PADA malam ini, kita sudah memasuki 12 Rabiulawal apabila tibanya waktu Maghrib. Mengikut kalendar Islam, tarikh ini begitu istimewa dan menjadi tanda ingatan kepada seluruh umat agama suci ini.

Masakan tidak, ia bukan sahaja tarikh kelahiran kekasih ALLAH SWT iaitu Nabi Muhammad SAW. Pada tarikh yang sama itu jugalah baginda wafat. Ia hanya dibezakan oleh tahun sahaja.

Mengenangkan diri tidak pernah berkesempatan langsung menemui baginda SAW, mengundang rasa sebak dalam hati.

Namun, itu bukanlah alasan untuk kita sebagai umat akhir zaman melupakan perjuangan, keperibadian dan segala yang istimewa tentang insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah.

Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW menjadi suri teladan terbaik buat umat Islam. Sikap dan akhlak baginda boleh dicontohi dari segenap aspek kehidupan.

Baginda SAW merupakan penghulu segala nabi dan terkenal dengan sifat zuhud yang luar biasa. Meskipun pernah ditawarkan kekayaan dunia oleh ALLAH SWT, namun baginda memilih untuk hidup zuhud dan bersederhana.

Malah, akhlak Rasulullah SAW merupakan akhlak perwujudan al-Quran.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam satu riwayat hadis. Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW.

Lalu, Aisyah RA menjawab: “Akhlak Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Akhlak Nabi Muhammad

Begitu ringkas jawapan isteri Rasulullah itu, tetapi ia sarat dengan makna yang besar. Ia menggambarkan bahawa satu sifat itu mewakili seluruh sifat yang ada pada nabi dan rasul terakhir itu.

(Artikel berkaitan: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…)

ALLAH SWT berfirman: “…Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus…” (Surah al-Isra’, ayat 9)

Sebenarnya, Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia ada sebabnya tersendiri.

Memetik laporan jurnal menerusi ejournal.um.edu.my yang bertajuk ‘Akhlak Warisan Rasulullah SAW Membawa Kemuliaan Umat’, baginda dibangkitkan oleh ALLAH kepada umat bukan sekadar untuk menyeru kita mengabdikan diri kepada-NYA semata-mata.

“Baginda SAW juga diutuskan untuk memperbaiki akhlak umat ini. Akhlak merupakan suatu perkara penting dalam kehidupan manusia.

“Bahkan, kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana akhlaknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi jurnal berkenaan.

Masakan tidak, dengan akhlaklah kita diajar supaya menghormati ibu bapa, bersopan santun atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga dan manusia secara umumnya daripada segenap aspek kehidupan.

Akhlak Nabi Muhammad
BERBUAT baik kepada ibu bapa dan menghormati mereka antara akhlak terpuji yang dituntut dalam Islam.

Ini kerana manusia mempunyai dua hubungan iaitu hubungan dengan Sang Pencipta dan hubungan sesama manusia.

Andai salah satu daripada hubungan berkenaan tidak dijaga tidak sempurnalah hubungan kita dan tidak seimbang antara satu sama lain.

12 ciri keberkesanan akhlak

Sesungguhnya, kita sebagai umat yang tidak pernah berkesempatan hidup bersama baginda, hanya bersandarkan kepada mukjizat terbesar Rasulullah SAW iaitu al-Quran, selain sunah yang diajarkan baginda SAW.

Nabi Muhammad SAW merupakan sebaik-baik contoh. Sikap baginda yang sememangnya adalah akhlak Islamiah itu akan mendorong umatnya ke arah kebaikan.

Malah, kecintaan baginda kepada ALLAH SWT mengalahkan cinta beliau daripada selain-NYA.

Terdapat 12 ciri keberkesanan akhlak yang mendorong kepada kemuliaan kehidupan manusia sebagaimana dijelaskan dalam jurnal ejournal.um.edu.my.

Berikut 12 ciri-ciri tersebut:

1. Benar dan jelas dalam pertuturan

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatta, baginda bersabda bahawa selagi seorang hamba bercakap dusta atau berusaha untuk berdusta, maka terlekat pada hatinya suatu titik hitam hingga menyelubungi hatinya, maka tercatat di sisi ALLAH SWT daripada golongan orang yang berdusta.

Maka, jelaslah bahawa mereka yang terkesan dengan akhlak mulia akan memastikan dirinya memelihara percakapan, jauh daripada dusta dan sebagainya. Mereka sentiasa mendapat hidayah dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

2. Beramanah

Mereka yang bersikap baik sudah tentu menjadikan dirinya juga beramanah, tidak curang dalam muamalat dan sebagainya.

3. Bersemangat dan bercita-cita tinggi

Islam merupakan agama yang menyeru umatnya supaya bercita-cita tinggi, melihat ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang.

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yabg nengajak manusia merenung dan berfikir serta bersedia untuk masa hadapan.

Antaranya, firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, berbaktilah kepada ALLAH SWT dan hendaklah setiap jiwa memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk esok.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

4. Memelihara lidah

Akhlak Nabi Muhammad

Bagi mereka yang dipengaruhi oleh akhlak mulia, individu ini akan memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata yang tidak baik. Perkataan yang keluar dari mulutnya sentiasa dibiasakan dengan kata-kata yang baik.

Dalam sebuah hadis masyhur riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata tentang kebaikan. Jika tidak, hendaklah dia berdiam diri.

5. Membersihkan diri daripada hasad dengki dan dendam

Akhlak Nabi Muhammad
JAUHILAH sifat hasad dengki sesama kita kerana ia memberikan impak yang amat dahsyat.

Akhlak mulia akan menghakiskan segala sifat yang tercela, bahkan membersihkan diri daripada hasad dengki dan dendam. Malah, keberkatan akhlak yang baik membuatkan manusia sentiasa beradab dan bersopan santun.

6. Melahirkan pengorbanan

Seseorang itu akan terdorong menjadi pemurah dan pemberi tanpa perlu menungu manfaat atau maslahat keduniaan apabila dirinya terkesan dengan akhlak mulia.

Bukan itu sahaja, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu di dunia ini sekalipun terpaksa mengorbankan setiap apa yang dimiliki dalam kehidupan ini.

7. Berperikemanusiaan

Iklan

Kesan akhlak mulia juga dapat menjadikan manusia itu berperasaan perikemanusiaan atau berbuat baik dalam menggauli kaum kerabat mereka. Tidak kiralah sama ada bersama ibu bapanya, anak-anak mahupun saudara-maranya.

ALLAH SWT menyuruh hamba-NYA supaya beradab atau berbuat baik terhadap kedua-dua ibubapa lebih daripada orang lain kerana kedua ibu bapalah yang berperanan dalam kehidupan mereka.

8. Lemah lembut dan prihatin

Akhlak Nabi Muhammad

Akhlak mulia akan memberi kesan dalam diri seseorang yang melorongkannya supaya suka berbuat kebaikan kepada orang lain tidak kiralah sesama kerabat ataupun orang lain.

ALLAH SWT berfirman: “Sembahlah ALLAH SWT dan janganlah kamu mempersekutukan-NYA dengan sesuatu pun. Berbuat baiklah terhadap dua ibubapa, kerabat karib, anak yatim, orang miskin, jiran yang dekat atau yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 36)

9. Melakukan pekerjaan yang baik

Seorang yang bermoral sudah tentu akan melakukan pekerjaan yang baik. Tidak lagi mahu melakukan pekerjaan yang tidak baik atu buruk.

Ketahuilah, pekerjaan yang baik merupakan amal soleh. Malah, pekerjaan yang baik atau amal soleh disebut beberapa kali dalam al-Quran.

Ini jelas membuktikan bahawa pekerjaan yang baik atau amal soleh itu sangat penting. Malah, ia mempunyai peranan yang drastik dalam kehidupan manusia sama ada di dunia atau akhirat.

Ini kerana iltizam seseorang dalam melakukan amal soleh dengan sempurna akan menjadi baik terhadap kehidupannya di dunia atau di akhirat.

10. Berfikiran logik

Islam sangat memberi keutamaan terhadap akal kerana ia dapat membantu individu membentuk dirinya, kemudian mengemudinya ke arah melakukan kebaikan di dunia.

Bahkan, akal mampu mendorong diri manusia untuk mengkaji dan membuat penyelidikan dalam pelbagai bidang dan mencari dan menyelami rahsianya.

Iklan

Mereka yang menyelami untuk mencari rahsia kehidupan ini akhirnya sampai kepada peringkat pengenalan terhadap ALLAH SWT, Pencipta alam ini serta Pentadbirnya.

11. Kepentingan berdialog

Para muslimin keluar dari Semenanjung Tanah Arab membawa Kitab ALLAH SWT dan Sunnah Rasulullah SAW serta fikiran mereka yang telah diasuh dan dididik oleh Rasulullah. Maka mereka berdakwah kepada penduduk di satu-satu tempat dengan hikmah dan nasihat yang baik serta bertolak ansur.

Mereka tidak menggunakan kekerasan atau kekuatan untuk memaksa mereka memeluk agama Islam. Bahkan mereka berdialog dengan mereka secara baik. Itulah akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

12. Berukhuwah dan tolong-menolong

Akhlak Nabi Muhammad

Jika seseorang Islam itu melazimi dan melaksanakan akhlak mulia sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran al-Karim, maka akan lahirlah perasaan lemah lembut, hormat menghormati sesama manusia serta akan terhindar sikap suka menyakiti orang lain seperti menjatuhkan maruah seseorang atau menahan dan menyekat kebebasan seseorang.

Oleh itu, akan lahirlah masyarakat yang bersaudara, berkasih sayang dan bersimpati terhadap yang lain.

Melihat 12 ciri-ciri berkenaan, maka jelaslah bahawa segala sifat, keperibadian dan akhlak baginda menjadi rujukan buat kita pada hari ini dalam memandu kehidupan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat kelak.

Baginda SAW merupakan guru yang terbaik. Sebagai umatnya, wajar bagi kita untuk mengikuti segala ajaran, sunah dan warisan yang ditinggalkan.

Pada masa sama, jangan lupa untuk menyebarluaskan risalah dakwah Nabi Muhammad SAW. Kenanglah segala jasa dan pengorbanan baginda demi agama dan untuk kebaikan umatnya.

Selamat menyambut Maulidur Rasul. Hidupkanlah malam ini dan hari esok dengan aktiviti yang bermanfaat. Banyakkan berselawat dan bermunajat. Andai mampu, berpuasa sunatlah pada hari esok.

Sumber: republika.co.id & https://ejournal.um.edu.my/

Foto: Freepik & 123rf