SEMUA sedia maklum tentang larangan berjimak antara suami dan isteri pada siang hari dalam bulan Ramadan. Alhamdulillah kebanyakannya faham tentang perkara itu yang boleh menyebabkan puasa kita terbatal.

Bahkan, ada kafarah yang perlu dibayar akibat daripada perbuatan itu tadi. Ia merupakan kesalahan yang besar dan diharamkan oleh syarak, selain wajib bertaubat agar tidak mengulanginya lagi.

Namun begitu, lumrah pasangan yang sudah berumah tangga, adakalanya mereka bergurau senda, bermanja-manja dan seumpamanya. Andai kata, kita bermanja-manja dengan pasangan tetapi tidaklah sampai berjimak, apakah hukumnya?

Adakah boleh dilakukan pada siang hari Ramadan ketika sedang berpuasa?

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, bermanja-manja yang dimaksudkan mungkin bercium atau bercumbuan antara suami isteri.

DA’I SYAFIQAH

Menurut hadis daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW mencium salah seorang daripada isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Dalam satu lagi riwayat lain, Saidatina Aisyah RA berkata: “Adalah Rasulullah SAW itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesramesraan dalam keadaan baginda sedang berpuasa. Akan tetapi, bagindalah yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Wajib ambil tahu bab hubungan kelamin dalam bulan Ramadan

Iklan

Suami isteri bermanja-manja

“Daripada dua hadis tersebut, ada pendapat dalam Mazhab Syafie yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah makruh untuk bercumbuan ataupun bermesraan bagi sesiapa yang kuat syahwatnya.

“Namun begitu, bagi sesiapa yang mampu mengawal nafsunya, maka ia tidaklah makruh,” katanya.

Begitupun, Da’i Syafiqah menyarankan agar seelok-eloknya tinggalkanlah perbuatan itu.

“Bukan apa, ia untuk mengelakkan daripada keluar air mani ataupun perbuatan jimak yang boleh membatalkan puasa seseorang itu,” jelasnya.

Iklan

Foto: Freepik