JIKA awal Ramadan tempoh hari, ramai yang kekok untuk solat tarawih di rumah, kini sekali lagi rasa perasaan nervous kembali bertamu dalam kalangan ramai orang menjelang Syawal yang berbaki kurang tiga hari lagi.

Ya lah, siapa pula yang akan pimpin solat sunat Hari Raya Aidilfitri kalau bukan ketua keluarga ataupun mungkin diri sendiri, bukan?

Walaupun sesetengah masjid dibuka, namun tidak semua berpeluang menunaikan solat Aidilfitri di sana kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tapi kalau dah namanya raya, rasa macam tak kena kalau tak buat solat hari raya. Selalunya kan, bangun pagi-pagi kebanyakan kita dah siap-siap mandi awal dan pakai baju raya cantik, sebelum menjamah sedikit hidangan dan terus ke masjid untuk menunaikan solat sunat.

Namun, kini kita terpaksa melupakan seketika momen itu kerana masih dalam musim PKPB. Ini juga demi menjaga diri masing-masing daripada terdedah dengan ancaman dan penularan wabak Covid-19.

Tapi jangan risau, kita boleh saja tunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah. Jom kita revise dan study sikit pasal solat sunat ini.

Dalam mazhab Imam Syafie, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakad menurut pendapat yang paling sahih.

Rasulullah SAW tak pernah tinggalkan langsung solat ini sejak mula ia disyariatkan sehinggalah baginda wafat.

Begitu juga para sahabat RA yang berterusan melakukannya selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Dari segi hukum pula, tiada masalah seandainya kita melakukan solat sunat Aidilfitri sama secara bersendirian ataupun berjemaah. Hukumnya adalah harus dan sah.

Solat sunat Aidilfitri
SOLAT sunat Hari Raya Aidilfitri boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau berjemaah di rumah masing-masing.

Bagi mereka yang menunaikannya secara berjemaah dengan keluarga di rumah, imam hendaklah membaca khutbah raya selepas selesai menunaikan solat berkenaan.

Bagaimanapun, tentang perihal khutbah ini, tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Teks khutbah ada disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Kepada mereka yang solat sunat Aidilfitri bersendirian pula, tidak dituntut untuk berkhutbah disebabkan tidak ada faedah padanya.

Meskipun begitu, sekiranya orang perempuan mendirikan solat hari raya secara berjemaah sesama mereka, maka tidak perlu untuk imam mereka berkhutbah (merujuk kepada rukun dan sunat khutbah) dan memadai sekadar tazkirah dan peringatan ringkas sahaja.

Macam mana nak melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah?

Ini dia caranya:

1. Niat solat sunat
-Solat bersendirian: Usalli sunnata aidilfitri rak’ataini lillahi ta’ala (Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat kerana ALLAH Taala)
– Solat berjemaah: Usalli sunnata aidilfitri rak’ataini imaman/makmuman lillahi ta’ala (Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat imam/mengikut imam kerana ALLAH Taala)

2. Takbiratul ihram

Iklan

Rakaat pertama

3. Lafaz takbir tujuh kali
*Diselangi dengan lafaz tasbih Subhanallahi walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar (MAHA SUCI ALLAH, dan segala puji bagi ALLAH dan tiada Tuhan melainkan ALLAH. Dan ALLAH yang MAHA BESAR)

4. Membaca al-Fatihah

5. Membaca surah pilihan

6. Rukuk, sujud dan berdiri dengan pergerakan solat seperti biasa

Solat sunat Aidilfitri
CARA menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Rakaat kedua

7. Lafaz takbir lima kali
*Diselangi dengan lafaz tasbih Subhanallahi walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar (MAHA SUCI ALLAH, dan segala puji bagi ALLAH dan tiada Tuhan melainkan ALLAH. Dan ALLAH yang MAHA BESAR)

8. Membaca al-Fatihah

9. Membaca surah pilihan

10. Rukuk, sujud dan tahiyat (pergerakan dan bacaan seperti solat biasa)

11. Salam

Iklan

12. Doa

13. Sunat berkhutbah

Semoga panduan ini dapat memudahkan kita untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di rumah.

(Sumber: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-515: Hukum Hakam Pelaksanaan Solat Hari Raya Aidilfitri di Rumah, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Jabatan Agama Islam Selangor)

Foto: Bernama & Infografik Facebook Jabatan Agama Islam Selangor