SEJAK penghujung tahun lalu, bermacam kisah tentang wabak Covid-19 menyapa halwa telinga kita. Mula dikesan di Wuhan, China, satu persatu negara diancam dengan penularan penyakit berkenaan sehingga meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

Kini, sudah empat bulan berlalu. Ternyata semua negara dan masyarakat begitu terkesan dengan krisis berkenaan.

Masakan tidak, ia memberikan impak yang bukan calang-calang ke atas kehidupan.

Lantaran itu, semua pemimpin dan masyarakat bertungkus lumus mencari solusi dari pelbagai aspek termasuk perubatan, pencegahan seperti Perintah Kawalan Pergerakan, kuarantin dan sebagainya.

Demikian antara ulasan Felo Kehormat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

MOHD KAMAL

Ujar beliau, Covid-19 merupakan krisis yang kompleks dan berimpak multidimensional. Salah satu sudut penting adalah dimensi kerohanian dalam kehidupan manusia sebagai individu, masyarakat dan negara.

“Dimensi ini menyentuh secara khusus aspek hubungan keimanan dan akhlak manusia dengan al-Rahman yang mencipta seluruh alam ini, menjaga, menampung dan mengurusnya,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Kamal yang juga Penasihat Kehormat Pusat Islamisasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Surah al-Rahman merupakan solusi ketakutan kepada wabak Covid-19. Ia bukan sahaja dari aspek perubatan atau fizikal, tetapi juga sudut kerohanian dan akhlak dengan ALLAH SWT serta alam tabii secara umum.

Jelas beliau, Surah al-Rahman memberi peringatan tentang betapa melimpahnya manifestasi belas kasihan-NYA dengan tujuan mendidik, mendorong dan mengingatkan manusia dan jin supaya:

1. Menghiasi diri meliputi akhlak al-Rahman dalam hubungannya dengan ALLAH SWT dan alam, termasuk haiwan dan tumbuhan serta sesama manusia. Ia dalam konteks menjalankan tugas sebagai hamba ALLAH SWT dan khalifah yang diamanahkan;

Iklan

2. Berpegang teguh dengan panduan dan ajaran al-Quran sebagai al-Furqan iaitu neraca yang membezakan antara baik dan buruk, benar dan palsu, maslahah dan mafsadah, sesuai dengan Maqasid al-Syariah dalam semua bidang kehidupan;

3. Bertindak menjaga neraca keadilan dan kebenaran (al-Mizan) yang ALLAH SWT wujudkan dalam alam ini;

4. Sentiasa bersyukur dan merendah diri kepada al-Rahman. Yang benar-benar kekal itu hanyalah ALLAH al-Rahman;

5. Hidup bermasyarakat dan membangunkan negara atas dasar berpegang teguh kepada Rukun Iman dan prinsip takwa kepada ALLAH SWT supaya mendapat kebahagiaan dan kemenangan yang hakiki dalam syurga ALLAH SWT; dan

Iklan

6. Jauhi sifat ingkar, dusta, sombong dan kufur kepada ALLAH SWT yang menjadi ciri tamadun moden sekular. Sifat-sifat itu akan membawa manusia ke dalam kehidupan yang penuh dengan kehinaan, kesempitan dan penderitaan dahsyat ke dalam neraka jahanam.

Jelaslah betapa pentingnya hubungan kerohanian dan akhlak dengan ALLAH SWT. Surah al-Rahman yang mengandungi 78 ayat memberikan gambaran ringkas dan padat tentang sifat ALLAH SWT, iaitu al-Rahman. Untuk mengetahui lanjut, ikuti bahagian akhir pada minggu hadapan.

Penulis: Fouziah Amir