Syarak jaga maslahat manusia sejagat    

Syarak
August 7, 2020
Nurulfatiha

SETELAH hampir lima bulan berjuang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac lalu hingga kini, pelbagai dugaan dan rintangan terpaksa dilalui. Namun sebagai hamba ALLAH, kita tetap meneruskan ibadah dan melaksanakan segala hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh syarak dengan penuh kesabaran dan keinsafan.

Ketahuilah, hukum-hakam syarak bagi kategori taklifi ada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Bagi hukum wajib seperti solat fardu lima waktu sehari semalam, kewajipan itu tetap perlu disempurnakan sama ada ketika wabak atau tidak.

Namun, ada ketikanya syarak membenarkan kita mengambil rukhsah (keringanan) dalam situasi tertentu demi menjaga kemaslahatan yang lebih utama.

Masakan tidak, Islam mengajar umatnya agar memelihara nyawa dan menjaga diri daripada sebarang penyakit atau apa jua perkara yang boleh memudaratkan.

Hinggakan satu peringkat, seorang Muslim diharuskan untuk melafazkan kalimah kufur, sedangkan hatinya tetap dengan keimanannya. Ia demi menyelamatkan dirinya yang terancam seperti diugut mahu bunuh.

Firman ALLAH SWT: “Sesiapa yang kufur kepada ALLAH sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari ALLAH) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.” (Surah al-Nahl, ayat 106)

Satu lagi situasi adalah bagi orang yang sakit dan bermusafir. Mereka diharuskan baginya berbuka puasa pada bulan Ramadan sekiranya berpuasa boleh mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya.

Firman ALLAH SWT: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau bermusafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah baginya berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Ayat itu menunjukkan keharusan kepada seseorang Muslim meninggalkan sesuatu yang wajib ke atasnya demi memelihara nyawa dan mengelakkan berlakunya kemudaratan.

Tidak menyusahkan

Sesungguhnya, syariat Islam itu bersifat dinamik dan sesuai diamalkan pada semua tempat, masa dan situasi. Pada masa sama, Islam sangat menjaga dan menitikberatkan maslahat (kebajikan) manusia.

Dengan kata lain, ajaran Islam jauh daripada sifat menyusahkan dan memudaratkan penganutnya mahupun kehidupan manusia sejagat.

Firman ALLAH SWT: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Syarak
TAATILAH segala perintah ALLAH dan patuh kepada keputusan ulil amri atau pemerintah dalam semua perkara yang bertepatan dengan hukum syarak demi menjaga kemaslahatan bersama.

Dalam situasi ujian pandemik Covid-19 ini, beberapa pertimbangan perlu diambilkira dalam menetapkan sesuatu hukum. Antaranya adalah kaedah ad-dharar yuzal iaitu kemudaratan perlu dihilangkan, ad-dharurat tubihul mahzurat (kemudaratan boleh mengharuskan perkara yang dilarang) dan juga al-masyaqqah tajlibu al-taisir (kesukaran membawa kepada kemudahan).

Para ulama telah menetapkan bahawa ketakutan dan sakit adalah keuzuran yang mengharuskan untuk meninggalkan kewajipan solat fardu Jumaat.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mendengar seruan (azan Jumaat) sedangkan tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya daripada mengikutinya (datang ke tempat solat Jumaat). Mereka bertanya: “Apakah keuzuran itu?” Nabi Muhammad SAW menjawab: “Takut atau sakit, maka tidak akan diterima daripadanya solat yang dia lakukan.” (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, takut atau bimbang merebaknya wabak Covid-19 melalui perhimpunan orang ramai merupakan keuzuran yang diterima oleh syarak untuk mengharuskan solat fardu Jumaat dan juga solat fardu lima waktu di masjid. Ia ditangguhkan buat sementara waktu di seluruh negara.

Berdasarkan perkembangan semasa, pandemik Covid-19 dipantau secara berterusan oleh pakar-pakar kesihatan kerana masih belum ada penawarnya. Pastinya pihak ulil amri (pemerintah) ingin memastikan umat Islam dan institusi agama Islam khasnya tidak terdedah kepada risiko kemudaratan.

Ia bertepatan dengan kaedah fiqh: “Menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mengambil kebaikan”.

Siyasah syar’iah yang melibatkan polisi, peraturan dan undang-undang syarak telah menetapkan bahawa keputusan pemerintah asasnya adalah maslahat kepada rakyat dan orang ramai.

Oleh itu, orang ramai hendaklah yakin serta akur kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh ulil amri. Mentaatinya membawa kepada kebaikan dan mendapat ganjaran pahala, manakala mengingkarinya boleh mengundang kecelakaan dan kemudaratan serta dikira berdosa.

Dengan ini, dapat disimpulkan beberapa pengajaran dan betapa syarak itu menjaga maslahat kehidupan orang Islam khasnya dan manusia sejagat amnya. Antaranya:

  1. Umat Islam wajib mentaati segala perintah ALLAH dan menjauhi larangannya sebagai bukti keimanan.
  2. Umat Islam wajib patuh kepada keputusan ulil amri dalam semua perkara yang bertepatan dengan hukum syarak.
  3. Umat Islam hendaklah sentiasa bermunajat, berdoa dan bergantung harap hanya kepada ALLAH dalam keadaan aman dan terutamanya dalam keadaan sukar agar wabak Covid-19 segera diangkat dari muka bumi ini.
  4. Manusia hanya mampu berusaha namun ketentuannya adalah milik mutlak ALLAH sebagaimana dalam firman-NYA: “Dan jika ALLAH menimpakan (mengenakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan DIA sendiri dan jika DIA mengenakan (menimpakan) engkau dengan kebaikan, maka DIA adalah MAHA KUASA atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-An’am, ayat 17)

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

About Nurulfatiha

Biodata Penulis