jangan mengatur tandas menghadap atau membelakangi kiblat

Tidak kiralah sama ada rumah yang kita beli atau sewa, perkara ini perlu diutamakan. Namun begitu, andai rumah tadi sudah dibeli dan sukar untuk diubah kedudukannya kerana memerlukan kos yang tinggi umpamanya, maka kita sendiri yang perlu mengubah kedudukan ketika sedang qada hajat.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kalian mendatangi tandas, janganlah kalian menghadap kiblat ataupun membelakangi kiblat, akan tetapi hadaplah ke arah timur ataupun barat.” (Riwayat al-Bukhari)

Sunah nabi
ELAKKAN memilih rumah yang memiliki tandas yang menghadap atau membelakangi kiblat.

3. Pisahkan tidur anak lelaki dan perempuan

Bagi mereka yang ada anak lelaki dan perempuan, pisahkanlah tempat tidur mereka. Pada masa sama, kita perlu memastikan bahawa susun atur bilik anak lelaki dan perempuan itu sempurna dari segi memelihara aurat mereka.

4. Aturkan bilik mandi bersambung dengan tempat persalinan pakaian

Iklan

Ia supaya aurat kita terpelihara daripada pandangan orang lain sekalipun apabila ada tetamu bertandang ke rumah kita.

Sunah nabi
ASINGKAN bilik anak lelaki dan perempuan di dalam rumah masing-masing.

5. Wujudkan ruang khas untuk beribadah

Dalam satu riwayat, ada disebut bahawa sebaik-baik solat itu adalah solat di rumah kecuali solat fardu. Maka, degan ruang solat itu, ia akan menimbulkan mood yang baik untuk kita beribadah kepada ALLAH SWT, di samping menjadikan kediaman kita sebagai rumah mesra ibadah.

Demikian antara sunah yang dilupakan oleh masyarakat kita terutamanya dalam hal berkaitan rumah.

Justeru, Ustaz Elyas berpesan agar kita menjadikan dua perkara tersebut sebagai amalan.

“Ingatlah, pahala bukan hanya diraih dalam masjid atau dengan hanya menunaikan solat atau berzikir, tetapi ketahuilah, setiap inci langkah dalam kehidupan kita hanya kerana mengikut sunah nabi juga boleh meraih pahala,” jelas beliau.

Marilah sama-sama kita mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kecintaan kita terhadap baginda SAW.

Sumber: Facebook Ustaz Elyas Ismail

Foto: Freepik