TIDAK semua orang dilahirkan terus mahir dalam bahasa Arab. Apatah lagi jika ia bukan bahasa pertuturan atau perantaraan mereka.

Sesiapa yang faham dan fasih bertutur dalam bahasa al-Quran itu merupakan suatu bonus bagi umat Islam. Beruntunglah mereka dapat menguasai bahasa syurga itu.

Namun, ia bukanlah alasan untuk kita meninggalkan kalam ALLAH yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab yang indah. Ini kerana kita masih mempunyai kitab tafsir untuk membelek dan menghayati setiap bait ayat suci berkenaan.

Seperkara, kita juga tidak boleh sewenang-wenagnya mentafsirkan ayat al-Quran secara semberono. Ia perlu dirujuk kepada yang agamawan yang pakar dan kitab tafsir yang muktabar.

Disebabkan itulah perlunya kitab tafsir untuk kita menghayati apa yang terkandung dalam kalam ALLAH.

Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa.

DR MUHAMMAD YUSRY AFFANDY

Jom kita lihat pandangan beliau untuk memahami dasar ilmu tafsir al-Quran dengan lebih dekat lagi;

Ilmu tafsir menjadi ‘anak kunci‘ dalam membongkar maksud yang tersurat dan tersirat dalam al-Quran. Menurut Syeikh Muhammad ‘Azim al-Zarqani, ilmu tafsir berperanan mengetengahkan peringatan ALLAH SWT dan menyediakan sumber hidayah dalam aspek akidah, syariah dan peradaban kehidupan.

Imam as-Suyuti pula menyatakan, manfaat kewujudan ilmu tafsir adalah ALLAH mengkehendaki hamba-hamba-NYA berfikir sepanjang zaman mengenai wahyu yang telah diturunkan.

Justeru, dapat difahami bahawa matlamat ilmu tafsir adalah untuk merealisasikan maksud al-I‘tisam bi al-‘urwah al-wuthqa iaitu berpegang erat dengan ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran. Ia bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki di dunia mahupun di akhirat.

Sejak wahyu pertama di Gua Hira‘ diturunkan, Rasulullah SAW telah memainkan peranannya dalam bidang pentafsiran. Baginda berperanan sebagai penerima wahyu dan kemudian menerima mandat untuk menyampaikan kepada seluruh umat manusia.

Wahyu itu disampaikan menerusi hadis atau sunah yang merupakan kaedah asas dalam pentafsiran al-Quran. Baginda membicarakan bagaimana cara beramal dengan kehendak ayat, menunjukkan hubungan erat al-Quran dengan as-sunnah, istinbat (mengeluarkan) hukum daripada ayat, membaca pelbagai qiraat dan menjelaskan sebab-sebab penurunan ayat dan kelebihan al-Quran.

Ketika itu, al-Quran belum lagi disusun dalam sebuah kitab kerana lebih mengutamakan hafazan. Penulisan al-Quran termasuk pentafsiran hanya dijalankan sebagai aktiviti sampingan sahaja iaitu menerusi penulisan hadis dalam kalangan sahabat terpilih seperti Abu Hurairah dan ‘Abdullah bin ‘Amr RA.

Keadaan zaman menjadi antara faktor yang menyebabkan pentafsiran al-Quran belum dibukukan. Bahan yang tersedia lebih dimanfaatkan untuk mencatat ayat-ayat dalam kalamullah. Penulisan ayat al-Quran dilakukan secara bertaburan pada pelepah-pelepah tamar, kepingan batu dan kulit binatang.

Mustahil dalam keadaan itu ilmu-ilmu lain termasuk ilmu tafsir dibukukan terlebih dahulu sebelum al-Quran sendiri dibukukan. Pentafsiran al-Quran ketika itu belum berkembang pesat.

Hanya Rasulullah SAW yang memainkan peranan utama selaras dengan tugas kerasulan baginda. Para sahabat hanya memberi perhatian kepada tarbiah yang diberikan.

Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa Imam as-Syafie menegaskan bahawa segala yang diperkatakan Rasulullah SAW tidak tersasar daripada acuan ALLAH SWT.

Pembaharuan tafsir

Adakah pentafsiran al-Quran yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW merangkumi keseluruhan kalam-kalam ALLAH? Persoalan itu timbul rentetan isu perkembangan pentafsiran al-Quran selepas kewafatan baginda.

Dalam hal itu, Imam Ibn Taimiyah menyatakan, Rasulullah SAW telah menerangkan setiap ayat al-Quran berpandukan dalil sebagaimana yang terkandung dalam kitab suci berkenaan.

Firman ALLAH SWT: “Dan kami turunkan kepada kamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka moga-moga mereka memikirkan.“ (Surah an-Nahl, ayat 44)

Sebahagian para sahabat yang mewarisi al-Quran dan ilmu berkaitan seperti tafsir dan qiraat memindahkannya kepada generasi tabi’in. Akhirnya, ia tersebar ke seluruh alam.

Iklan
Tafsir al-Quran
MANFAAT kewujudan ilmu tafsir ialah ALLAH menghendaki hamba-hamba-NYA berfikir sepanjang zaman mengenai wahyu yang telah diturunkan.

Ilmu tafsir berdikit-dikit mula berkembang sejak wahyu pertama dan menjadi antara ilmu terawal dalam dunia Islam. Tradisi kecemerlangan tafsir diteruskan daripada generasi ulama awal iaitu para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in sehinggalah generasi masa kini.

Generasi khalaf (terkemudian) yang mewarisi asas ilmu generasi salaf (awal) telah berperanan membuat beberapa pembaharuan dalam tafsir untuk disesuaikan masyarakat semasa.

Imam as-Suyuti berpendapat, Rasulullah SAW menerangkan sebahagian sahaja ayat al-Quran secara mendalam. Hujahnya, Rasulullah SAW memberi ruang kepada para sahabat untuk berfikir dan berijtihad terhadap maksud tersirat.

Jika Rasulullah SAW menjelaskan kesemua tafsir ayat, maka pencapaian ilmu para sahabat akan sama.

Berdasarkan sejarah perkembangan pentafsiran al-Quran dan penelitian terhadap kitab-kitab tafsir muktabar, Rasulullah SAW telah mentafsirkan sebahagian ayat al-Quran.

Kemudian, ilmu berkenaan diwarisi para sahabat. Mereka mengetengahkan tafsiran yang sedia ada dan juga menjelaskan maksud yang tidak diterangkan Rasulullah SAW berdasarkan ijtihad tersendiri.

Perkara-perkara yang tidak diterangkan tidaklah sama sekali mendatangkan mudarat kepada umat Islam, bahkan mencetus manfaat dalam penelitian maksud luas al-Quran.

Antara hikmah Rasulullah SAW meninggalkan sebahagian tafsiran al-Quran adalah:

Iklan

a. Manusia dapat menemui kebenaran al-Quran apabila mereka mentafsirkan al-Quran dengan mengunakan ilmu-ilmu tambahan yang wujud selepas zaman Rasulullah SAW seperti astronomi dan perubatan.

b. Para sahabat dapat memainkan peranan menggunakan ilmu yang dipelajari daripada Rasulullah SAW untuk mentafsirkan al-Quran, sekali gus melatih generasi seterusnya berijtihad terhadap perkara-perkara semasa yang melanda umat. Fenomena itu turut berlaku dalam perkembangan ilmu fiqh dan ilmu tauhid.

c. Mewujudkan tafsiran berdasarkan pelbagai ijtihad yang bakal memudahkan pemahaman dan pengamalan umat Islam.

Apapun, pentafsiran pada zaman Rasulullah SAW adalah yang paling utama dan tinggi nilainya memandangkan baginda yang menerima al-Quran, memahami dan bertanggungjawab menyebarkannya kepada manusia.

Pentafsiran ketika itu juga tidak dinamakan dengan subjek khusus tafsir kerana sebarang ilmu berkaitan al-Quran belum dicatat. Ia bertujuan untuk mengelak tanggapan umat Islam dan masyarakat umum bahawa sumber rujukan utama Islam ialah al-Quran dan tafsiran al-Quran sahaja.

Sesungguhnya, ilmu tafsir begitu tinggi nilainya kepada kita. Dengan ilmu berkenaan, kita dapat menghayatinya sebagai manual yang memandu kehidupan manusia di dunia dan akhirat.