ACAP kali kita lihat, orang tersengih-sengih dan senyum sendiri ketika membaca mesej ataupun menghadap media sosial bila ada suatu perkara yang dirasakan mencuit hatinya. Mudah benar senyuman diukirkan walaupun tiada siapa pun yang melihatnya ketika itu.

Tapi saat berdepan atau bertembung dengan orang, keadaan menjadi sebaliknya. Tiba-tiba saja wajah jadi ‘ketat’ dan serius memanjang. Sungguh tak faham betul dengan apa yang berlaku pada zaman sekarang ini.

Perilaku itu ibarat kita seolah-olah seperti membayar dengan sejumlah wang bagi sekuntum senyuman itu. Bukan itu saja, ada juga orang yang tegar betul hatinya tidak membalas senyuman manis yang ‘dihadiahkan’ kepadanya.

Sedikit sebanyak ia boleh merencatkan hubungan kita dengan orang di sekeliling. Bukankah Islam mengajar kita untuk menjaga silaturahim?

Senyuman juga merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Sesungguhnya, perbuatan itu memang tidak boleh dipandang enteng kerana senyuman adalah sebahagian daripada sedekah. Nabi Muhammad SAW sendiri gemar menguntumkan senyuman dalam kehidupan seharian baginda. Apakah hukumnya jika kita tidak membalas senyuman orang lain?

Kena ikhlas

Persoalan tersebut Sinar Islam lontarkan kepada pendakwah, Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz. 

PU FAIZ

Beliau memulakan bicara dengan berkongsi satu hadis Nabi Muhammad SAW yang memerihalkan senyuman merupakan satu sedekah.

Rasulullah SAW bersabda: “Senyumanmu ke wajah saudaramu adalah sedekah bagimu.” (Riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan hadis berkenaan, beliau berkata, sedekah yang dimaksudkan adalah melapangkan dada dan hati kenalan kita dengan mengukir senyuman dengan roman wajah yang manis.

“Bila seseorang itu senyum dan bermanis muka, maka ia sebenarnya akan menambahkan ketenangan jiwa, mendamaikan kepada sesiapa yang melihatnya,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Begitupun, PU Faiz mengingatkan senyuman perlu lahir dari hati yang ikhlas dan penuh mahabbah (kasih sayang).

“Kita kena ingat bahawa senyuman itu ada pelbagai bentuk. Ada yang bersifat sinis dan ikhlas. Jadi apa-apa pahala atau ganjaran (senyuman) itu ternilai daripada niat seseorang. Jika ia penuh dengan mahabbah, insya-ALLAH berpahala.

“Tapi kalau (senyuman) sinis, memang dapat senyuman itu, namun tidak berdasarkan tuntutan syarak dan tidak berpahala,” katanya.

Bagaimana pula dengan senario jika senyuman tidak dibalas? Jawab PU Faiz, meskipun perbuatan terbabit tidak jatuh pada hukum wajib dan berdosa, tetapi ia sebenarnya ada kaitannya dengan keelokan hubungannya sesama manusia.

“Apa pun, kita kena berbaik sangka. Barangkali individu berkenaan tak perasan,” ujar pendakwah berkenaan.

Senada dengan PU Faiz ialah pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid. Pun demikian, kata beliau, sekiranya seseorang tidak membalas senyuman orang lain, ia tidak akan dituntut di akhirat.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

“Cuma, ia menjejaskan akhlak kita dan hubungan dengan orang tadi. Sebaik-baiknya senyumlah dalam apa jua keadaan kerana kita akan peroleh balasan berganda-ganda yang tidak terhitung banyaknya dan pahala yang mulia. Ia sebagaimana disebutkan dalam ayat 18, Surah al-Hadid,” ujar beliau.

Iklan

Akhlak Nabi Muhammad SAW

Ustaz Bakhtiar Fitri menambah, Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu diteladani. Malah, senyuman juga adalah akhlak baginda.

Terdapat banyak hadis meriwayatkan tentang keperibadian Nabi Muhammad yang sentiasa menguntum senyuman.

Abdullah bin Harits bin Jazi pernah mengatakan: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak senyumannya selain Rasulullah SAW.” (Riwayat Tirmidzi)

Mengambil iktibar daripada akhlak mulia baginda, Ustaz Bakhtiar Fitri menasihatkan umat Islam agar bersedekah walaupun dengan hanya sekuntum senyuman ikhlas kerana ALLAH.

“ALLAH SWT akan menjadikan hidup orang lain lebih mudah dengannya. Orang lain juga akan berlapang dada dengannya, menggembirakannya dan dikurniakan kawan-kawan yang baik (dengan sebab dia berbuat baik). Subhanallah, dengan senyuman, kita dapat ringankan bebanan yang ditanggung. Jadi, jangan lokek untuk senyum” ujarnya.

Justeru, dalam apa jua keadaan sekalipun, kita digalakkan menguntumkan senyuman kepada orang lain. Ia bukan sekadar menghidupkan sunah Rasulullah SAW, tetapi perlakuan mulia itu, kita meredakan hati orang lain yang mungkin dalam keresahan ketika itu.

Iklan

Andai tidak mampu sedekah dengan wang, harta dan tenaga, ‘dermalah’ senyuman dengan hati yang benar-benar ikhlas. Semoga dengan sebab itu meningkatkan saham akhirat kita.

ANEKDOT

Manfaat senyuman dari sudut kesihatan

– Senyum membuatkan seseorang lebih menarik.
– Menyenangkan hati.
– Senyum boleh ‘berjangkit’ kepada orang di sekeliling.
– Meredakan stres.
– Meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
– Menurunkan tekanan darah.
– Kelihatan muda.
– Membantu orang tetap dalam keadaan positif.

(Sumber: https://m.detik.com/)