BULAN Ramadan telah pun melabuhkan tirainya. Antara keistimewaan Ramadan ialah ALLAH SWT mengurniakan keampunan-NYA kepada sesiapa sahaja yang memanfaatkan peluang berada dalam bulan itu.

Sesungguhnya setiap manusia sama sekali tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Mungkin setiap hari manusia terjebak melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Itu fitrahnya manusia yang pasti melakukan kesilapan sama ada dengan sebab godaan syaitan ataupun runtuhnya benteng nafsu dalam diri.

Ramai yang menngambil kesempatan di bulan yang penuh rahmat itu untuk memohon keampunan. Bagaimana untuk mengetahui ALLAH telah menerimanya? Apakah tanda-tanda ALLAH SWT menerima taubat seseorang?

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah al-Nur (31)

Menurut Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-NYA. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/50)

Taubat nasuha

Bagi mengetahui taubat diterima ALLAH, ada beberapa pendapat majoriti ulama’ menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi ALLAH SWT. Hal ini seperti mana disebut oleh Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Orang yang bertaubat kepada ALLAH dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan ALLAH menerima taubat dirinya. Ini seperti mana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama’. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama’. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/418)

Baca juga Jangan suka tangguhkan amalan. Ini sebabnya…

Perbuatan syirik tidak diampuni

 

Walaupun begitu, dosa yang disebabkan oleh perbuatan syirik. Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah, baik dengan keyakinan, ucapan atau perbuatan serta percaya adanya kuasa ghaib selain Allah seperti memuja berhala. Perbuatan syirik merupakan dosa besar yang paling besar.

Antara firman ALLAH:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).” Surah al-Nisa’ (48)

Ibn Kathir berkata ALLAH memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik.

Sebaliknya ALLAH mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/327)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya ALLAH SWT menerima taubatnya.Riwayat al-Bukhari (2661)

Menurut Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka ALLAH akan menerima taubatnya berdasarkan firman-NYA:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-NYA (yang bertaubat).
Surah al-Syura (25)

Manakala Al-Qurtubi berkata ALLAH pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/27)

Perubahan sikap

Iklan

Kedua, berkenaan tanda-tanda ALLAH menerima taubat seseorang apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwa menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasa yang baik, seseorang itu merasa seronok untuk melakukan ibadat serta berterusan memohon keampunan kepada ALLAH. Maka dengan tanda-tanda ini ALLAH telah menerima ibadatnya.

Menurut Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama menyebut taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:

• Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, mengumpat dan kata-kata yang tidak penting / sia-sia.
• Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
• Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
• Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada ALLAH (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, hlm. 109)

Baca juga Ini tip kerohanian yang dianjurkan Islam ketika menghadapi peperiksaan

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:

• Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
• Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
• Hilang rasa untuk bersenang-senang dengan dunia dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
• Percaya dan yakin dengan jaminan ALLAH dalam soal rezeki lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh ALLAH. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110)

Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh ALLAH SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Iklan

Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” Surah al-Baqarah (222)

Atha’, Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka menyucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/259)

Sebagai kesimpulan, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima ALLAH itu sudah boleh berhenti memohon keampunan.

Malah keinsafan seseorang itu dapat dilihat apabila dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada ALLAH sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi ALLAH.

Sumber: Al-Afkar #52: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan