KETIKA seluruh dunia termasuk negara kita diuji dengan penularan wabak koronavirus atau Covid-19, umat Islam disunatkan untuk membaca qunut nazilah semasa solat.

Qunut nazilah dibaca apabila berlaku suatu musibah atau keburukan tertentu kepada umat Islam.

Namun begitu, bolehkah kita atau imam menyebut secara spesifik nama penyakit koronavirus atau Covid-19 ketika berdoa pada bacaan qunut nazilah dalam solat? Apakah batal solat kita jika berbuat demikian?

Para fuqaha menyatakan, antara perkara yang membatalkan solat adalah berkata-kata dengan sengaja.

Berkata-kata di situ bermaksud perkataan yang tiada kaitan dengan solat berkenaan.

Ketahuilah bahawa solat dari segi definisinya merujuk kepada ucapan-ucapan dan perbuatan-perbuata
n yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

Ini menunjukkan dalam solat juga ada ucapan-ucapan yang meliputi bacaan al-Quran, zikir dan juga doa.

Justeru, dapat difahami bahawa selama mana sesuatu ucapan itu berkaitan dengan solat, maka ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan solat.

Sebut Covid-19 dalam qunut nazilah
DOA yang dibaca ketika bacaan qunut nazilah sama ada menyebut nama-nama bagi penyakit tertentu atau nama individu atau nama-nama negara umat Islam yang tertindas, kesemuanya tidak membatalkan solat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata:

“Ketika Nabi S.A.W sedang mengerjakan solat Isyak sebaik sahaja baginda membaca ‘Sami’allahu liman hamidah’ kemudian terus membaca doa sebelum baginda sujud dengan sebutan: “Ya ALLAH, selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya ALLAH, selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya ALLAH, selamatkanlah Al-Walid Ibn al-Walid. Ya ALLAH, selamatkanlah golongan yang tertindas dari kalangan orang beriman. Ya ALLAH, KAU beratkanlah hukuman-MU ke atas suku kaum Mudhar. Ya ALLAH, jadikanlah ia seperti tahun-tahun Yusuf (tujuh tahun yang penuh kesulitan).” (Riwayat Al-Bukhari)

Ketika mensyarahkan hadis tersebut, Imam Al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan menyatakan: “Antara fekah daripada hadis ini adalah mengisbatkan bacaan qunut pada selain solat witir.

“Hadis ini juga menunjukkan bahawa mendoakan sesuatu kaum dengan menyebutkan nama-nama mereka serta nama bapa-bapa mereka tidak membatalkan solat. Demikian mendoakan keburukan ke atas golongan kuffar dan golongan yang zalim tidak merosakkan solat.’’

Dalam sebuah hadis yang lain, Anas bin Malik RA berkata: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah melakukan qunut selama sebulan dan baginda melaknat Ri’l, Zakwan dan ‘Ushoyyah yang menderhakai ALLAH dan Rasul-NYA.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis berkenaan, maka jelaslah bahawa bacaan qunut nazilah dianjurkan ketika solat semasa iktidal pada rakaat yang terakhir.

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa doa-doa yang dibaca para imam ketika bacaan qunut nazilah sama ada menyebut nama-nama bagi penyakit tertentu atau nama individu atau nama-nama negara umat Islam yang tertindas, kesemuanya tidak membatalkan solat.

Ini kerana ia termasuk dalam bahagian doa yang dibenarkan di dalam solat.

Semoga jawapan ini akan dapat merungkaikan segala kekusutan tentang qunut nazilah.

(Sumber: Al-Kafi #1575: Sebutan Nama-Nama penyakit di dalam Bacaan Qunut Nazilah, Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)