SEGELINTIR orang tunaikan solat macam ‘ribut’. Tak tahulah apa yang dikejar-kejarkan sangat. Kadang-kadang kita yang duduk berhampiran ini siap boleh buat perbandingan dengan orang yang solat di sebelahnya.

Orang sebelah tu baru nak masuk rakaat kedua, tapi individu tadi tu dah selesai solat. Sedangkan kedua-dua mereka hampir sama waktu ketika memulakan solat.

Terdetik juga dalam hati ini, macam manalah dia boleh baca laju-laju bacaan dalam solat tu. Kalau kita baca laju-laju boleh jadi tergeliat lidah, sebutan pun jadi tak betul.

Mungkin juga ada orang tak kisah pasal solat terlalu cepat atau tidak. Janji kewajipan itu sudah pun ditunaikan.

Tapi boleh ke kalau kita solat terlalu cepat macam ‘ribut’ tu? Apa hukumnya solat terlalu cepat?

Menjawab persoalan berkenaan di Instagram miliknya baru-baru ini, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, solat adalah sah sama ada ia dilakukan cepat atau lambat apabila cukup segala rukun dan syaratnya.

“Akan tetapi, jika tak cukup rukun dan syaratnya. Solat itu jadi tidak sah sama ada ia (solat) cepat atau lambat,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Bolehkah pejam mata ketika solat untuk tambah khusyuk?)

Ketahuilah bahawa solat yang terlalu cepat biasanya tidak sempurna rukun dan syaratnya, terang beliau lagi.

“Antara rukun yang tidak sempurna bila dilakukan dengan cepat adalah membaca al-Fatihah.

“Bacaan al-Fatihah terlalu cepat sampai tidak betul sebutan huruf dan makhrajnya adalah tidak sah,” katanya.

Bukan itu sahaja, tambah Ustaz Azhar Idrus lagi, solat terlalu cepat lazimnya akan menghadapi masalah dalam tamakninah ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

“Kerana itulah Rasulullah SAW melarang kita terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara. Apatah lagi dalam melakukan ibadah yang sangat penting dalam Islam ini,” jelas beliau.

Solat cepat macam 'ribut'
LAKUKANLAH solat dengan tertib dan mengikut rukunnya.

Memperincikan lagi fakta berkenaan, Ustaz Azhar Idrus turut mengemukakan pandangan Syeikh Syed Abdullah bin ‘Alawi Al-Hadad.

Kata Syeikh Syed Abdullah: “Maka hendaklah kamu jauhi daripada perbuatan meringan-ringan yang melampau yang biasa dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di dalam solat tarawih mereka sehingga terkadang jatuhlah dengan sebabnya itu kepada mencederakan kewajipan-kewajipan seperti meninggalkan tumakninah di dalam rukuk dan sujud dan meninggalkan bacaan al-Fatihah dengan bacaan yang diwajibkan dengan sebab terlalu cepatnya.

Iklan

“Maka jadilah setengah mereka itu di sisi ALLAH seperti orang yang tidak solat yang patutnya mendapat pahala. Maka akuilah dengan kecuaian ini dan selamatkanlah dari perkara menghairankan seperti ini.

“Terlalu cepat dan terburu-buru dalam solat ini dan yang seumpamanya adalah termasuk sebesar-besar tipu daya syaitan bagi orang beriman yang membatalkan pahala amal yang telah mereka amalkan. Jauhilah dari perlakuan sebegini dan berjaga-jagalah baginya,” kata Syeikh Syed Abdullah sebagaimana dipetik dalam Kitab Nasoihuddin.

Berdasarkan pandangan tersebut, Ustaz Azhar Idrus menyimpulkan bahawa solat yang dilakukan terlalu cepat menyebabkan tidak sempurna rukun dan syarat solat.

Iklan

“Siapa yang tidak sempurna rukun dan syarat solatnya, maka solatnya itu tidak sah dan wajib diulangi.

“Jika tidak diulangi, maka mereka dikira tidak menunaikan solat.

“Orang yang suka solat terlalu cepat adalah orang yang telah ditipu oleh syaitan,” tegas beliau.

Justeru, kita kena berhati-hati dalam bab solat. Jangan semberono saja.

Takut nanti walaupun kita rasa kita dah solat, tapi sebenarnya solat kita tadi tak sah. Minta-mintalah dijauhkan begini.

Sumber: Instagram uiaoriginal