Syurga di bawah tapak kaki suami, tapi ia bukan ‘tiket’ perlakukan isteri sesuka hati

Syurga di bawah tapak kaki suami
June 1, 2020
Oleh Nurulfatiha

SAAT penyatuan dua hati ketika diijabkabulkan pasti menjadi momen indah yang akan dikenang oleh pasangan suami isteri sampai bila-bila.

Ya, segala macam rasa ada ketika itu. Gemuruh, berdebar-debar dan gembira. Semua menjadi satu. Sukar untuk diungkapkan macam mana rasa itu. Hanya yang mengalami sendiri tahulah bagaimana rasanya.


Mulai detik itu, maka bermulalah kehidupan baharu. Bukan saja status diri telah berubah. Boleh dikatakan fokus dan tanggungjawab juga makin bertambah.

Ketika ini, frasa ‘syurga di bawah tapak kaki suami’ mulalah dimainkan orang di sekeliling.

Bukan apa, sekadar nak mengingatkan diri sudah dimiliki oleh orang lain dan tanggungjawab juga semakin besar. Tidak seperti ketika hidup bujang dulu.

Iklan

Namun, ketahuilah bahawa ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki suami’ itu ada makna yang tersendiri.

Ia sepertimana yang dijelaskan oleh pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Iklan

Jelas beliau, frasa ‘syurga di bawah tapak kaki suami’ bukanlah hadis, tapi hanya satu bentuk caption saja.

“Para suami tidak boleh menggunakan kenyataan di atas untuk memperlakukan sesuka hati terhadap isteri.

Kenyataan di atas bukan hadis sebagaimana dinyatakan oleh seorang alim besar Syria, Syeikh Doktor Ahmad Al Hajji Al Kurdiy.

Benar, salah satu kunci syurga isteri adalah taat kepada suami. Hadis sahih riwayat Ibnu Hibban.

Maksudnya: “Jika seorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), jaga maruah dan taat suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dia mahu.”

Satu lagi hadis sahih menunjukkan besarnya hak suami ke atas isteri.

Maksudnya: “Jika aku boleh perintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang, maka aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.”

Hadis ini disahihkan oleh Imam Tirmizi dan al-Hakim serta dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi.

Syurga di bawah tapak kaki suami
ISTERI perlu taat kepada seorang suami selagi ia tidak melanggar syariat Islam.

Tapi taat isteri kepada suami, bersyarat. Isteri bukan hamba suami. Mereka ialah rakan kongsi perjalanan hidup.

Suami bukan raja yang pegang kuasa veto. Bahkan, suami bertanggungjawab melorongkan syurga isteri.

Ketaatan seorang isteri mesti dibayar dengan tanggungjawab yang sangat besar daripada seorang suami.

Suami memang tak wajib taat kepada isteri. Tapi suami wajib taat kepada ALLAH dalam urusan isteri. Bukan perkara memain beb,” jelas PU Azman yang mesra disapa Cik Man.

Apa pun, sebagai suami atau isteri, masing-masing perlulah hadam dan ‘masak’ dengan tanggungjawab yang dipikul.

Kita membina rumah tangga untuk sakinah dan mawaddah, bukan untuk menjadi ‘tuan’ dan ‘hamba’.

Kepada yang bakal mendirikan masjid atau sudah mendirikan rumah tangga, sama-samalah kita ‘pandu’ bahtera perkahwinan kita dengan sebaiknya.

Semoga rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati oleh-NYA dan sentiasa dalam peliharaan-NYA.

(Sumber: puazmanofficial)

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis