SEMUA sedia maklum tentang perihal aurat. Tidak kiralah aurat lelaki mahupun wanita.

Ia wajib dipelihara dengan sebaiknya terutama daripada diperlihatkan kepada orang yang berlainan jantina dan bukan mahram.

Bagi kaum wanita yang sudah berumah tangga pula pula, aurat wanita sering kali dikaitkan dengan suami masing-masing.

Jika wanita berkenaan tidak menutup aurat, suami mereka turut akan menanggung dosa. Benarkah pernyataan itu?

Menurut pendakwah Asma’ Harun, anjuran menutup aurat dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW yang mana baginda menegur Asma’ binti Abu Bakar RA.

USTAZAH ASMA’

Sabda baginda SAW: “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita itu jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (baginda menunjuk muka dan telapak tangan).” (Riwayat Abu Daud)

Ujar beliau, aurat membawa maksud keaiban. Ia merujuk kepada beberapa anggota yang mana jika ia tidak ditutup, maka akan hilang kehormatan dan boleh mendatangkan aib.

“Justeru, aurat wajib ditutup dan hukumnya haram dibuka atau dipamerkan kepada mereka yang bukan mahram.

“Malah, Islam sangat memandang tinggi, memuliakan dan mengangkat martabat wanita,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Dalam perihal menutup aurat itu, jelas Asma’, ia perlu ditangani dengan tegas dan mengikut kuasa yang ada pada seorang suami.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

(Artikel berkaitan: Berhijab tak susah, namun wanita sukar istiqamah)

Merujuk kepada hadis di atas, pendakwah itu menjelaskan, suami adalah golongan yang mempunyai kuasa untuk bertindak mencegah isterinya supaya tidak mempamerkan auratnya kepada golongan bukan mahram.

Suami tanggung dosa isteri
SUAMI bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk bertindak mencegah isterinya daripada mempamerkan aurat kepada golongan bukan mahram. 

“Saya akui, memang terasa sukar dan kecewa jika nasihat diabaikan oleh isteri, tetapi ia adalah tanggungjawab berterusan seorang suami.

“Insya-ALLAH akan ada ganjaran pahala buat mereka yang tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH. Pertolongan ALLAH akan tiba,” katanya.

Adakah seorang suami menanggung dosa isterinya yang mendedahkan aurat walaupun dia sudah menasihatinya sehabis baik?

Menjawab persoalan itu, Asma’ menjelaskan, suami tidak menanggung dosa isteri kerana beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam menegur isteri.

Ia sebagaimana disebutkan oleh ALLAH SWT dalam firman-NYA: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (Surah Fatir, ayat 18)

Suami tanggung dosa isteri
SUAMI tidak menanggung dosa isteri apabila beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dengan menegur isteri. 

Dalam pada itu, pendakwah berkenaan turut berkongsi tip untuk para suami menasihati isteri masing-masing menutup aurat.

Antara cara yang dikongsikan beliau adalah seperti berikut:

1. Menasihati atau memujuk isteri dalam situasi yang tenang dan emosinya yang stabil. Pilih waktu yang sesuai.

Iklan

2. Membelikan isteri pakaian yang menepati syariah.

3. Memuji isteri yang sedang mencuba menutup aurat dengan pujian yang menyenangkan hatinya.

4. Berterusan memberi sokongan dan kata-kata semangat pada isteri yang mahu berhijrah menutup aurat.

5. Membelikan buku-buku mengenai wanita solehah.

Suami tanggung dosa isteri
SUAMI boleh memberikan hadiah berupada tudung dan pakaian yang menepati syariat sebagai galakan kepada isteri untuk menutup aurat dengan sempurna. 

Seandainya isteri masih enggan mahu berubah dengan nasihat dan usaha-usaha di atas, Asma’ berkata, para suami bolehlah melakukan kaedah yang kedua iaitu memisahkan tempat tidur.

Iklan

“Jika tidak juga berhasil, maka dibolehkan memukul isteri (dengan pukulan ringan bagi tujuan mengajarnya),” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengajak kita supaya mengamalkan doa supaya perintah itu boleh disempurnakan dengan sebaiknya.

Suami tanggung dosa ist
BERDOALAH semoga isteri mengikut syariat yang diperintahkan dan terus istiqamah jika baru berjinak-jinak berhijab. 

Justeru, jangan mudah berputus asa dalam mendidik dan membimbing isteri.

Sama-samalah kita berdoa agar usaha murni kita dipermudahkan oleh-NYA.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

Foto: Freepik