SOLAT merupakan tiang agama. Ia juga merupakan amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak.

Maka disebabkan itulah ibadah itu tidak boleh dipandang enteng. Sekalipun kita sakit, kewajipan kita yang satu ini tidak akan gugur.

Malah, ada segelintir orang yang bimbang solatnya sebelum ini tidak sah kerana kejahilannya. Lalu, dirinya ‘saja-saja’ mengqada semula solat fardu yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Persoalannya, bolehkah kita ulangi solat fadu secara sengaja kerana kejahilan masa lalu?

Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, asal hukum solat yang memenuhi rukun syarat dan kesempurnaannya cukup dilakukan sekali sahaja pada tiap-tiap waktu.

USTAZ MUSTAFAR

“Ia tidak diulangi melainkan dalam keadaan batal ataupun ingin mendapatkan pahala jemaah setelah mendirikan solat sendirian seperti dalam hadis-hadis yang sahih,” katanya kepada Sinar Islam.

Tegas beliau, umat Islam dilarang mengulangi solat dengan sengaja. Perkara itu ada disebut dalam sebuah hadis sahih riwayat Saidina Ibn Umar dalam Sunan Abu Dawud.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kamu mendirikan satu solat sebanyak dua kali (dalam sehari).”

Iklan

“Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat bahawa dilarang mengulangi solat fardu dengan sengaja. Maka hukumnya adalah makruh.

“Perkara itu juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Raudatul Talibin,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Solat cepat sangat macam ‘ribut’, hati-hatilah sebab takut tak sah, kena ulang balik)

Iklan

Menyimpulkan jawapannya, Ustaz Mustafar sekali lagi menegaskan,  hukum mengulangi solat dalam keadaan jahil pada masa lalu adalah makruh jika sudah cukup rukun, syarat dan kesempurnaannya.

“Adapun jika ada sangkaan yang kuat merasakan solat tidak sah, tidak sempurna rukun dan syaratnya, maka lebih utama untuk digantikan,” jelas beliau.

Justeru, jangan sewenang-wenangnya kita mengulangi solat fardu tanpa sebab.

Jagalah solat kita sebaiknya. Ingatilah bahawa ia menjadi penghubung kita dengan Sang Pencipta.