SUSULAN kebimbangan semasa terhadap penularan Covid-19, semua pihak termasuk masyarakat mengambil langkah untuk bersama-sama membendung wabak berkenaan.

Bagi umat Islam, antara perisai yang boleh digunakan untuk menepis jangkitan virus itu adalah dengan membaca qunut nazilah ketika menunaikan solat.

Dalam situasi semasa di negara kita dan dunia yang diuji dengan wabak Covid-19, umat Islam dituntut untuk membacanya ketika solat. Hukumnya adalah mustahab (sunat).

Ketahuilah bahawa qunut nazilah merupakan perbuatan yang tsabit di sisi syarak.

Ia dilakukan setiap kali ada peristiwa tertentu khususnya apabila musibah menimpa umat Islam.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah membaca qunut nazilah dalam solat baginda.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Ketika Nabi Muhammad SAW sedang mengerjakan solat Isyak sebaik sahaja baginda membaca Sami’allahu liman hamidah kemudian terus membaca doa sebelum baginda sujud dengan sebutan: Ya ALLAH, selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah, Ya ALLAH, selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya ALLAH, selamatkan lah Al-Walid Ibn al-Walid. Ya ALLAH, selamatkanlah golongan yang tertindas dari kalangan orang beriman. Ya ALLAH, KAU beratkanlah hukuman-MU ke atas suku kaum Mudhar. Ya ALLAH, jadikanlah ia seperti tahun-tahun Yusuf (tujuh tahun yang penuh kesulitan).” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis itu jelas menganjurkan kita untuk membaca qunut nazilah semasa iktidal pada rakaat yang terakhir.

Menurut Imam Al-Nawawi: “Disyariatkan qunut dalam kesemua solat fardu disebabkan nazilah (kejadian tertentu yang berlaku) dan bukanlah (ia dibaca) secara mutlak (yakni tanpa sebarang sebab).” [Rujuk Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/222)]

Iklan

Sementara itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan kata-kata Imam Al-Nawawi itu, beliau menjelaskan: “Sama ada nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum ataupun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudaratannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun, demikian juga hujan lebat yang memudaratkan.” [Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami (2/68)]

Berikut adalah perihal hukum tentang qunut nazilah secara ringkas:

Iklan
  • Disunatkan untuk dibaca secara kuat sama ada dalam solat al-sirriyyah (seperti solat Zohor dan solat Asar) atau solat al-jahriyyah (seperti solat Subuh, Maghrib dan Isyak).
  • Qunut nazilah hanya disyariatkan dalam solat-solat fardu sahaja dan tidak pada solat-solat sunat.
  • Boleh dibaca dalam solat fardu berjemaah mahupun secara bersendirian. Jika dilakukan secara berjemaah, imam membacanya dengan kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara berseorangan, maka ia dibaca secara perlahan.
  • Dibaca pada rakaat solat yang terakhir, semasa iktidal selepas bangun daripada rukuk.
  • Tidak perlu melakukan sujud sahwi sekiranya tertinggal qunut nazilah kerana ia bukan termasuk dalam sunat ab’aadh.
  • Disunatkan mengangkat kedua tangan semasa berdoa.
  • Tidak perlu menyapu tangan ke muka selepas berdoa.

Bagi mereka yang ingin melakukannya, antara doa yang dicadangkan dibaca ketika qunut nazilah:

‎اللَّهُمَّ اهْدِنا فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنا فِيمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لنا فِيمَا أَعْطَيْتَ وقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

‎اللهم إلَيكَ نَشْكُو وَإيَّاكَ نَرْجُو أَنْ تَدْفَعَ عَنَّا الْبَلَاء والوَبَاء والفِتَنَ والمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بطَن يا أرحم الراحمين ويا مُجِيبَ السَّائلِين

‎اللهم إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالجُنُونِ والْجُزَامِ وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَام

‎وصَلَّى اللهُ وسلَّم علَى نَبيِّنا محمَّدٍ وعَلى آله وصَحْبِهِ أجمعين

Jom sama-sama kita lakukannya untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama agar dijauhi daripada sebarang wabak serta penyakit berjangkit.

(Sumber: Al-Kafi #1160: Adakah Qunut Nazilah Dituntut dalam Situasi Covid-19? Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)