MEMBELA kucing sememangnya sinonim dengan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kucing yang berbaka mahal. Umpamanya si meow kacukan Parsi, maine coon dan sebagainya.

Mana tak sukanya… sifat si bulus yang penyayang dan manja menjadi terapi diri bagi sesiapa yang membelanya.

Bukan itu sahaja, kucing juga antara haiwan kesayangan Rasulullah SAW.

Lazimnya orang akan membeli kucing sebaik sahaja haiwan comel itu dilahirkan atau berusia sebulan ke atas.

Namun begitu, ada segelintir orang lebih suka menempah anak kucing yang berbaka cantik ketika masih dalam kandungan ibunya. Pendek kata, belum lahir pun sudah laku apabila ada orang yang nak mendapatkannya.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Bolehkah jual beli itu berlaku?

Menurut pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, perkara itu dilarang keras dalam agama suci ini.

Ketahuilah, membeli haiwan yang masih dalam kandungan adalah tidak sah, terang beliau sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: [VIDEO] Si meow pun pandai cemburu, macam ni rupanya bila kucing ada perasaan tu)

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis tentang larangan berkenaan.

Iklan

Daripada Abdullah bin Umar RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada jual beli Habal Habalah. Ia adalah jual beli yang diamalkan di zaman jahiliyah di mana seorang itu membeli anak yang ada dalam janin ibunya belum dilahirkan.” (Riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwattah’)

Ujar Ustaz Azhar Idrus, pengharaman itu disebabkan kerana penjual dan pembeli belum melihat barang jualan.

“Barang jualan mungkin binasa atau tidak, seperti yang dikehendaki oleh pembeli,” katanya.

Beliau turut mengemukakan pandangan daripada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah yang menyatakan: “Syarat sah jual beli itu hendaklah barang itu sudah ada ketika hendak akad jual beli.

Iklan

“Maka, tidak sah jual beli barang yang belum ada. Ini adalah yang sepakat atasnya sekalian fuqaha.”

Sumber: Instagram uaioriginal