HEADLINES

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

June 7, 2020
Oleh Nurulfatiha

TIDAK terlambat lagi rasanya jika kita ingin memulakan puasa sunat enam pada bulan Syawal.

Ya, Hari Raya Aidilfitri masih lagi berbaki dua minggu lagi. Boleh saja kita mulakan puasa pada bila-bila masa sebelum Syawal meninggalkan kita.


Walaupun hukumnya sunat, tetapi alangkah baiknya kalau kita boleh menunaikannya. Fadilatnya bukan calang-calang tau.

Kalaulah kita tahu, sudah tentu peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu saja. Apa tidaknya, bukannya selalu kesempatan itu datang depan mata.

Setahun sekali saja Syawal bertandang iaitu selepas Ramadan mengucapkan selamat tinggal kepada kita.

Iklan

Apa sebenarnya kelebihan yang ada jika kita berpuasa sunat enam pada bulan Syawal ini?

SinarPlus kongsikan jawapan pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkenaan kelebihan puasa sunat enam.

Iklan

USTAZ MUSTAFAR

Jelas beliau, puasa enam hari pada bulan Syawal adalah sunat yang dituntut untuk kita melakukannya.

“Ia sebagaimana pendapat Mazhab Syafie, Hambali dan selainnya berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim,” kongsinya.

(Artikel berkaitan: Boleh ke dahulukan puasa sunat enam Syawal daripada qada puasa Ramadan?)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti enam hari pada bulan Syawal, maka seolah berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim) 

Hadis itu menunjukkan sesiapa yang menunaikannya ibarat seperti berpuasa selama 365 hari! Subhanallah, beruntung kepada sesiapa yang berjaya melakukannya.

Kata Ustaz Mustafar lagi, puasa berkenaan lebih utama dilakukan secara berturut-turut.

“Jika ia dilakukan secara berselang-seli dan masih pada bulan Syawal, maka puasanya tetap sah seperti pendapat Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah,” katanya.

Selain itu, agamawan itu menjelaskan, puasa sunat enam juga menampung kekurangan puasa Ramadan seperti disebutkan dalam hadis sahih riwayat al-Tirmizi yang mana ALLAH SWT akan melihat kepada solat yang fardu. Jika ada kekurangan, maka dilihat kepada solat sunat, begitulah amalan lainnya seperti puasa.

Mudah-mudahan dengan melakukan puasa sunat Syawal menjadikan kita bertambah iman dan takwa kepada ALLAH SWT.

Justeru, marilah kita bersama-sama melakukannya. Jangan sia-siakan peluang yang ada di depan mata ini.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis