SEBELUM ini, tular video tentang aksi seorang individu mencium mulut adik angkatnya. Situasi itu menimbulkan perdebatan ramai dalam kalangan warganet.

Masakan tidak, adik angkat yang dicium itu pula masih lagi bergelar kanak-kanak. Malah, aksi itu dianggap sebagai ‘sampah’ dan menjelikkan bagi kebanyakan masyarakat.

Dalam perihal mencium itu, ketahuilah bahawa perbuatan ciuman sesama mahram seperti seorang ayah mencium anak perempuannya atau seorang ibu mencium anak lelakinya atau seorang abang mencium adik perempuannya, tidak dibolehkan berbuat demikian pada bahagian mulut.

Memetik artikel dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-551: Hukum Ciuman Mulut Antara Lelaki dengan Lelaki yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini menjelaskan, perbuatan tersebut adalah khusus untuk suami isteri sahaja.

Cium mulut

“Sekiranya perbuatan mencium tersebut dilakukan pada dahi atau kepala (sesama mahram), maka ia dibolehkan.

“Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan al-Hakim bahawa Rasulullah SAW mencium Fatimah selepas pulang daripada peperangan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Meskipun hadis berkenaan menunjukkan keharusan untuk mencium mahram, namun Ibn Muflih menjelaskan, perbuatan mencium tersebut tidak boleh dilakukan pada mulut. Sebaliknya, ia boleh dilakukan pada dahi atau kepala.

Pandangan itu turut disokong oleh Ibn Naja dalam al-Iqna’ fi Fiqh Mazhab Imam Ahmad bahawa mencium mahram boleh selagi tidak mendatangkan syahwat, tetapi ciuman tersebut tidak boleh sama sekali dilakukan pada mulut.

Artikel tersebut turut menyebut, asas kepada larangan tersebut adalah ciuman pada mulut boleh mendatangkan syahwat. Bahkan, ia turut terpakai dalam keadaan ciuman pada bahagian lain yang boleh mendatangkan syahwat.

Cium mulut

“Sekiranya ciuman pada anggota lain tersebut seperti pada dahi dan kepala tidak mendatangkan syahwat maka ia tidak dilarang, sebagaimana dipetik menerusi Kitab Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah.

“Tambahan lagi, mulut juga dikira antara sebahagian daripada erogenous zone iaitu bahagian tubuh yang sensitif dan boleh menyebabkan rangsangan seksual apabila disentuh.

“Oleh sebab itu, kita dapat lihat signifikan perbincangan para fuqaha tentang hukum mencium pada bahagian mulut bagi sesama jantina atau sesama mahram adalah haram kerana perbuatan tersebut mampu merangsang syahwat,” katanya.

Bukan itu sahaja, perbuatan tersebut juga boleh menjadi salah satu bentuk pendahuluan (mukadimah) kepada berlakunya zina.

“Ini kerana terdapat hadis daripada Rasulullah SAW yang mana baginda menyebut zina bukan sahaja pada memasukkan kemaluan dalam kemaluan bukan melalui jalan yang halal.

“Bahkan, zina juga boleh terjadi pada anggota dan perbuatan yang lain seperti zina mata, lidah, tangan dan sebagainya,” kata artikel berkenaan.

Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH SWT telah menetapkan ke atas anak Adam sebahagian daripada zina, tiada yang akan terlepas daripadanya. Zina bagi mata adalah kerana penglihatan dan zina bagi lidah adalah percakapan, nafsu menginginkan dan mendambakan dan alat kemaluan yang menentukan sama ada zina itu berlaku atau tidak.” (Sahih Muslim)

Imam Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menerangkan bahawa hadis tersebut menyatakan bahawa zina terbahagi kepada dua bentuk.

Pertama adalah bentuk hakiki iaitu memasukkan alat kelamin ke dalam alat kelamin secara haram. Satu lagi adalah bentuk kiasan seperti melalui penglihatan, sentuhan, ciuman, percakapan dan sebagainya.

Iklan

Pendek kata, segala perbuatan yang membawa kepada mukadimah zina secara hakiki mahupun kiasan, ia adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, hukum lelaki mencium mulut sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan sama ada dengan syahwat ataupun tidak, ia adalah haram dan dilarang oleh syarak.

“Adapun mencium lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan selain daripada mulut tanpa syahwat atas tujuan untuk berbuat baik ataupun memuliakan kerana perasaan rindu ketika berjumpa atau berpisah adalah dibenarkan.

“Namun, berbeza hukumnya dengan lelaki amrad (lelaki jambu) yang meransang syahwat, tidak dibenarkan berjabat tangan dengannya, apatah lagi menciumnya dengan tujuan berseronok (istimta’). 

Cium mulut

“Sekiranya mencium amrad pada bahagian telapak tangan, kepala dan dahi (bukan bahagian mulut) yang tidak meransang syahwat atas tujuan untuk berbuat baik atau memuliakannya adalah dibenarkan, namun meninggalkannya adalah lebih baik,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan ibu bapa supaya memainkan peranan masing-masing dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak terutamanya mengenai bahagian-bahagian penting tubuh yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya oleh orang lain.

Baca juga 3 sebab ibu bapa dilarang cium mulut anak walaupun mereka masih kecil

“Begitu juga dengan perbuatan mencium pada bahagian mulut.

“Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergaulan anak-anak mereka bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” nasihatnya.

Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri ke-551: Hukum Ciuman Mulut Antara Lelaki dengan Lelaki, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik