Sunat laungkan azan, iqamat di rumah sama ada solat sendiri atau berjemaah

April 5, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kehidupan kita memang tak ‘lari’ dari dalam rumah. Ini termasuklah solat di kediaman masing-masing.

Kalau solat di masjid atau surau, sudah tentulah ada laungan azan yang menandakan masuknya waktu solat. Kemudian, diikuti dengan iqamat sebelum menunaikan solat secara berjemaah.


Kemusykilan mula timbul apabila kita berada di rumah pada waktu PKP untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Adakah perlu juga untuk kita melaungkan azan dan melafazkan iqamat di rumah?

Sebelum meleraikan jawapannya, kita perlu faham bahawa azan merupakan salah satu daripada syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardu. Ia disyariatkan sebaik sahaja masuk waktu solat.

Begitu juga dengan iqamat. Tujuannya tak lain tak bukan adalah untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan.

Iklan

Ketahuilah bahawa hukum melaungkan azan dan iqamat adalah sunat muakkad bagi kesemua lima solat fardu sehari semalam, menurut Mazhab Imam Syafie.

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi: “(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamat) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya, maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82)

Pendapat itu juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha dalam kalangan mazhab yang lain seperti Malikiyyah.

Iklan

Justeru, seseorang yang menunaikan solat di rumah sama ada secara berjemaah atau sendirian, disunatkan juga untuk melaungkan azan dan juga iqamat.

Bagaimanapun, solat yang didirikan tanpa azan dan iqamat, hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat. Namun begitu, solatnya tetap sah.

Lebih afdal dan dituntut jika kita melaungkan azan dan iqamat setiap kali ingin mendirikan solat fardu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian dalam tempoh ini.

Bagi solat-solat sunat pula, tidak disyariatkan azan dan iqamat.

Kepada mereka yang sebelum ini tidak berbuat demikian, apa kata selepas ini kita amalkan bersama-sama.

Siapa lagi yang hendak mengimarahkan rumah kita kalau bukan kita sendiri kan?

(Sumber: Al-Kafi #1677: Perlukah Azan dan Iqamah Sekiranya Solat Dilakukan di Rumah, portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis