MENGUAK kembali lembaran sirah sekitar tahun 164 Hijrah, lahirlah seorang insan yang membawa 1,001 rahmat kepada seantero dunia. Beliau bukanlah calang-calang individu.

Insan yang dimaksudkan ialah Imam Ahmad. Anak kelahiran kota Baghdad di Iraq itu merupakan pengasas Mazhab Hanbali yang menjadi antara empat mazhab fiqah utama dalam agama Islam.

Menjejaki sisi peribadinya, pemilik nama penuh Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad itu sudah menunjukkan kecerdikannya sejak kecil lagi.

Tokoh ilmuan Islam terkemuka itu turut dikenali sebagai Hanbal. Ia sempena nama datuknya yang pernah menjadi gabenor masyhur di Khurasan ketika pemerintahan Bani Umayyah.

Pada usia yang masih mentah, beliau sudah menghafal 30 juzuk al-Quran. Imam Ahmad mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya, Baghdad yang pada ketika itu telah menjadi pusat peradaban dunia Islam.

Di sana, Pelbagai ilmu pengetahuan yang digalinya. Ini kerana ramai para qari, ahli sufi, ahli hadis dan sebagainya menetap di kawasan berkenaan.

(Artikel berkaitan: Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi)

Maka, tidak hairanlah apabila usianya menginjak 15 tahun, Imam Ahmad sudah mula belajar ilmu hadis. Cendekiawan Islam itu mempunyai azam yang tinggi dalam menimba ilmu pengetahuan.

Memetik kata-kata ulama tersebut: “Kadang-kadang aku ini segera pergi pagi-pagi mempelajari dan mengambil (periwayatan) hadis, tetapi ibu segera mengambil pakaianku dan berkata, ‘Bersabarlah dulu. Tunggu sampai azan berkumandang atau setelah orang selesai solat Subuh’.

Sudah menjadi adat seorang ilmuan berguru dengan ramai golongan cerdik pandai. Begitu juga dengan Imam Ahmad. Beliau ialah anak murid Imam al-Syafie. Selain itu, beliau turut menimba ilmu daripada Abu Yusuf (seorang hakim dan murid Abu Hanifah) dan Hisyam bin Basyir bin Abi Kasim (ulama hadis di Baghdad).

Kecintaannya terhadap ilmu hadis membuatkan Imam Ahmad sanggup melawat beberapa kota terkenal seperti Hijaz, Kufah dan Basrah, selain ke seluruh pelosok Syria dan Semenanjung Arab. Semuanya dilakukan demi mendapatkan hadis.

Imam Ahmad sebenarnya faqih dalam pelbagai disiplin ilmu. Seperti kata Imam al-Syafie: “Ahmad ialah imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadis, fiqah, al-Quran, lughah (bahasa Arab), as-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak serta kefakiran.”

Ulama ulung itu juga terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan dermawan. Malah, menurut Imam Ibrahim bin Hani, Imam Ahmad berpuasa hampir setiap hari dan tidur sedikit pada waktu malam. Sebaliknya, masa itu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendirikan solat malam dan witir hingga tibanya waktu Subuh.

Dipenjara

Bukan itu sahaja, Imam Ahmad turut meninggalkan legasi ilmunya dengan penghasilan beberapa karyanya untuk rujukan orang ramai hingga ke hari ini.

Imam Ahmad
KITAB Musnad Ahmad ibn Hanbal adalah antara karya popular Imam Ahmad.

Antara tulisannya yang popular ialah Musnad Ahmad ibn Hambal. Karya itu disusun dalam jangka masa sekitar 60 tahun sejak tahun 180 Hijrah.

Menurut riwayat yang terkenal, beliau menghafal lebih 700,000 buah hadis. Daripada jumlah itu, sebanyak 40,000 hadis dihimpunkan dalam monumental.

Antara karya lain yang dihasilkan beliau termasuklah Kitab al-Manasik ash-Shagir, az-Zuhud, Fadha’il ash-Shahabah, Kitab as-Salat dan Kitab as-Sunnah.

Seperti insan lain, Imam Ahmad tidak terlepas menerima ujian. Beliau pernah dipenjarakan lebih dua tahun gara-gara fahaman pemerintah yang terpesong daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Akibatnya, beliau diseksa dan disebat beratus kali.

Dengan kuasa ALLAH, beliau akhirnya dibebas walaupun kudratnya sudah tidak seberapa akibat luka yang dialaminya. Apabila sihat, beliau kembali menyampaikan ilmunya hinggalah ke akhir hayatnya.

Imam Ahmad menemui Pencipta-NYA pada tahun 241 Hijrah di Baghdad. Berdasarkan Tarjamatul Imam, lebih 860,000 orang ziarah ketika pengebumian ulama ulung itu.

PROFIL

Iklan

Imam AhmadNama penuh: Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad.

Nama panggilan: Imam Ahmad dan Hanbal.

Asal: Baghdad, Iraq.

Tahun kelahiran: 164 Hijrah.

Tahun kematian: 241 Hijrah.

Iklan

Kepakaran: Ilmu hadis, fiqah, al-Quran dan bahasa Arab.

Karya agung: Musnad Ahmad ibn Hanbal, Fadha’il ash-Shahabah, Kitab as-Salat dan Kitab as-Sunnah.

BAIT MUTIARA

“Segala sesuatu pasti ada berkatnya. Adapun berkatnya hati adalah merasa puas dengan pemberian ALLAH YANG MAHA KUASA.” -Imam Ahmad

Sumber & Foto: myhadith.islam.gov.my, muftiwp.gov.my, Republika.co.id, ms.wikipedia.org, www.pinterest.com, https://mvslim.com dan https://whatisquran.com/