NAK buat pahala, tidaklah sesukar mana. Jika diikutkan, senang sangat nak dapat pahala iaitu hanya dengan membuat apa saja yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada orang.

Kebaikan ini tidaklah terhad dengan hanya bersedekah, tolong orang atau baca al-Quran. Ramai yang anggap begitu.

Walhal ada banyak lagi perkara yang boleh mendatangkan pahala. Antara yang paling mudah adalah dengan menyebut nama ALLAH.

Pasti ramai tertanya-tanya kenapa sebut nama ALLAH saja boleh dapat pahala. Kalaulah kita tahu betapa banyaknya kelebihan yang kita dapat dengan hanya menyebut nama YANG MAHA ESA, tentu ramai yang tak akan lepaskan peluang ini.

Sesungguhnya, kelebihan pahala menyebut ALLAH memang bukan calang-calang. Ia sepertimana yang dijelaskan oleh Ketua Kluster Hadis Majlis Akademik Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Dr Mohd Khafidz Soroni.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis masyhur bagi menerangkan tentang kelebihan berkenaan.

Daripada Ibn Mas‘ud RA katanya; Sabda Rasululah SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab ALLAH, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dilipat 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan, alif lam mim sebagai satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Berdasarkan hadis berkenaan, jelas Dr Mohd Khafidz, orang yang menyebut nama ALLAH dengan niat sebagai satu lafaz al-Quran, maka ia akan mendapat empat kebaikan.

“Ini kerana lafaz الله (ALLAH) itu terdiri daripada 4 huruf iaitu:  ا ل ل هـ (alif lam lam ha). Manakala satu kebaikan digandakan 10, justeru ia akan memperolehi 40 kebaikan.

“Maka, menyebut nama الله sahaja jelas akan diberi ganjaran pahala berdasarkan hadis sahih di atas,” kata beliau yang dipetik daripada laman sosial Facebook Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ISLAMI baru-baru ini.

Subhanallah tak sangkakan dengan menyebut ALLAH saja kita beroleh kebaikan pahala. Bukan satu, tapi sampai 40 kebaikan pahala.

Iklan

Kalaulah kita nampak pahala-pahala tadi terapung-apung di sekeliling kita, pasti kita takkan biarkan ia berlalu begitu saja.

Jadi lepas ni, jom sama-sama kita sebut nama ALLAH. Niatkanlah ia sebagai satu lafaz dalam al-Quran. Semoga kebaikan pahala yang bakal diperoleh akan berganda.

Iklan

Tapi ingat ya, jangan pula dalam tandas pun nak sebut nama ALLAH yang suci. Tak boleh sebut ALLAH dalam tandas. Beragaklah bila buat sesuatu, tengok sesuai ke tak dalam situasi tu.

Sumber: Facebook Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ISLAMI