MUSIM haji kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Buat pertama kalinya, Malaysia tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Mahu atau tidak, kita terpaksa akur menerimanya dengan hati terbuka demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perasaan sedih memang tak dapat nak dibendung. Lebih-lebih lagi kepada bakal jemaah yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan lagi.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi ALLAH jualah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Barangkali ada hikmah di sebaliknya.

Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan.

Mudir Pusat Pengajian Darul Ilmi, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman baru-baru ini berkongsi 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Jom kita tengok apa yang boleh kita lakukan:

Amalan pahala haji
TUNAIKAN solat Subuh di masjid dan berjemaah di rumah ALLAH.

1. Pergi solat Subuh di masjid dan iktikaf sampai naik matahari, kemudian solat

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat seperti mendapat pahala haji dan umrah.” (Riwayat al-Tirmizi)

2. Pergi menuntut ilmu

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang keluar waktu pagi ke masjid semata-mata menuntut ilmu atau mengetahuinya, pahala seperti menunaikan haji yang sempurna.” (Riwayat al-Tabarani)

3. Pergi solat berjemaah di masjid

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti tunaikan haji.” (Riwayat Abu Daud)

4. Berjalan kaki ke masjid untuk solat fardu

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid untuk solat fardu berjemaah seperti mendapat pahala haji.” (Riwayat Ahmad)

Amalan pahala haji
LAYANLAH insan yang telah melahirkan kita ke dunia dengan baik dan penuhi keperluan mereka.

5. Berbuat baik kepada ibu bapa

Sesungguhnya seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.”

Nabi Muhammad bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?”

Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.”

Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad.” (Riwayat Abu Ya’la)

6. Umrah bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW: “Umrah dalam bulan Ramadan, pahala menunaikan haji bersamaku.” (Sahih Muslim)

7. Zikir subhanallah, alhamdulillah dan Allahu akbar selepas solat fardu

Sesungguhnya sejumlah orang dari fakir-fakir Muhajirin berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka mempunyai kelebihan harta. Mereka pergi haji, umrah, berjihad dan sedekah.”

Iklan

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu mahu aku beritahu amalan yang mana kamu dapat capai orang yang terdahulu dan menyamai orang yang kemudian dan tidak ada yang dapat mengatasi kamu kecuali yang beramal seperti kamu?”

Mereka berkata: “Ya, ya Rasulullah. Masihkan dikatakan berpahala di antara seseorang di antara kami yang menyalurkan syahwatnya?”

Baginda bersabda: “Bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33 kali selepas solat fardu.” (Sahih Muslim)

8. Niat yang betul nak buat haji, tapi terhalang

“Di Madinah, terdapat dua lelaki yang berjalan seperti kamu dan tidak melalui lembah seperti kamu, tetapi mendapat pahala seperti kamu; mereka tidak bersamu kerana sakit.” Dalam riwayat lain menyebut, “mereka terhalang dengan keuzuran” dan dalam riwayat lain “mereka dapat seperti kami”. (Sahih Bukhari)

9. Mempersiapkan orang yang hendak pergi haji

Dalam sebuah hadis sahih: “Sesiapa yang mempersiapkan orang berperang atau yang pergi haji, menjaga ahli keluarga yang ditinggal oleh yang pergi haji / jihad atau yang memberi makan kepada orang berbuka, dia dapat pahala seumpama mereka tanpa mengurangkan pahala mereka.”

Iklan
Amalan pahala haji
BERBUAT baik dan berikan khidmat yang sempurna kepada suami antara amalan yang boleh dilakukan untuk mendapatkan ganjaran seperti pahala haji.

10. Isteri yang berkhidmat kepada suaminya dengan sempurna

Ibnu Athir meriwayatkan daripada Asma binti Yazid RA, beliau mengadu pada Rasulullah bahawa orang lelaki boleh keluar buat macam-macam seperti haji, solat jemaah, ziarah orang sakit dan jenazah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya baiknya khidmat kamu pada suami kamu, mencari reda suami kamu dan mengikut kehendaknya akan menyamai pahala yang suami lakukan.” (Asadul Ghabah)

Dalam banyak-banyak amalan ini, kalau kita tengok balik, nampak mudah untuk kita lakukan dalam situasi sekarang. Macam nombor 3, 4, 5, 7 dan 10.

Pilihlah mana-mana amalan mudah yang boleh kita buat setiap hari. Asalkan apa yang kita lakukan tadi istiqamah sampai bila-bila.

Moga tahun depan, ada rezeki kita untuk menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci. Teruskan berdoa semoga ALLAH segera angkat pandemik Covid-19 di muka bumi ini.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: 123rf & Bernama