JUMAAT adalah hari yang ALLAH hadiahkan kepada umat Islam. Islam meletakkan hari Jumaat sebagai ‘Sayyidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari yang terkumpul banyak fadilat seperti yang dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunah.

Banyak kelebihan, keistimewaan, dan kemuliaan pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Jumaat juga adalah hari yang paling mustajab untuk berdoa. Waktu yang dianjurkan untuk kita berdoa ialah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari.

Baca juga: Pakai niqab tapi mekap mata berlebihan, Ustazah Asma’ Harun beri teguran

Di samping itu terdapat beberapa amalan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk diamalkan bersempena hari yang mulia ini.

1. Membaca Surah Al-kahfi

Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. (HR Muslim, Hadis Sahih)

2. Sedekah walau sedikit

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalan kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim, Hadis Sahih)

Kredit foto: Pexels

3. Memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (HR al-Baihaqi,Hadis Hasan)

4. Memperbanyakkan doa

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ
Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.”(HR al-Bukhari, Hadis Sahih)

Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۗ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِۙ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-KU dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)

Baca juga: Terlalu rindu arwah ibu, jemaah wanita rebah 3 kali di pangkuan Ustazah Asma’ Harun usai saie

Kredit foto: Pixabay

5. Melazimi istighfar

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi ALLAH, sesungguhnya aku beristighfar kepada ALLAH dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (HR Bukhari, Hadis Sahih)
Daripada Syaddad bin Aus r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Iklan

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-MU. Aku di atas perjanjian-MU dan janji-MU sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-MU kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-MU, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (HR al-Bukhari, Hadis Sahih)

Banyakkan membaca selawat pada hari Jumaat. Mereka yang banyak berselawat ke atas Rasulullah SAW berpeluang menjadi orang yang paling dekat dengan baginda pada hari kiamat. Semoga kita dapat memperbanyakkan amal di hari Jumaat yang barakah ini.

Baca juga: “Emak tulang belakang terkuat, didikan bapa bentuk diri.” – Ustazah Asma’ raih anugerah Tokoh Sayidatina Aishah

Sumber: Ustazah Asma’ Harun 

Iklan

Kredit foto utama: Pexels

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi