SETIAP kali selepas makan, makanan yang tidak habis pasti akan ditutup dengan tudung saji atau disimpan di dalam periuk semula, peti sejuk dan sebagainya.

Demikianlah cara yang diajar oleh ibu bapa kita sejak kecil lagi. Kita juga sudah terbiasa dengan pendekatan itu.

Masing-masing sudah sedia maklum bahawa jika makanan itu terbiar dan terdedah begitu sahaja, ia akan tercemar dan boleh mengakibatkan orang yang memakannya jatuh sakit.

Ya, memang ada benarnya perkara itu. Namun, sedar atau tidak, Islam juga mengajar umatnya dengan kaedah yang sama. Makanan dan minuman yang hendak ditinggalkan perlulah bertutup.

Sebenarnya, terdapat hikmah yang terkandung di sebaliknya yang mungkin ramai tidak sedar.

Malah, ada sebuah riwayat hadis yang jelas menyatakan tentang perkara berkenaan sebagaimana yang disebutkan oleh pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Jelas pendakwah itu, ia merupakan hadis sahih yang diriwayarkan oleh Abu Humaid As-Saidi RA.

Beliau berkata: “Aku telah mendatangi Nabi Muhammad SAW dengan dengan segelas susu dari Naqi’ yang tidak bertutup, lalu baginda bersabda: “Kenapa tidak kamu tutupnya sekalipun dengan meletakkan penutup kayu.” (Riwayat Muslim)

Iklan

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa menutup bekas yang berisi makanan dan minuman itu adalah perintah sunat, terang Ustaz Azhar Idrus.

“Hikmahnya adalah kerana mengelak daripada dijamah oleh syaitan dan memelihara daripada wabak serta memelihara daripada kotoran dan serangga.

“Apa yang disuruh tutup itu adalah bekas yang mengandungi makanan atau minuman yang disimpan.

“Adapun (makanan dan minuman) yang sedang dimakan atau diminum, maka tidak masuk pada perintah menutupnya,” jelas beliau.

Makanan dan minuman tak bertutup

Ustaz Azhar Idrus turut memetik pandangan Imam al-Nawawi yang menukilkan: “Dan telah menyebut oleh para ulama tentang perintah menutup itu beberapa faedah yang dua faedah antaranya adalah memeliharanya daripada syaitan kerana syaitan tidak dapat membuka bekas yang telah ditutup dan memelihara daripada wabak yang turun pada waktu malam dalam tahun itu dan faedah yang ketiga adalah memelihara daripada terkena najis dan segala kotoran dan keempat ialah memeliharanya dari sekalian serangga yang merayap dari kerana biasa terjadi terjatuh suatu daripadanya ke dalam bekas, lalu diminum sedangkan dia tidak menyedarinya atau pada malam hari yang jadi mudarat dengan sebabnya.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)

(Artikel berkaitan: Orang berjunub nak makan dan minum, kena ambil wuduk dulu…)

Iklan

Melihat kepada pernyataan itu, maka jelaslah kata Ustaz Azhar Idrus, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita menutup bekas yang berisi makanan dan minuman demi kebersihan dan kesihatan diri.

“Ingatlah, Islam agama yang sangat memelihara kedua-dua perkara ini,” nasihatnya.

Justeru, janganlah kita sesekali membiarkan makanan dan minuman yang akan dijamah tanpa menutupnya.

Bukan sahaja kebaikan dari segi kesihatan, tetapi juga Islam mengajar umatnya berbuat demikian untuk kebersihan, selain kesihatan kita.

Sebelum tidur, pastikan semua makanan yang tinggal itu ditutup bagi mengelakkan syaitan bermaharajalela di rumah kita dan menjamah makanan kita.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik