AROMA air kopi yang ‘menyengat’ pastinya akan membangkitkan selera penggemar tegar minuman berkenaan untuk menikmatinya.

Namun begitu, jika kita telah berwuduk dan minum air kopi berkenaan, adakah batal wuduk tersebut?

Bagaimana pula dengan solat fardu yang ditunaikan selepas minum air kopi berkenaan ketika sudah berwuduk? Adakah sah solat berkenaan?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, makan dan minum sebenarnya tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan wuduk.

“Apabila meneliti semula perkara-perkara yang membatalkan wuduk, ia hanya melibatkan apabila kita bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram; apa sahaja yang keluar daripada qubul dan dubur iaitu membuang air kecil dan besar; hilang akal sebab gila dan menyentuh kemaluan sendiri.

“Tiada langsung cerita tentang makan dan minum. Jadi, wuduk tadi tetap sah dan tiada masalah,” katanya ketika menjawab persoalan menerusi segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

Apa yang menjadi masalahnya, jika ia membabitkan perihal solat kita, terang beliau. Ini kerana perbuatan makan dan minum itu termasuk antara perkara-perkara yang boleh membatalkan solat.

Iklan
makan dan minum
PERBUATAN makan dan minum termasuk antara perkara-perkara yang boleh membatalkan solat.

“Jadi apabila kita minum air kopi berkenaan, dikhuatiri ketika solat, terasa seperti air kopi itu ada lagi, boleh batal solat kita,” katanya.

Kepada mereka yang minum air kopi dan sebagainya selepas berwuduk, Mohamad Fitri menasihatkan agar berkumur dengan bersih sebanyak tiga kali.

Iklan

“Keluarkan dulu (sisa kopi dalam rongga mulut). Tidak mengapa sekiranya tidak mengambil wuduk yang baharu.

“Namun, jika hendak mengambil wuduk yang baharu juga tiada masalah. Jadi dalam kes ini, ingatlah kita kena bezakan antara wuduk dan solat tadi,” nasihat beliau.