Sibuk cari rezeki hingga abaikan tuntutan ALLAH. Jangan terjerumus dalam golongan seperti ini

Sibuk cari rezeki
November 26, 2020

LUMRAH seorang manusia begitu memikirkan tentang rezeki dirinya dan keluarganya. Ia tidak pernah padam dalam kamus hidup seseorang waima bekerja makan gaji mahupun bekerja sendiri.

Siapalah yang tidak risaukan tentang perkara itu. Rezeki begitu penting untuk melayari kehidupan di muka bumi ini. Bagaimana kita hendak makan dan mencari tempat berteduh andai tiada rezeki?

Iklan

Demikian tanggapan segelintir masyarakat tentang rezeki yang berbentuk wang. Malah, tidak dinafikan memang ramai juga orang yang sangat takut dengan perihal rezeki masing-masing.

“Rezeki ALLAH itu luas, ada di mana-mana. Jangan risau. Berusahalah dan carilah bersungguh-sungguh.”

Kerap kali juga bait-bait perkataan itu didengari. Ungkapan berkenaan sering dititipkan buat mereka yang sedang berusaha mencari rezeki agar tidak berputus asa.

Iklan

Benar, ALLAH SWT telah menjamin rezeki buat semua makhluk yang diciptakan-NYA.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman-NYA: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak melata di bumi melainkan ALLAH jualah yang menanggung rezekinya…” (Surah Hud, ayat 6)

Pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan berkata, kalamullah itu jelas menyatakan bahawa setiap makhluk sudah diberikan jaminan rezeki oleh ALLAH SWT.

IMAM MUDA HASSAN

“Maka, sebab itu tidak salah jika saya katakan sesiapa yang ada sifat hasad dengki, ia termasuk dalam perbuatan yang mensyirikkan ALLAH. Apa tidaknya, dia tidak yakin dengan jaminan rezeki ALLAH.

“Kenapa kita nak dengki dengan orang, jiran atau adik-beradik. Ingatllah, tak ada istilah mereka ambil rezeki kita. Ini kerana ALLAH telah memberikan rezeki lebih kepada individu tersebut kerana usaha yang lebih kuat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Facebook Live bertajuk Jangan Takut dengan Rezeki ALLAH di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sibuk cari rezeki
USAHLAH menyimpan hasad dengki dengan rezeki yang dikurniakan kepada orang lain.

Dalam perihal mencari rezeki itu, Imam Muda Hassan menasihatkan kita agar bersikap seperti burung yang keluar pada waktu pagi tanpa membawa sebarang makanan.

Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada ALLAH, sungguh ALLAH akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Sehubungan itu, pendakwah berkenaan menyarankan kepada kita agar mengambil pengajaran daripada kisah burung berkenaan. Bayangkan burung ‘bekerja’ pada setiap hari walaupun tidak tahu akan rezekinya pada hari berkenaan.

“Namun begitu, ia tetap berikhtiar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, lalu yakin bahawa ALLAH akan memberi rezeki untuknya. Jika kita ada sikap itu sebagaimana yang ada pada burung, bermakna kita orang yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya.

Imam Muda Hassan turut memetik bait-bait mutiara daripada Ibnu Atha’illah as-Sakandari RA yang dinukilkan dalam kitab al-Hikam: “Kesungguhanmu pada perkara yang telah dijamin bagimu dan kecuaianmu pada perkara yang dituntut daripadamu, ia menunjukkan ketiadaan yakinmu dan hilangnya pandangan hatimu.”

Pendakwah itu turut mengajak seluruh umat Islam agar merenung kata-kata itu yang begitu dalam maksudnya. Pada saat kita mendapatkan rezeki yang dijamin oleh ALLAH SWT, tetapi cuai pula melakukan ibadah yang dituntut ke atas kita.

(Artikel berkaitan: Perasan hebat, lupa diri tujuan hidup di dunia ni… Tunggulah balasan Tuhan!)

“Benar, mereka yang mencari rezeki untuk menanggung anak dan isteri akan mendapat pahala. Begitu juga dengan berniaga. Malah, mereka yang mencari rezeki untuk nafkah keluarga juga dianggap sebagai fisabilillah di jalan ALLAH menurut menurut hadis. Ia termasuk juga orang yang mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua.

“Memang besar pahalanya apabila digelar fisabilillah. Kita cari rezeki untuk anak, Alhamdulillah dinaikkan pangkat dan mula lupa diri bahawa rezeki datangnya daripada ALLAH, dapat projek banyak, banyak mesyuarat dan mula sibuk hingga mengabaikan ibadah.

“Ingatlah, ALLAH tidak suka sikap ini. Ia seolah-olah kita nampak hebat, tetapi sebenarnya itulah yang sepatutnya menjadi ketakutan kita kerana sikap itu membuktikan betapa malapnya atau gelapnya mata hati kita.

“Kita sibuk mendapatkan rezeki yang dijamin ALLAH sampai kita lupa dan cuai kepada ALLAH yang memberi rezeki.

Sibuk cari rezeki

“Kita sibuk sampai satu tahap kita rasa diri kita begitu hebat. Rupanya tanpa kita sedar itu adalah istidraj iaitu ALLAH berikan kenikmatan supaya kita melupakan-NYA. Na’uzubillah, mohonlah dijauhkan perkara ini,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Imam Muda Hassan mengingatkan agar tidak sesekali mengabaikan hak-hak ALLAH.

“Sekalipun seseorang itu hisap dadah, minum arak dan sebagainya, ingatlah bahawa kewajipan solat ke atasnya tidak akan pernah gugur begitu sahaja.

“Oleh sebab itu, janganlah mempertikaikan rezeki yang diperoleh oleh orang lain walaupun dirinya mungkin tidak sempurna di mata kita. Barangkali orang itu telah berusaha bersungguh-sungguh walaupun dia tidak solat, itu adalah dosanya dengan ALLAH. Mungkin juga orang itu tetap diberikan rezeki kerana istidraj. Itu yang paling kita takuti,” katanya.

Justeru, berpijaklah di bumi yang nyata. Ingatlah asal usul kejadian kita. Tiada maknanya mencari rezeki yang dijamin jika sampai kita lupakan Tuhan. Moga-moga kita dijauhkan daripada sikap ini. Amin.

Sumber: Facebook Imam Muda Hassan

Foto: 123rf & Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis