Suami 'hilang' lebih 20 tahun, tiada khabar berita, apalagi beri nafkah. Akhirnya isteri...

October 15, 2021
Oleh Lynn Mazlina

Oleh NURULFATIHA MUAH

MELIHAT anak terunanya berkerjaya tetap dan dikurniakan kesenangan hidup walaupun tidak mewah, sudah cukup membuatkan Salamah Tukiran (bukan nama sebenar) berasa bangga.

Terasa penat lelah selama membesarkan satu-satu anak tunggalnya berbaloi. Di sebalik rasa gembira dan syukur, wujud satu perasaan yang begitu mencengkam sanubari wanita berusia 52 tahun itu.

Salamah kesal apabila anaknya, Asyraf Harun (bukan nama sebenar) tidak mendapat menerima belaian kasih seorang insan yang bergelar bapa.

Bayangkan selama 23 tahun, Salamah ditinggalkan bersendirian terkapai-kapai meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi! Selama tempoh tersebut, kehidupan beliau seolah-olah digantung tidak bertali kerana dirinya tidak pernah memohon perceraian.

Bukan itu sahaja, suaminya juga tidak pernah memberikan nafkah kepada mereka, apatah lagi bertanyakan khabar mereka. Mujurlah Salamah mempunyai kemahiran menjahit. Hasil upah itulah yang digunakan untuk menyara kehidupan mereka berdua selama ini.

Cerita Salamah, segalanya bermula suaminya, Harun Abdullah (bukan nama sebenar) menerima pelawaan seorang rakannya untuk bekerja di ibu kota. Sebelum itu, lelaki itu hanya bekerja kampung sahaja dengan pendapatan tidak tetap.

Hidup mereka ibarat kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang. Namun, perkahwinan mereka tetap diulit bahagia walaupun ia diatur oleh orang tua masing-masing.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Iklan

Namun, disebabkan mahu mengubah nasib keluarga dan melangsaikan hutang arwah ibu bapanya, Harun sebagai anak tunggal terpaksa mengambil keputusan nekad itu.

Dengan berat hati, Salamah merelakan pemergian suami tercinta demi tanggungjawabnya kepada keluarga. Jadi, beliau dan anaknya terpaksa ditinggalkan di rumah pusaka keluarga Harun.

Lelaki itu berjanji untuk membawanya tinggal bersama apabila pendapatannya stabil kelak. Namun, janji hanya tinggal janji. Harun bukan sahaja tidak dapat dihubungi, malah jejaknya juga tidak dapat dikesan. Beliau juga tidak dapat berhubung dengan rakan suaminya. Entahkan hidup, entahkan mati, getus Salamah.

Lebih dua dasawarsa lamanya, Salamah menyembunyikan kisah itu. Kepada Asyraf, beliau hanya menyatakan Harun sudah meninggal dunia. Hanya setelah Asyraf berusia 28 tahun, barulah beliau mempunyai kekuatan menceritakan hal sebenar.

Iklan

 

Asyraf terkejut bukan kepalang mendengarnya. Sungguh, beliau tidak menyangka ibunya menahan derita zahir dan batin selama ini. Beliau mencadangkan supaya Salamah menuntut fasakh. Baginya, cukuplah penderitaan ditanggung ibunya selama ini.

Akhirnya, Salamah akur dan memfailkan kes fasakhnya sendirian. Beliau kemudian melantik peguam. Sepanjang perbicaraan, Harun tidak pernah hadir walaupun saman sudah dikeluarkan di alamat terakhirnya dikesan.

Pada masa sama, wanita itu turut mengemukakan dua orang saksi iaitu sepupunya. Bagi mengelakkan tohmahan akibat Harun tidak hadir saat pembelaan, mahkamah memerintahkan Salamah bersumpah Yamin Istisyhar.

Akhirnya, mahkamah mensabitkan Harun telah menghilangkan diri gagal memperuntukkan nafkah kepadanya selama tempoh 23 tahun.
Hakim meluluskan permohonan Salamah untuk membubarkan dan memfasakhkan pernikahannya serta memerintahkan wanita itu beridah selama tiga kali suci.

Saat itu, Salamah merasakan beban yang selama ini berada di pundaknya seolah-olah sudah tiada. Hatinya terasa lapang kerana tidak terikat lagi sebagai seorang isteri.

Baca komentar peguam 'Ikatan perkahwinan tidak terlerai sendiri melainkan dengan kematian' - Peguam Syarie

 

Jangan lupa follow kami di Instagram!

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *